HARI INI, SEMALAM DAN ESOK
SESUNGUT serangga tidak boleh mengesan sesuatu perkara pada masa lalu. Begitu juga pada masa depan. Apa yang ada disekitarnya sahaja yang menjadi perhatiannya. Begitu juga pada kebanyakan rakan-rakan haiwan yang lain. Yang mungkin berlaku seperti diujikajikan oleh Pavlov mengenai ransangan makanan kepada anjing, itu juga boleh dikatakan berlaku dalam waktu kini. Dalam waktu kini dia mengeluarkan air liur apabila terdengar bunyi makanan.
Semua kita sudah biasa dengan perkataan semalam (atau disebut juga kelmarin di kalangan orang utara) atau perkataan hari ini, mahupun perkataan esok. Melihat tajuk ini sepintas lalu, mungkin ada beranggapan saya akan bercakap mengenai perkara-perkara yang lepas yang berupa sejarah, perkara berlaku sekarang dan perkara yang akan berlaku pada masa depan.
Saya memilih untuk menyatakan bahawa dalam realiti hanya ada masa kini. Masa lalu tidak wujud. Sejarah tidak wujud dalam realiti. Masa depan juga tidak wujud. Esok atau masa depan hanya milik tuhan. Walaupun kedengaran agak provokatif, saya ingin menjelaskannya kali ini.
Mengapa saya berkata masa lalu tidak wujud dalam realiti? Untuk memahaminya, saya ingin mengajak semua hadirin, tanpa perlu memikirkan apa-apa, hanya menarik nafas, memajam mata, dan merasakan pergerakan nafas. Mari kita mulakan, pejamkan mata dan tarik nafas, rasakan pergerakan nafas. Sekali lagi.
Itulah realiti. Rasai nafas kita sendiri. Boleh merasai sedikit perubahan dalam kotak dada, jantung dan otak. Ianya berlaku dalam realiti. Ianya berlaku waktu sekarang. Detik ini, saat ini, saat ketika melakukan tarikan nafas dan memejamkan mata, itulah realiti. Titik saat ini juga berlaku hanya sekejab. Apa yang dilakukan sekejab tadi sudah tidak dirasai dalam saat ini. Seumpama kita berada di atas gerabak keretapi yang sedang bergerak dan memandang melalui tingkap, pemandangan itu turut bergerak. Tidak statik. Yang tergambar dalam fikiran pemandangan pada saat itu, sudah tidak sama dengan pemandangan pada satu saat sebelum itu. Kecuali, kita mengekalkan dalam ingatan masa lalu untuk di bawa ke masa kini. Seumpama gambar di kamera.
Yang wujud secara realiti hanyalah di sini dan saat ini, here and now. Pentingkah memahami perkara ini? Bolehkah kita berada dalam ruang bukan di sini dan saat ini.
Jawapannya : Boleh dan tak boleh. Kita boleh berada dan selalu berada dalam ruang bukan di sini dan saat ini. Sebagai contoh, berapa ramai dalam dewan ini yang fizikalnya berada di sini, tetapi ingatannya berada di tempat lain? Ada yang saat ini sedang melakukan rehersal dalam kepala, apa yang akan berlaku selepas ini? Ada juga yang sedang mengingat akan masa semalam. Ada juga yang berkhayal mengenai dunia perkahwinan yang akan dilangsungkan setahun dua lagi. Jasad saudara dan saudari berada dalam dewan ini, tetapi oleh sebab ingatan kepada tempat lain, maka seolah-olah telinga dan mata tak berfungsi.
Sesungguhnya, dalam keyakinan saya, orang yang sihat fizikal, spiritual dan psikologi ialah seseorang yang berada dalam ruang, ‘here and now’.
Sebagai contoh, jika kita berjalan kaki 10 kilometer tanpa meminum air. Realiti biologi kita akan merasakan kekurangan air sejumlah tertentu. Organisme kita akan berbisik ‘haus, berikan aku air’. Jika kita tidak melayan suara bisikan itu, pada tika di situ dan saat itu, kita akan mengalami dehydration, yang tentunya akan menjejaskan kesihatan diri. Andainya pada waktu itu, kita tidak mahu pedulikan suara bisikan, sebaliknya memberi tumpuan ingatan kepada perkara-perkara lalu, berkhayal mengenai memori semalam, mungkin juga suara itu akan hilang, dan dengan itu kita tidak mengambil air secukupnya. Seandainya suara bisikan itu terus hadir mengingatkan akan perlunya air, mungkin juga kita akan terpaksa mengambilnya. Jika sekiranya suara itu mati disebabkan kita lebih mementingkan hal-hal masa lalu atau masa akan datang, kita juga mungkin akan mati. Sedangkan, suara itu untuk memberikan diri kita homeostasis iaitu satu keadaan yang seimbang. Jika kehidupan kita hanya ditumpukan kepada hal-hal materialisme semata-mata, akan ada suara dalaman yang mengajak kepada hal-hal rohani. Barangkali, inilah juga lebih dua pertiga penduduk dunia mempunyai agama dan kebanyakan agama mempunyai ritualnya seperti sembahyang. Jika kita tidak melayan panggilan rohani berkenaan, akan berlakulah ketidakseimbangan diri. Sama juga keadaan jika seseorang yang memberi tumpuan kepada berfikir dan bermeditasi tetapi tidak bersukan, lama-kelamaan fizikal akan menjadi semakin lemah. Justeru, homeostasis itu menjadi satu hukum alam, yang jika kita tidak mematuhinya, akan ada kesannya.
Bagaimana dengan keadaan orang yang suka berada pada masa hadapan? Dalam realitinya kita tidak mungkin berada pada masa depan, sebagaimananya tidak wujud masa lalu. Seperti yang saya sebutkan sebentar tadi, masa depan milik tuhan. Memang wujud orang yang mendakwa peramal masa depan atau futurologist. Sebagai contoh, munculnya tokoh-tokoh peramal masa depan seperti Hutington (1996) yang meramalkan masa depan akan berlaku pertembungan peradaban antara agama-agama dengan istilah popularnya ‘the clash of civilization’. Fukuyama pada tahun 1992 meramalkan masa depan akan merupakan zaman kapitalisme mutlak kerana kejatuhan Soviet Union. Fukuyama memberi frasa keadaan masa depan sebagai ‘the end of history and the last man’. Guru Pengurusan seperti Peter Drucker sejak 1969 meramalkan ciri-ciri masa depan sebagai sesuatu yang diistilahkan sebagai ‘age of discontinuity’ manakala Profesor Charles Handy pada tahun 1997 menyifatkan ciri masa depan kepada ‘age of unreason and beyong certainty’.
Walaupun mereka maramalkan masa depan berdasarkan trend semasa, atau melihat ciri-ciri masa lalu, ianya berlaku pada masa ramalan itu dibuat. Kita hanya boleh menjangka (anticipate) apa yang akan berlaku. Namun ianya secara realitinya berlaku pada waktu itu. Dan, jika sekiranya sesuatu berubah hari ini berlainan dengan trend yang dijangka akan berlaku masa depan, jangkaan peramal masa depan itu juga akan berubah. Tidak mungkin apa yang akan berlaku masa depan tidak bermula hari ini, saat ini. Sebab itu, pepatah cina kuno berkata: “a journey of a thousand miles must begin with a single step”.
Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri pada 1990 untuk menjadikan Negara ini maju pada tahun 2020, tidak mungkin tercapai jika tiada usaha dilakukan hari ini. Sudah dua puluh tahun dasar ini dilaksanakan di negara ini, yang terus diikuti oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak, namun untuk menterjemahkan wawasan itu dalam realiti tidaklah semestinya akan berlaku, kerana wujud pelbagai pemboleh ubah yang sesetengahnya di luar kawalan pemimpin negara, seperti serangan penyangat mata wang yang dahsyat pada sekitar tahun 1997 dan 1998.
Begitu juga penyakit meletakkan, misalnya, Selangor maju 2005 atau Kedah Maju 2010, ianya hanya menjadi catatan dalam dokumen kerajaan. Atau, seperti Pak Lah meletakkan sasaran 2100. Semuanya mahu melompat ke masa depan.
Walau bagaimanapun, wawasan itu ada kebaikannya kerana ianya mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama menjayakan satu visi yang sama. Jika tidak ada sasaran, tidak mudah juga usaha untuk dibuat agar rakyat bersama-sama menjayakannya. Jika ianya hanya tertulis dalam dokumen, tanpa ada usaha menterjemahkannya, maka ianya hanyalah elok dalam dokumen semata-mata.
Walau bagaimanapun, ada juga sesetengah orang menggunakan pendekatan masa depan untuk melarikan diri (defence mechanisme) daripada menghadapi realiti semasa. Sebagai contoh, seorang pemimpin yang tidak mahu kakitangan organisasinya merungut mengenai suasana semasa, mereka akan membuat sesuatu yang bersifat masa depan. Misalnya, ada pemimpin sebuah negeri meletakkan negerinya maju pada tahun tertentu pada masa depan, maka bolehlah mereka mengelak untuk menghadapi suasana hari ini, dan meletakkan segala masalah pada masa depan. Atau, membuat kenyataan seperti ‘Negara akan maju pada tahun 2111, iaitu 100 tahun lagi’. Memang kenyataan begitu boleh dibuat, dan pada tahun 2011 itu, pembuat kenyataan juga barangkali sudah meninggal dunia.
Walaupun masa depan itu tidak wujud dalam realiti, ianya wujud dalam perspektif. Misalnya, mati merupakan sesuatu yang realiti, tetapi masih belum berlaku. Jika dah mati saat ini, tidak mungkin kita masih boleh merasai suasana kemeriahan dalam dewan ini ketika ini. Begitupun, kita boleh berkhayal mengenai detik-detik mati pada saat ini atau pada bila-bila masa yang kita mahu. Melalui cara “melihat” detik-detik berkenaan, maka bolehlah kita melakukan sesuatu hari ini, sama ada berhasrat mahu mati dengan tidak ada ‘unfinished business’ atau mahu mati sebagai pendosa.
Lawan kepada masa depan, ialah masa lalu. Masa lalu atau sejarah juga tidak wujud secara realiti. Kita tidak boleh mengubah masa lalu. Yang boleh kita mengubah adalah sesuatu yang berlaku pada masa lalu dan masih muncul pada waktu ini. Jika kita melakukan perbuatan kurang bermoral pada masa lalu, dan ingatannya datang pada waktu ini, kita tidak boleh lagi mengubah sejarah masa lalu. Sejarah itu tetap kekal. Fakta tetap fakta. Namun kita boleh mengubah masa kini seperti dengan berusaha untuk melupakan waktu lalu, melalui jalan pertobatan, psikoterapi atau jumpa pakar psikiatri atau lain-lain kaedah. Begitu juga, katakan, sejarah yang terakam dalam buku sejarah di sekolah ditulis oleh seseorang berdasarkan kebenaran dalam perspektif penulis atau perspektif yang dipersetujui oleh kebanyakkan orang. Jika kita ingin mengubah sejarah itu, ianya hanya membabitkan perubahan pada tulisan atau dokumen sejarah berkenaan.
Ada juga orang yang suka mengagung-agungkan sejarah diri, iaitu kehebatan dirinya pada waktu lalu. Sedangkan, realiti hanyalah apa yang dia wujud pada waktu kini. Sekiranya kesukaan untuk mengenang dan mengagung-agungkan masa lalu itu mengambil sekotak masa melebihi 80 peratus, maka masa kininya akan tertinggal hanya 20 peratus. Seperti yang saya sebutkan sebentar tadi, seseorang yang sihat fizikal, rohani dan psikologi ialah mereka yang memaksimumkan masa kininya. Jika saat ini sedang berkhayal mengenai keindahan sesuatu setahun lalu, mungkin anda tidak mendengar atau memahami apa yang saya tuliskan.