Tuesday, September 8, 2009

UMNO ATAU PAS YANG PERLU BERUBAH IDEOLOGI

DENGAN andaian tidak ada yang insan-nul-kamil, maka sesiapa dahulu yang mengambil langkah ini dikira lebih mulia hati nuraninya.

PAS mengambil Islam sebagai ideologinya tetapi apakah Islam lebih penting dari ideologi atau ideologi lebih penting daripada Islam? Kenyataan yang kerap kali kedengaran seperti `Undi Pas masuk Syurga' atau mengundi UMNO menyalakan kayu api di neraka, merupakan kenyataan yang seperti meletakkan ideologi atau perjuangan melebihi kepada agama. Banyak juga yang dihalalkan walaupun sebelum ini diharamkan seperti berkawan dengan parti yang tokoh pemimpinnya pernah dan akan terus menyatakan 'langkah mayat aku jika mahu tubuhkan negara Islam'.

UMNO juga dibeliti imej buruk sebagai mereka yang hanya tahu mengkayakan diri dan keluarga, berbanding dengan perjuangan. Malah, kumpulan yang dianggap lebih bijak, berstrategis dalam perjuangan, tidak dimudahkan laluan untuk memimpin, sebaliknya disukarkan lagi. Ini menyebabkan sedikit sukar mencari pemimpin yang berjiwa luhur untuk membantu kabilah Melayu. Yang banyak kedengaran dalam setiap kali perhimpunan beberapa ayat berupa mock psikologi - memberi semangat dan semangat, tetapi pelaksanaan berlaku sebaliknya dalam realiti.

Perubahan di peringkat ahli akar umbi secara bottom-up lebih afdhal sebagai prasyarat berlaku perubahan di peringkat 'top-down'.

Setiap orang Melayu bertanggungjawab memastikan keupayaan Melayu dan Islam di negara ini terus kukuh, dan umat Islam bukan sahaja kuat agama secara perlambangan tetapi juga kuat dari segi individu umat Islam. Kuatnya individu akan kuat lagi ummah.