Thursday, February 22, 2007

Universiti perlu dimansuhkan

SINTOK: Idealis selalu berkata mahasiswa adalah pewaris kepemimpinan dan universiti mesti menjadi tempat memupuk intelektualisme.

Inikah yang mahasiswa dan masyarakat mahukan dengan universiti?

Meski tidak ada tinjauan persepsi, aku masih berpendapat mahasiswa ijazah pertama mahukan pekerjaan apabila bergraduat. Mahu mencari pasangan. Mahu membalas jasa ibu bapa melalui rezeki dan tentunya bagi yang kurang berkemampuan, membayar PTPTN.

Jika kenyataan ini boleh diterima secara umum, maka universiti perlu bergerak ke arah itu. Pastikan semua graduan ijazah pertama bilingual. Ada kemahiran yang boleh dipasarkan. Pastikan majikan berpuas hati dengan produk universiti. Mantap hard skill dan soft skill.

Atau, jika mahukan keidealan universiti: tutup universiti. Tubuhkan seberapa banyak politeknik, kolej komuniti dan institusi latihan yang khusus untuk membekalkan buruh-buruh ke institusi kerajaan atau swasta.

Tuesday, February 20, 2007

Wartawan

KOTA BHARU: Jika kita terlantar di hospital, siapa akan menemani kita?

Seorang rakan aku, Mona Ahmad, seorang wartawan Berita Harian dan suaminya, Haris terlibat dalam kemalangan. Suaminya baru sedar dari Koma. Mona patah tangan kanan, kaki kanan dan leher.

Dalam kesempatan pulang ke Kota Bharu, aku sempat menziari Mona. Aku rasa beliau akrab denganku. Ketika aku kahwin dulupun, dia salah seorang rakan-rakanku di Berita Harian yang menjadi rombonganku ke Johor. Ketika dia belum berkahwin dulu, dua tiga tahun lalu, aku cuba `padukkan' dengan seorang rakan wartawan Utusan. Usaha itu gagal. Akhirnya dia menemui `jodoh' (aku kurang gemar menggunakan perkataan `jodoh' kerana terlalu deterministik) dengan suaminya kini yang juga seorang juru gambar NSTP. Segak suaminya. Aku doakan mereka berdua cepat sembuh.

Walaupun telah tidak lagi dalam dunia kewartawanan secara langsung, perkembangan sering diikuti secara dekat. Masih ikuti siapa yang dilantik menjadi pengarang. Siapa dilantik jadi ketua pengarang. Meskipun aku tidak terlalu berminat mengikuti perkembangan politik, tetapi nampaknya rakan-rakan selalu sahaja menceritakan kaitan dalam aspek pelantikan. Perlahan-lahan terpaksa juga aku ikutinya. Aku masih mengikuti rakan-rakan di NSTP kini sedang `kaya' kerana baru selesai tunggakan CA. Masih mengikuti siapa yang bertukar-tukar ke negeri-negeri menjadi ketua biro atau wartawan state. Aku masih merasakan seorang wartawan. Malah, ada seorang rakanku, katanya, tulisanku masih lagi mengikuti journalistic stail of writing. Aku cuba menghilangkan gaya itu. Bukan tidak suka. Cuma cuba melihat gaya lain. Mencari identiti yang sesuai dengan diriku. Inilah sebabnya tulisan dalam blog ini, seakan-akan sedang mencari 'identiti'. Biarkan. Ianya mungkin tidak lama.