Sunday, September 2, 2007

Antara Jins Samsudin dan Saiful Malaysia Idol

KONVOKESYEN UUM bermula hari ini dan esok. Kali ini bilangan graduannya 2,300 sahaja. Biasanya mencecah 5,000. Februari lalu juga dah ada satu konvokesyen. Banyak yang boleh dikongsi mengenai konvokesyen - ucapan Canselor, Naib Canselor, procanselor, wakil pelajar atau sudut lain seperti peluang pekerjaan kepada graduan. Pensyarah dan pegawai dan kebanyakan warga UUM bekerja, walaupun hari ini sepatutnya hari cuti Hari Kemerdekaan.
Untuk kali ini, aku hanya ingin mengulas suatu yang biasa berlaku. Perkara ini telah diperkatakan berkali-kali. Perkaranya berkaitan pengisian pesta konvokesyen. Kebetulan ini berkaitan dengan ramai rakan-rakanku di Majlis perwakilan Pelajar (MPP) yang terbabit. Aku menganggap mereka sebagai rakan - rakan dalam mencari ilmu di menara ilmu ini, UUM.
Pesta Konvokesyendi di kebanyakan IPTA dikendalikan oleh MPP. HEP memainkan peranan minimum. Rakanku di USM menceritakan pelajar sendiri yang mencari sponsor dan mengelola sewaan gerai-gerai.
Walaupun aku sendiri berpendapat pesta konvoesyen sepatutnya berlainan dengan suasana`pasar malam' , tapi tidak mengapa. Mungkin masa lain diperkatakan hal ini.
Apa yang ingin aku perkatakan adalah mengenai dua funtion untuk mengisi malam di Pesta
Konvokesyen yang tersangat kurang mendapat sambutan warga kampus. Pertama, Forum Perdana dan kedua, ceramah Jins Samsuddin mengenai kemerdekaan. Kedua-dua hari nitu berlangsung dalam cuaca yang sangat baik.
Ketika ceramah Tan Sri Jins Samsuddin semalam aku berada di EDC, meraikan pelajar cemerlang yang akan bergraduat hari ini. Tiba-tiba terima sms daripada seorang kawan yang mengikuti ceramah berkenaan, hanya lima enam orang sahaja yang hadir. Aku hanya mengambil maklum.
Malam ini, aku sempat menjengah konsert Kosmo. Kosmo membawa beberapa artis, termasuklah Saiful Malaysia Idol. Petang hingga ke magrib, Sintok dipenuhi hujan. Tetapi pada waktu sebelah malam tidak hujan. Yang menghujani ialah warga UUM memenuhi padang kawat
Palapes untuk mendengar lagu dan nyayian Saiful.
Aku tidak menyatakan ini negatif. Aku hanya membandingkan dan bertanyakan hal ini mengapa? Dan, wajarkah ini diurus untuk secara pragmatiknya membawa kebaikan berdasarkan prinsip utilitarian. Jika ditanya aku, wajarkah dipanggil Jins atau sesiapa sahaja untuk memberi ceramah etika/moral/history pada Pesta Konvokesyen, maka jawapan aku senang: Tak Perlu. Pesta Konvokesyen adalah pesta - maka konsep pesta mestilah sesuatu yang menghiburkan dan sensasi. Lebih baik membawa bakat-bakat seni UUM untuk berada di pentas lalu menghiburkan penonton. Aku ingin berhenti di sini....untuk tidak melukakan hati sesiapa!

Friday, August 31, 2007

Mengerti Merdeka....

DALAM satu aktiviti di Pengakalan Hulu, Perak suatu masa dahulu, aku di bawa ke dalam sebuah gua yang gelap. Kami mengharungi air. Sambil melihat rupa gua, setiap kami memegang satu lilin. Kadang-kala lilin itu padam.

Sambil berjalan, pelbagai jenis perasaan wujud. Kadang-kala merangkak dalam air seperti budak-budak kecil. Tidak ada rasa malu kerana semua melakukan perkara sama - sama ada dia kerani atau dia Dekan bergelar Dato' dan Profesor, kami sama. Darah yang mengalir dalam badan kami juga sama - warna merah.

Tiba di suatu tempat, pemandu gua meminta kami berhenti. Lilin dipadamkan. Kegelapannya lebih gelap daripada malam. Membuka mata sama seperti menutup mata. Walaupun ada rakan di sebelah, kami tidak dapat melihat atau bercakap. Hanya masing-masing bertafakur. Ianya seperti berada dalam kubur dalam keadaan sedar - tetapi tidak mampu berbuat apa-apa: hanya menunggu arahan seterusnya.....

Dalam keadaan seperti itu, terasa perlunya kawan. Dalam keadaan seperti itu, tuhan wujud dan berada sangat dekat. Dalam keadaan seperti itu, tidak ada harga apa-apa yang berharga.

Ingatan ini hinggap kembali kerana pada malam Ambang Merdeka di Stadium UUM, suasana begitu tiba-tiba hadir dalam perasaanku apabila lampu dipadamkan. Beribu-ribu pelajar, pensyarah dan warga Sintok berkumpul beramai-ramai menyambut kemerdekaan 31 Ogos. Kebetulan ketika itu, aku berada di tengah-tengah padang, keseorangan tetapi dikelilingi oleh beribu-ribu manusia yang aku tak kenali. Kebetulan juga seorang rakanku yang baru berkahwin sedang menikmati perkahwinannya di Kuala Lumpur. Dan, seorang hausemate ku pulang ke Kuala Lumpur. Walaupun aku boleh mencari seorang dua kawan untuk menemaniku pada malam itu, tetapi aku mengambil pendirian untuk berada keseorangan dan menikmati hidup keseorangan. Sunyi. Bunga api yang memancar juga tidak menghiburkan mataku. Mungkin kera-kera di hutan Sintok terkejut melihat bunga api. Aku melihat di sekeliling pelajar sedang menyanyi dan melaungkan merdeka bertubi-tubi. Mereka kelihatan begitu gembira sekali. Inilah keadaan yang aku rasanya UUM begitu hidup. Pelajar atau pensyarah yang dimobilize (seperti melalui SDG) atau pelajar kolej yang menyertai perarakan atau yang secara sukarela hadir, begitu nampak kekuatan UUM.

UUM hidup dengan adanya manusia. Setiap manusia ada perasaan. Adanya perasaan-perasaan inilah, yang menyumbang rasa gembira. Sistem Pendidikan kita, aku rasa, mahu seboleh-bolehnya perasaan dihilangkan. Semuanya memberi penekanan kepada perkembangan kognitif. Ruang afektif dan lain-lain perasaan yang memanusiakan manusia cuba dihabuskan melalui sistem yang kurang sempurna ini. Aku pernah membaca buku-buku ditulis sarjana barat, sejak 50-an lagi, mereka berdebat betapa sistem pendidikan mereka juga semakin menjadikan manusia robot.

Kita di Malaysia agaknya baru ingin memasuki fasa itu. Fasa di mana manusia bukan lagi manusia. Manusia yang tiada manusiawi. Manusia yang hanya digerakkan desakan biologi dan akliah semata-mata. Ke mana kita mahu bayangkan anak-anak kita dan generasi akan datang.....mereka akan menyalahkan kita, jika kita tak melakukan apa-apa, hari ini.

Merdeka....merdeka....merdeka... apa maknanya?

Thursday, August 23, 2007

Apabila difrustkan......

SEORANG rakanku baru difruskan oleh boyfriendnya. Katanya, frust giler. Wajahnya moyok. Tidak ceria seperti selalu. Kami bertemu di Kuala Terengganu, ketika sama-sama menghadiri majlis nikah seorang rakan karibku hujung minggu lalu.
Aku tidak mengenalinya dari dekat. Cuma, sebelum ini pernah bersama-sama dalam satu aktiviti pelajar di Perak. Dia kini bekerja di sebuah hotel di KL. Baru setahun grad. Keistimewaanya - suaranya lembut, free hair dan nampak penuh santun.
Mungkin dengan adanya sedikit chemistry seperti itu, aku menasihatinya begini: "Kekecewaan muncul kerana munculnya harapan. Harapan untuk memiliki dan rela dimiliki. Pemilikan (possesion) merupakan warisan yang biasa diamalkan raja-raja dulu. Ini bermakna apabila bercinta ingin mengakhiri hubungan dengan berkahwin dengannya. Jika diubah konsep itu, dan menghilangkan harapan, maka jika frustpun, ianya tidak terlalu menusuk kalbu."
Nampak seperti penjelasanku cukup meyakinkannya. Dia kini mampu tersenyum dan boleh memperlihatkan wajahnya yang asli....

Tuesday, August 21, 2007

BANDINGAN UUM DAN USM

SELEPAS perasmian pembukaan SIPMA di Kompleks Sukan Sintok, aku mengambil kawanku di EDC untuk pekena teh tarik di Yasmin, Changlun, sekitar jam 11.30 malam. Lama sungguh tidak berjumpanya. Kebetulan dia mewakili universitinya, USM, ke sini. Pada petangnya, aku sempat bermain golf dengannya, tetapi tidak sempat untuk berborak panjang. Kami bercerita mengenai kemajuan universiti masing-masing. Kebetulan dia juga seorang berpangkat di universitinya, maka dia agak fasih mengenai hala tuju dan apa yang dilakukan di universiti berkenaan, terutamanya dalam bidang penyelidikan.

Beliau menceritakan juga bagaimana USM mengurus 'Gegar U' yang dengan mudah untuk mengumpul 6,000 peserta. Beliau menceritakan bagaimana USM mengurus sesuatu event tanpa perlu campurtangannya. "Kami sudah ada `SOP' (standard of procedure)", katanya. Jadi pegawai sahaja yang melakukan dengan sekali arahan. Dalam mengurus pesta Konvo, katanya, hanya pelajar yang melakukan semuanya. Dalam pesta konvo terbaru, dengan mudah pelajar mendapat sumbangan RM50,000 hanya dari satu syarikat. Majlis konvokesyen yang rasmipun kami tidak perlukan MC, tetapi ia bergerak dalam satu upacara, yang mana semua orang tahu peranan masing-masin, katanya.

Baru-baru ini aku menghadiri satu perjumpaan untuk membincangkan untuk membawa seorang CEO untuk berceramah di UUM. Lalu, pengerusi bertanyakan di mana dan berapa orang yang akan menghadiri? Jika Dewan A Pusat Konvensyen, maka kapasitinya 250 orang manakala di Dewan B 150 orang. Kata Penegerusi, kita tak boleh buat di dewan A, nanti tidak ada orang datang, maka majlis itu akan memalukan universiti. Walaupun aku berniat untuk tidak bercakap dalam perjumpaan itu, tetapi oleh sebab ada seorang gadis yang cantik di sebelahku, maka aku terus bercakap. Jika kita tak boleh `mobilise' hanya 250 orang untuk satu perjumpaan, maka lekeh sangatlah pengurusan kita. Aku mencadangkan beberapa idea yang aku fikir biasa diamalkan atau menjadi SOP untuk tempat-tempat lain laksanakan dengan jayanya.

Kawan aku dari USM tergelak.

Aku juga pernah dimaklumkan ada beberapa siri perjumpaan dengan para pensyarah anjuran persatuan mereka, PERSATU, untuk siri Wacana Intektual dengan membawa tokoh-tokoh hebat dalam Malaysia, seperti Prof Rahman Embung dari UKM, Prof Samsul Amri dari UKM atau Prof Aidid yang menajdi Rektor UIA, hanya beberapa kerat yang hadir.

Maka, kawan aku dari USM itu turut bersimpati dengan rintihan aku. Aku seakan-akan dalam hati ingin berkata, "Jika sesuatu tidak dilakukan, universiti ini yang jauh tertinggal di belakang hanya dengan jiran terdekat, akan menjadikan universiti ini lagi tertinggal. Sedangkan, orang lain melangkah 20 kaki, kita baru melangkah satu kaki." Bisik hatiku ketika bersembang dalam keretaku di hadapan EDC.

Lebih memilukan hatiku, apabila universiti mereka sudah diiktiraf sebagai universiti penyelidikan, yang bermakna lebih RM150 juta akan diberikan untuk menjana aktiviti penyelidikan. Aku maklumkan daripada cerita bekas TNC Penyelidikan kami mendapat RM7 juta untuk aktiviti perundingan selama usia UUM ini, iaitu 23 tahun. Kawanku dari USM itu kata, USM dengan mudah mendapat RM25 juta setahun daripada aktiviti perundingan.

Bukan menjadi niatku untuk membanding dan menunjukkan kelemahan sendiri. Persekitaran berubah dengan cepat.

Apabila jam menunjukkan 2 pagi, aku balik ke rumah.

Mataku tidak boleh lelap walaupun dalam kegelapan dan sejuk hujan.

Sunday, August 19, 2007

Mengapa Cinta Perlu Berakhir dengan Kahwin?

LOVE is just for the sake of love, not anything else.

Sambil pekena ikan goreng dan sotong goreng tepung di pantai Penarek, Terengganu, aku dan seorang rakanku sempat berbual-bual dengan dua gadis. Seorang bernama Ani (bukan nama sebenar) yang mengambil kursus Marine biologi dan seorang lagi kawannya, Ina (juga bukan nama sebenar) yang mengambil kursus Agrotech Aquatic. Kami sebelum itu menghadiri majlsi pernikahan seorang kawan di Kuala Terengganu.

Selain berbual mengenai pelajaran dan hal-hal ilmiah, tetapi kerana persekitaran pantai mengalihkan perbualan kepada sesuatu yang akrab dengan hati dan rasa. Ani sudah ada boyfriend, tetapi Ina masih belum. Mengikut kata Ani, Ina seorang yang suka memilih. Sama seperti di UUM, populasi pelajar lelaki dan perempuan tak seimbang. Jika di UUM, 72:28 dan di UMT nisbahnya perempuan juga melebihi lelaki.

Sebagai seorang yang sedikit berusia berbanding dengan mereka berdua, kami mencadangkan kepada Ina supaya bercinta tanpa meletakkan harapan untuk berkahwin. Kami berpendapat, budaya kebanyakan gadis Melayu apabila bercinta sehari dua, mereka terus meletakkan harapan menggunung tinggi untuk memiliki temannya, seperti mahu memiliki barang-barang. Seolah-olah cinta dan kahwin perkara sama. Mengapa tidak pisahkan antara cinta dan kahwin? Mengapa tidak hargai cinta sebaik mungkin dan jika kemudiannya mahu berakhirkan cinta itu dengan perkahwinan, maka lakukan.

Cinta lebih indah. Cinta mengasyikkan. Cinta memberi kuasa keindahan.

Apa yang ada dalam elemen perkahwinan? Jika ditanya ustaz berjubah, maka jawabnya untuk memastikan kerukunan kekeluargaan. Tetapi, bagi aku, perkahwinan adalah seks. Tetapi cinta bukan seks, kerana ianya rasa yang indah. Dalam sesetengah keadaan, perkahwinan boleh membunuh rasa cinta. Seseorang boleh memilih pelacur untuk memenuhi keinginan seksnya tanpa ada rasa cinta. Tetapi, pencinta tidak semestinya memerlukan seks untuk memenuhi keindahan cintanya.

Kepada Ina dan Ani, janganlah terlalu feudal dengan cinta.

Wednesday, August 8, 2007

Azly Rahman: Bukan Akujanji, tetapi hutang RM1.25 juta

Sumber: Malaysiakini


Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd Zaini Nasri hari ini memberi penjelasan sebab-sebab mengapa Dr Azly Rahman dibuang kerja sertai isu berhubung keengganan beliau menandatangani surat Akujanji.

Penjelasan tersebut diberikan dalam satu kenyataaan oleh Pengarah Perhubungan Awam Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd Zaini Nasri kepada malaysiakini melalui emel hari ini.

Berikut adalah kenyataan penuh Mohd Zaini yang bertajuk Isu Azly Rahman: Bukan janji tetapi hutang beliau RM1.2 juta: Universiti Utara Malaysia (UUM) ingin menjelaskan beberapa perkara berkaitan dengan artikel yang disiarkan portal internet, malaysiakini pada 30 Julai 2007 bertajuk: “UUM VC: Apologise or we’ll slap you with an injuction”; dan `I want to serve...’ oleh Azly Rahman serta `UUM bersikap anti-intelektual’ oleh Lee Ban Chen pada 1 Ogos 2007.

Perkara pertama berkaitan kenyataan-kenyataan Dr Azly bahawa beliau dibuang daripada UUM kerana enggan menandatangani Surat Akujanji pada Disember 2004 dan UUM menghalang beliau menulis sesuatu yang menfitnah UUM ekoran notis firma guaman Azam Aziz & Co pada 5 Julai 2007.

Perkara kedua, Jabatan Perhubungan Awam UUM ingin menjelas dan memberikan kronologi isu ini begini: Dr Azly dibuang kerja atas dua pertuduhan 1. Tidak balik bertugas pada waktu yang ditetapkan walaupun UUM berkali-kali memberi peluang kepada beliau untuk kembali bertugas. 2. Beliau tidak menandatangani surat akujanji.

Perkara ketiga, Dr Azli dan isteri Dr Mutiara Mohamad belum membayar hutang RM1.25 juta kepada UUM. Sebagai seorang pekerja dengan majikan, apa lagi dengan institusi ilmu seperti UUM, menjadi satu kesalahan jika seseorang di Malaysia tidak datang bekerja. Oleh itu, Dr Azly dan Dr Mutiara tidak boleh diberi keistimewaan untuk tidak datang bekerja seperti rakyat lain di Malaysia.

Soal sekiranya institusi ilmu seperti Columbia University, tempat dikatakan Dr Azli bekerja sekarang, membenarkan beliau untuk tidak datang bertugas, tetapi ini tiada berkaitan di Malaysia.

Dr Azly yang disahkan dalam perkhidmatan sebagai pensyarah UUM pada 20 Januari 1996 telah diluluskan pembiayaan menyiapkan ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) di Columbia Universiti USA selama 36 bulan mulai 2 Disember 1997. Begitu juga dengan isterinya, Dr Mutiara Mohamad yang disahkan jawatan pada 1 Disember 2005 diberi pembiayaan yang sama untuk menyambung pengajian.

Mana-mana pembiayaan yang diberikan oleh sesebuah organisasi dengan kakitangannya di Malaysia, akan ada surat perjanjian, sama seperti perjanjian di antara peminjam wang dengan bank. Yang melanggar perjanjian mengikut amalan di UUM, mestilah ada implikasi tertentu.

Pada 2 September 2000, kedua-dua mereka patut memiliki Ph.D dan pulang mengajar anak-anak bangsa di UUM, tetapi mereka tidak juga pulang. Bagaimanapun, UUM dengan murah hati memberi lagi tempoh pelanjutan kepada mereka berdua selama 12 bulan lagi, dengan pembiayaan dan dibayar gaji penuh oleh UUM. Siapa yang menzalimi siapa?

Walaupun sudah habis tempoh berkenaan, Dr Azli dan Dr Mutiara merayu untuk melanjutkan lagi tempohnya berada di USA, UUM memberi peluang sekali lagi selama enam bulan mulai 2 September 2001, dengan pembiayaan dan dibayar gaji penuh.

Siapa yang menzalimi siapa?

Mereka berdua tidak juga mahu balik bertugas dengan UUM. Pada 2 Mac 2002, mereka berdua sekali lagi merayu dan atas belas kasihan universiti sekali lagi mempertimbang dan meluluskan sekali lagi tempoh pelanjutan selama enam bulan dengan dibayar gaji mereka.

Siapa menzalimi siapa, sedangkan mereka dibayar pembiayaan menggunakan wang universiti. Pada 2 September 2002, dan atas sebab rayuan mereka, sekali lagi universiti dengan penuh perikemanusiaan memberi peluang kepada mereka diberi tempoh sembilan bulan pelanjutan tempoh kepada mereka berdua sebelum kembali bertugas di UUM.

Ini bermakna mereka telah diberi empat kali diberi peluang untuk memanjangkan tempoh pengajian berada di sana, tetapi mereka tidak juga pulang untuk mengajar anak-anak bangsa yang sangat memerlukan bimbingan mereka berdua, pada waktu itu.

Isu sama ada beliau seorang ahli akademik yang cemerlang dengan mengambil masa begitu lama untuk menyiapkan Ph.D tidak pernah dibangkitkan oleh UUM sebelum ini, berbanding dengan pensyarah lain.

Jika dari 2001 beliau pulang dan mengajar anak-anak bangsa, sudah berapa ramai UUM dapat mengeluarkan graduan yang cekap berfikir dan bertanggungjawab terhadap hutang. Atas apa jua alasan yang diberikan, UUM dengan penuh rasa kemanusiaan memberi peluang kepada beliau untuk masih berada di sana. Universiti mengeluarkan surat untuk mereka kembali bertugas pada 31 Oktober 2003, tetapi mereka berdua tidak jua pulang ke Malaysia dan UUM untuk bertugas.

Oleh sebab biasiswa dan perbelanjaan untuk mereka berdua diberikan dalam tempoh berkenaan menggunakan wang universiti iaitu wang rakyat Malaysia, UUM terpaksa membawa kes ini ke Jawatankuasa Tatatertib Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan mendapati kesalahan mereka berdua patut dikenakan hukuman buang kerja, pada 5 November 2003.

Mesyuarat Jawatankuasa tatatertib pada 16 Mac 2004 mendapati adanya kes prima facie dan surat pertuduhan dikeluarkan pada 17 Mac 2004. Oleh sebab engkar kembali bertugas dan melanggar perjanjian belajar di bawah Skim Latihan kakitangan Akademik dan Pentadbiran, UUM telah menghantar notis tuntutan ganti rugi kira-kira RM1.25 juta kepada mereka berdua pada 16 November 2005. Oleh sebab mereka memohon masa untuk mendapat bantuan guaman, maka sekali lagi atas dasar perikemanusiaan, universiti pada 22 Disember 2005, setuju memberi masa sehingga 30 Jun 2006.

Apakah ada universiti dalam dunia ini sebaik ini meluluskan sebegitu banyak rayuan daripada kedua-dua mereka?

Adakah mereka berdua ini terlalu istimewa berbanding para akademik lain yang lebih cemerlang daripada mereka?

Namun begitu, sehingga setahun kedua-duanya tidak juga membayar hutang itu kepada universiti. Mungkin Universiti di Amerika tidak akan menuntut hutang sebanyak RM1.25 juta kerana universiti itu kaya, tetapi universiti di Malaysia bukanlah sekaya itu untuk membiarkan wang pembayar cukai sebanyak RM1.25 juta kepada hanya dua orang, Dr Azly dan Dr Mutiara.


Selepas setahun tidak juga kedua-dua mereka membayar balik ganti rugi kepada universiti ini, UUM melalui firma guaman Bahador Omar & Co menghantar notis tuntutan pada 23 Julai 2007 sebanyak RM1.25 juta kepada kedua-dua mereka. Tidakkah Dr Azly dan Dr Mutiara tidak merasa kesian kerana akan menzalimi kedua-dua penjamin mereka iaitu Mohamad bin Salim dan Ahmad Azmi Ariffin yang akan terpaksa membayar bagi pihak mereka?

Kes ini akan dibawa ke mahkamah dalam masa terdekat ini.

Dalam tempoh sehingga ini, Dr Azli bukan sekali menulis artikel menyatakan UUM mengambil tindakan kerana engkar menandatangani surat akurjanji, seolah-olah universiti mengekang kebebasan bersuara.

Sebagai ahli akademik, apa lagi yang beragama Islam, bukankah satu keaiban akademik jika hanya menyiarkan sebahagian fakta dan menyembunyikan fakta lain? Bukahkah prinsip akademik perlu mendedahkan semua fakta. Bukan sekadar tidak berterima kasih kepada UUM yang telah memberikan begitu banyak kebajikan dan menerima rayuan berkali-kali daripada beliau, Dr Azly memilih untuk memburukkan reputasi UUM di seluruh dunia.

Beliau juga sanggup menghina semua ahli akademik di universiti di negara ini dan kerajaan Malaysia kerana rata-rata ahli akademik menandatangai surat akujanji. Oleh sebab UUM terus ditohmah Dr Azli walaupun mereka berdua bukan lagi kakitangan UUM, UUM meminta firma guaman Azam Aziz & Co untuk meminta Dr Azli tidak lagi memburukkan nama UUM.

Ringkasnya, Dr Azli dan isterinya Dr Mutiara mesti membayar ganti rugi kira-kira RM1.25 juta kepada universiti kerana engkar untuk balik bertugas dan beliau kini bukan lagi kakitangan Universiti Utara Malaysia. Kenyataan beliau bahawa beliau tidak akan menandatangani Akujanji selagi beberapa kluasa tidak diubah, sudah tidak relevan. Itu kenyataan `melukut di tepi gantang’ kerana beliau adalah bekas kakitangan yang telah dibuang kerana kesalahan tatatertib. Beliau tak perlu lagi berbuat demikian.

Kes Dr Azli Rahman ini tiada kaitan dengan Naib Canselor sekarang dan Naib Canselorpun tidak mengenali siapakah Dr Azli, walaupun Dr Azli ada merayu-rayu untuk kembali menjadi kakitangan UUM dengan memuji-muji Tan Sri Dr Nordin Kardi. Malah, dalam satu emel kepada Tan Sri Dr Nordin yang turut disalinkan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Dr Azly menulis:

`I was also, during my two weeks stay here in Malaysia, been made aware that you are an educational leader who is open enough to work out peaceful solutions to the issue; unlike your predecessor.’ Beliau seolah-olah cuba membeli hati Dr Nordin yang tidakpun kenal siapa Dr Azly.

Yang memberhentikan Dr Azlipun bukanlah Tan Sri Naib Canselor tetapi oleh jawatankuasa tatatertib dan diperakukan dalam Lembaga Pengarah Universiti, yang pengerusinya bukanlah Naib Canselor UUM. Dr Azli dan Dr Mutiara berhutang dengan UUM, maka sebagai penghutang beliau perlu bertanggungjawab terhadap hutang itu.

Memang di atas planet bumi ini semua orang mahukan pelbagai kebebasan seperti ditulis Lee Ban Chen, tetapi kebebasan untuk tidak membayar hutang hampir tidak ada.

Meminjam ayat Dr Azly `we must continue to help the poor, the oppresed dan the marginalised of all races…’ UUM bersedia menjadikan RM1.25 juta yang dihutang oleh Dr Azly dan Dr Mutiara sebagai biasiswa kepada mana-mana kaum termasuk kaum Cina di Ulu Lenggong atau kaum India miskin dan anak pekerja ladang untuk belajar di UUM.

Dengan menyembunyikan fakta, bolehkah disoal dan menulis berkali-kali mengenai orang tidak mengenali beliau dan beliaupun tidak kenal dengan orang yang ditulisnya, maka siapakah yang lebih politically motivated?’ Siapakah yang membela rakyat? ‘Class’ masyarakat mana yang selalu meminta diri dilayan dengan istimewa?

UUM: Azly and wife owe us RM1.25 million

From Malaysiakini
UUM: Azly and wife owe us RM1.25 mil
Aug 3, 07 4:58pm

Refusing to ink the Surat Akujanji (loyalty pledge for civil servants) was not the only reason why academic Dr Azly Rahman and his wife Dr Mutiara Mohamad were sacked, according to Universiti Utara Malaysia (UUM).

In a hard hitting press statement today, UUM claimed that the couple also owed the university RM1.25 million in compensation.

It claimed that Azly (left), who is also a malaysiakini columnist, and his wife were granted permission by the university to further their PhD studies in Colombia University, USA, for three years beginning from 1997. UUM said it covered all expenses, including their monthly salaries, for that period.

It said the couple had also asked for extensions on four occasions to complete their studies, and this was granted with their monthly salaries paid and their expenses financed by the university despite being absent from duty.

“The funds provided to Azly and his wife by UUM would of course have legal and contractual processes and when the couple was asked to return to their duties on Oct 31, 2003, they did not return," said the university.

Treated with trust

UUM claimed that Azly and his wife were treated with privilege and trust and when the couple refused to return, the university finally said “enough.” The matter was then brought to the disciplinary committee for deliberation and it was decided that the couple should be sacked.

“Following a year after they had failed to pay the compensation, UUM via the legal firm Bahador Omar & Co sent them a legal notice on July 23, 2007. “Don’t Azly and Mutiara feel sorry for their guarantors Mohamad Salim and Ahmad Azmi Ariffin who are now forced to settle the money,” said UUM.

UUM then lambasted Azly, who is currently still based in the US, for concealing this fact from his articles and focusing on the Akujanji issue alone. “Only is he not grateful to UUM for all that the university has done for him, Azly also chooses to tarnish the reputation of the university around the world

“He is also willing to insult all academics in Malaysia and the government of Malaysia simply because the academics sign the Akujanji,” it said, adding that this is why the university had resorted to legal means. UUM had recently sent another legal notice to Azly via law firm Azam Aziz & Co demanding for a public apology and to stop writing articles that tarnish UUM.

However, the academic has refused to do so.

Tuesday, July 31, 2007

Makna 'Tidak Cukup'

MALAM ini sempat berjumpa dan bersembang-sembang dengan seorang Profesor dari UMT (Universiti Malaysia Terengganu). Dengan profesor, kadang-kala lahirnya 'insight'.

Beliau bercakap mengenai istilah 'tidak cukup'. Katanya, dalam pengalamannya berurusan dengan kakitangan di universitinya ada penyelidik yang selalu kata wang yang disediakan untuk penyelidikan tidak cukup, menyebabkan beliau tidak boleh menyudahkan `research'.

Berkatalah Profesor itu, tidak cukup adalah istilah yang positif. Kita lahirpun, katanya, tidak cukup ilmu, maka kita belajar. Kita bekerja tidak cukup duit, maka kita bekerja. Kita bekerja dari dulu hingga sekarang, pernahkah cukup duit?

Maka, kata Profesor itu lagi, dengan tidak cukuplah bergunanya akal kita untuk berkreatif dan hidup, seperti kata Descartes 'cogito ergo sum' (I think, therefore i exist). Tidak cukup itu memberi makna kepada hidup.

Monday, July 30, 2007

Antara pengurusan demokratik dan autokratik

DALAM pengalaman hidup aku melihat pelbagai cara pengurusan manusia, tidak ada satu mazhab untuk aku yakini dan boleh amalkan dalam situasi kerja atau hubungan antara pekerja dengan kakitangan.

Aku membenci kaedah autokratik kerana dimomok sekian lama bahawa kaedah demokratik atau kebebasan yang mendekati amalan liberal atau leisser-faire adalah amalan paling bertamadun atas planet ini.

Melihat kepada pengalaman, kaedah askar/autokratik/disiplin yang membawa hasil atau dalam istilah biasa kejayaan. Orang yang autokratik akan mengarahkan anak buahnya untuk siapkan kerja atau tugasan dan subordinate akan akur dan takut lalu melaksanakan tugas berkenaan.

Dalam organisasi yang aku perhatikan, bossnya seorang yang garang alaaskar. Semua anak buahnya akur seperti akurnya seorang prebet kepada seorang jeneral. Kakitangan bawahan tak seorangpun berani untuk datang lewat atau minum waktu pejabat, manakala satu lagi jabatan yang aku perhatikan, bossnya seorang tersangat liberal (walaupun kuasanya lebih tinggi berbanding dengan organisasi yang pertama tadi), anak-anak buahnya selalu sahaja kelihatan tidak berdisiplin, datang lewat, boleh minum waktu ofis dan tentunya merendahkan produktiviti kerja. Walaupun bossnya seorang yang rajin kerja (keretanya masih kelihatan di depan pejabat walaupun hari dah jam 7 malam), semua kakitangannya yang lain pulang sebaik sahaja habis waktu pejabat.


Tuesday, July 24, 2007

Sesiapa sahaja boleh menulis

SEORANG rakan aku mengikuti sesungut patah. Aku tanya mengapa tidak bagi respons? Katanya, tidak pandai mengarang. Aku bagitahunya jika boleh bercakap dan berfikir, tulisan beroperasi dengan cara sama. Mungkin masalah yang difikir rakanku itu bukan tak boleh menulis, tetapi masalah lain.
Satunya, masalah bentuk. Idea sedikit berbeza dengan bentuk. Maksudnya, idea ada tetapi takut tidak akan ada bentuk, apabila menulis. Bentuk itu terpulang kepada pilihan individu. Jika memeilih untuk membuat ayat yang panjang, maka jadilah panjang tetapi jika mahukan pendek, katakan lima perkataan dalam satu ayat, maka jadilah pendek. Yang lain itu hanyalah curasan rasa atau fikir.
Berfikir semua orang boleh berfikir. Kecuali Gila. Setiap yang difikirkan itu, taipkan sahaja di komputer.
Inilah asas penulisan. Yang lebih mendalam membabitkan idea-idea yang jarang orang fikirkan, tetapi kita fikirkan. Jarang orang bertanya, tetapi kita bertanya. Ini bagi Susan Horton dinamakan proses mereka cipta, berdasarkan idea atau gabungan idea sedia ada untuk mendapatkan konsep atau pemikiran baru. Inilah yang aku sedang cari......

Friday, July 20, 2007

Bangga dikaitkan dengan UUM

BARU-BARU ini, jika tak silap tiga bulan lalu, aku berkenalan dengan seorang lelaki. Beliau memperkenalkan diri sebagai Hamidi. Asal Terengganu. Alumni UUM.

Ketika itu jam 7.45 pagi. Aku dan dua lagi rakanku ingin bermain golf di UUM. Beliau hanya berseorangan. Kerana rindu dengan UUM, beliau datang pagi-pagi. Kebetulan flight kami hanya tiga orang, kami mengajaknya untuk bersama-sama.

Katanya ketika di UUM dulu, beliau mengambil ko-kurikulum golf. Permainannya agak baik, kerana belajar empat semester. Kerjanya kini agak baik. Seorang pegawai peringkat atasan menengah. Aku bertanya pandangan dengan UUM, beliau begitu positif sekali.

Selepas bermain golf, kami pekena nasi mamak di Subaidah. Kami berborak-borak. Oleh sebab beliau kini antara penemu duga untuk kemasukan ke agensi tempat dia bekerja, aku bertanya bagaimana dengan prestasi graduan UUM yang memohon berbanding dengan universiti lain?

Ada beberapa kelemahan yang beliau ceritakan. Aku tak berhasrat mencatatkan di sini. Aku bertanya apakah beliau memberi markah tambahan untuk lepeasan UUM berbanding dengan lepasan universiti lain?

"Tentuya lepasan UUM dilayan berbeza," jawapannya memberi rasa bangga hingga aku dengan sukacitanya membayar semua yang kami makan di Subaidah.

Aku percaya banyak lagi lepasan UUM kini yang merata-rata di seluruh negara yang mengambil sikap seperti Hamidi. Malah, dulu ketika aku bekerja di Berita Harian, bos aku yang merupakan lepasan Sebaran Am ITM mengambil dan menyusun semua pasukannya dari UiTM. Malah, banyak staf baru diambil dari ITM, berbanding universiti lain.

Moral of the story begini: UUM perlu mengeluarkan lebih banyak graduannya yang memegang jawatan utama dalam sektor swasta dan kerajaan. Mereka ini diharap dapat menjemput graduan baru untuk bekerja bersama mereka.

Namun demikian, ada juga yang tak berasa bangga dengan UUM. Mereka malu dikaitkan dengan UUM. Ini normal. Sesiapa sahaja akan berasa bangga jika institusinya hebat, gagah dan terkenal. Jika ibu bapa kita gagah, hebat dan terkenal, kita juga akan berasa bangga dikaitkan dengan mereka. Jika keluarga kita kacau, kadang-kala diri sendiri malu untuk dikaitkan. Ini normal. Untuk merealisasikan hasrat ini, UUM perlu muncul sebagai institusi hebat, gagah dan terkenal.

Bagaimana?

Thursday, July 19, 2007

Mengurus Cinta dan Kasih

PENDIDIKAN di negara berjaya mempertajam kognitif. Akal dibanjiri maklumat. Segala yang tak diketahui sebelum ini, diketahui. Dengan awalan 3M - membaca, menulis dan mengira, kemahiran itu dipertajam dan dipertajam di peringkat menengah.

Namun, latihan emosi berhenti sebaik memasuki sekolah. Walau Falsafah Pendidikan begitu muluk sekali menyatakan untuk melahirkan insan yang holistik merangkumi spritual, jasmani, emosi dan intelektual, 'budaya' pengajaran dan pembelajaran mengutamakan penghafalan dan kognitif. Betul ke?

Lihat peperiksaan sama ada UPSR, PMR, SPM, STP mahupun peperiksaan di universiti, apakah yang mahu diukur? Hafalan yang menyentuh dimensi kognitif atau emosi?

Ini menyebabkan emosi tidak berkembang berkadar terus dengan usia. Emosi jadi kucar-kacir. Dalam dimensi emosi ini, seperti cinta dan kasih, sukar untuk diuruskan. Perkahwinan hanya bilangan. Perkahwinan hanya seks. Perkahwinan berpisah dengan cinta dan kasih.

Cinta dan kasih terus menjalar tanpa matang dan mampu diurus.

Takut Kepada Perubahan


TIDAK sedikit orang takut kepada perubahan. Ini kerana perubahan mengiringi risiko. Perubahan membawa baik dan mungkin buruk. Namun, perubahan berlaku. Jika diri tak mahu berubah, persekitaran berubah.

Hari semalam tidak sama hari ini. Besok hanya milik tuhan. Untuk kekal berada pada hari semalam atau hari esok, tidak mungkin secara realitinya. Yang ada hanya saat ini. Semalam kita ke kuliah, hari ini ke kuliah dan mungkin esok juga ke kuliah, namun persekitaran hari semalam, hari ini dan esok tidak sama. Kelembapan tanah berbeza. Pokok-pokok membesar sedikit berbanding semalam, walaupun mata kasar sukar mengesaninya. Kereta dan motosikal yang berada di sebelahan kita juga berbeza.

Apa lagi jika dilihat secara holistik. Pelbagai ciptaan baru terhasil di penjuru alam, bukan Sintok. Yang rajin akan terus mencipta pelbagai alatan, kekayaan, teknologi dan segala yang baru. Untuk kekal pada hari semalam seperti membuang antena.

Inilah sebab agaknya Tuhan menciptakan sesungut kepada serangga. Setiap hari serangga mengesan makanan. Kesanan semalam tidak lagi disahihkan, melainkan carian baru dilakukan.

Jika tidak, serangga ini akan mati. Dahulu untuk berhubung, kita menggunakan surat. Untuk mengetahui sesuatu berita lambat. Kini, dengan emel dan internet, setiap perubahan baru boleh diperkongsikan dalam masa sebenar.

Charles Darwin selepas menjelajah pulau Galapagos kerana berkesempatan menaiki Beagle, berjaya melihat haiwan-haiwan khususnya burung ciak turut berubah sesuaikan dengan persekitaran yang ada. Jika haiwan itu tidak berubah kerana perubahan persekitaran, haiwan itu akan mati, pupus. Teori natural selection terpakai kepada bukan sahaja haiwan, tetapi juga manusia, kerana manusia juga mengandungi elemen haiwan/biologi. Tahap survival manusia, sebagai makhluk hirarki tertinggi selepas haiwan, tumbuhan dan mineral kerana kemampuan untuk mengesan perubahan dan membuat adaptasi.

Indahnya hidup ini kerana kebolehan untuk berkreativiti dalam alam yang sentiasa berubah. Perubahan ini menawarkan pelbagai pilihan. Sama seperti alam lain, ada neraka dan syurga.

Hidupkan antena, lakukan perubahan, demi survival diri!














Wednesday, April 4, 2007

`aku' dan keakuanku

SINTOK: Guru Yunani, Socrates 500 tahun sebelum kelahiran Isa antara yang awal mengemukakan konsep kenal diri atau `know thyself'.

Buddha juga dikata mengemukakan ayat yang sama.

Banyak tokoh sufi terkemuka, al-Hallaj misalnya, mengembara mencari diri dan Tuhan akhirnya bertemu `Tuhan dalam dirinya'. Tokoh sufi lain turut mengemukakan kaedah tertentu seperti `kenal diri, kenal tuhan', `kenal tuhan, kenal diri'.

Dari segi biologi, `aku' dan `kau' relatif sama.

Freud mengemukakan konsep `id' , `ego' dan `superego' dalam mengenali diri secara psikologi.

Al-Ghazali dalam Ihya Ulumiddinnya mengemukakan trilogi akal, hati dan nafsu dalam mengenali dan membersihkan diri (tazkiah), sehingga menjumpa fitrah atau diri asli.

Jika kita kata 'ini tangan aku', 'ini kepala aku', 'ini kaki aku' bermaksud aku pemilik kepada tangan, aku pemilik kepada kepala dan aku juga pemilik kepada kaki. Dimanakah `aku'?

Apakah aku itu `subconcious mind' seperti diungkapkan Carl Jung dan Freud? Atau apakah aku itu 'roh' yang tidak diketahui dimana ia berada sama ada di hati, di akal atau diseluruh anggota badan?

"Kita tidak boleh bercakap mengenai roh, kerana itu dilarang dalam al-Quran?" kata sesetengah pendapat tidak muktabar. Bagi yang muktabar menyatakan ayat al-Quran yang menyatakan roh tidak boleh dikaji, mengikut asbabul nuzulnya, dituju khas kepada Yahudi yang berniat kurang elok kepada nabi, bukan untuk memahami.

Al-Ghazali begitu mendalam mengupas berkenaan roh. Banyak lagi tokoh sufi seperti Junaid alBaghdadi dan Shah Waliullah menjelaskan mengenai perkara ini.

Akan tetapi boleh kita mengenali diri apabila membaca karya mereka. Ini kerana mengenali diri, memahami diri dan menjumpai diri tidak sama dengan mendapat maklumat mengenai diri.

Lalu, bagaimanakah cara mudah mengenali diri?

Wednesday, March 28, 2007

"Tuhan tidak beragama"

SINTOK: Gandhi diingati kerana hidupnya sebagai aktivis perjuangannya bukan sahaja berjaya membebaskan India daripada belenggu penjajahan British, tetapi juga kerana usahanya menyatukan rakyat India, dengan slogan: "Tuhan Tidak Punya Agama." (Lihat: www.caping.wordpress.com).

Pada waktu itu, penganut Hindu begitu taksub dengan tuhannya dan menganggap Tuhan hanyalah milik kaum India beragama Hindu.

Begitu juga penganut Islam menganggap Tuhan adalah milik mereka.

Kaum Yahudi seperti tercatat lewat ayat al-Quran terutama dalam surah al-Baqarah turut menyatakan mereka mempunyai faham yang sama, bahawa Tuhan mengiktiraf merekalah sebagai kaum super. Justeru, Tuhan milik mereka.

Peristiwa bersejarah Perang Salib atas sebab berebut Tuhan.

Tuhan juga selalu menjadi `mangsa' kepada manusia.

Ketika air tiada di UUM dalam empat hari, berlaku beberapa kecurian baldi dan air dalam baldi. Lantas, pelajar di kolej yang kehilangan baldi dan air turut berkata: "Pulangkan segera apa yang anda curi, Tuhan nampak apa yang kamu lakukan!" (ayat ini menjurus kepada menggunakan tuhan untuk mengancam `pencuri').

Begitu juga kerap kali kita boleh dengar dialog seperti ini, termasuk apa yang berlaku di kalangan artis Melayu tempatan: "Ini dah takdir, saya terpaksa bercerai"; "Belum ada jodoh"; "Semuanya ini dah tersurat".

Bukankah kata-kata demikian ingin mengheret Tuhan untuk sama-sama bertanggungjawab terhadap kesalahan sendiri?

Jika betul tuhan tidak beragama, maka mengapa perlu setiap penganut mendakwa merekalah pemunya tuhan?

Mengapa perlu cemburu jika setiap kita memiliki tuhan yang sama, kuasanya sama, baiknya sama, ehsannya sama dan dialah Penjaga Cakrawala?

Jika tuhan diibaratkan matahari yang memberikan nikmat cahaya kepada semua tumbuhan, haiwan dan manusia secara adil dan saksama, mengapa kita tidak pernah bergaduh untuk menguasai matahari dan memunyai matahari?