Friday, October 5, 2007

BUMI MANUSIA YANG MENGHIBAKAN

BUMI MANUSIA (1)

TIDAK pernah membangkitkan rasa benci begitu tinggi kepada manusia yang diistilahkan sebagai penjajah dalam sejarah hidupku, melainkan selepas selesainya membaca novel pertama, Bumi Manusia dalam tetralogi (empat jilid) karya Pramoedya Ananta Toer.

Memang sebelum inipun aku pernah diusulkan membaca novelnya. Tatapi kesempatan masa dan peluang belum ada. Tarasa tersangat tertinggal mengapa tidak aku membacanya sejak dari dulu, ketika Pram masih lagi hidup di dunia ini. Aku mengkagumi begitu tinggi sekarang.

Sudah lama aku meninggalkan novel tulisan sasterawan nusantara kerana kurang beberapa novel yang aku membacanya tidak membangkitkan rasa seni yang tinggi - seperti yang berjaya dibuat Pramoedya, walaupun sebagai orang yang berminat dalam bidang journalism, aku juga pernah membaca novel Hujan Pagi, karya Sasterawana Negara, A Samad Said. Berbanding Pak Samad, Pramoedya mempunyai kekuatan dari segi melukiskan suasana kemasyarakat ketika dijajah dengan bahasa yang mudah. Kedua-duanya berjaya dari segi memaksa untuk aku menyudahi membacanya tanpa henti. Kelebihan Pak samad, beliau berjaya melunakkan bahasa menjadi begitu halus dan lembut membelai rasa romantik. Pram mampu menggunakan bahasa yang agak keras dan berjaya, pada aku, membangkitkan rasa suka, benci, marah dan rindu. Namun, berlainan dengan novelis Inggeris, Pram nampaknya kaku dalam melukiskan adegan seks, atau gagal membangkitkan rasa ghairah pembaca ketika sekali-sekala membicarakan perkara itu. Bukan aku mahukan novel seks, tetapi jika Pram berjaya membangkitkan rasa patriotik diriku, rasa suka, benci, cinta, rindu, marah, rasa bijaksana, kemanusiaan dan tentunya juga aku harapkan juga beliau berjaya membangkitkan rasa ghairah, paling tidak mewarnakan daya khayalan. Yang ada terlalu sedikit....hanya menjadi 'binatang purba'. Bukankah ini juga terangkum dalam kemanusiaan.

Mari aku ringkaskan sedikit ceritanya.

Pramoedya mengarang novelnya ini ketika ditahan pemerintah Indonesia di Pulau Buru. Dalam keempat-empat jilid novelnya ini, beliau mengambil zaman 1890 hingga 1918, zaman kebangkitan semangat revolusi Indonesia menentang Belanda. Ketiga-tiga novel lain itu, aku belum membacanya, dan berharap Ramadhan ini aku dapat mengkhatamkan kesemuanya, seperti mana ulama muryid menghabiskan al-Quran ketika bulan mulia ini. Aku akan memasuki membaca novel keduanya bertajuk Anak Semua Bangsa, dan akan aku tulis kesannya yang aku rasai. Untuk kali ini kerana baru sahaja aku menghabiskan novel Bumi Manusia, akan aku ringkaskan sedikit.

Protagonisnya Minke. Minke adalah seorang pribumi Indonesia terpelajar. Seorang anak Jawa. Digambarkan seperti seorang kelas menengah. Beliau memasuki sekolah Belanda atau disebut H.B.S iaitu sekolah untuk golongan elit . Kesannya Minke fasih bertutur dan menulis Belanda dengan baik. Lokasi ceritanya: Surabaya. Kemudian diperkenalkan kepada satu keluarga kelas tinggi di Wonokromo, Surabaya. Keluarga itu mempunyai perusahaan/perniagaan yang sangat besar dan mempunyai beratus-ratus pekerja. Perusahaan itu dimiliki oleh Mellema, seorang Belanda. Tuan Mellema membeli seorang anak gadis Jawa bernama Saneken untuk hidup bersamanya dan dalam novel berkenaan dibiasakan sebagai Nyai Ontosoroh. Nyai ini bererti gundik. Dalam 'perkahwinan' itu, pasangan berkenaan dikurniakan dua cahaya mata, Robert Melema dan Annelies Mallema. Budaya waktu itu mengizinkan perbudakan. Inilah penjajahan. Nyai Onsororoh merupakan seorang yang gigih, kuat semangat dan gadis luar biasa, sehingga mampu mempelajari bahasa Belanda dengan `suaminya' dengan cepat dan fasih dalam perniagaan sehingga suaminya memberikan Nyai untuk menguruskan segala-galanya. 'Suaminya' itu kemudiannya menjadi hampir tidak keruan apabila anak sebenarnya dari Belanda datang mengugut dan memaharahi bapa kandungnya kerana meninggalkan isteri sebenarnya di Belanda. Ketidak ketentuan itu menjerumuskan suaminya dalam dunia pelacuran dan pemabukan. Pelacuran dilukiskan berleluasa yang dikendalikan oleh tauke-tauke Cina. Akhirnya, beliau tidak mempedulikan lagi keluarganya di sini, di Indonesia hinggakan Nyai sendiri sudah hapus rasa hormat pada `suaminya'.

Puteri Nyai dilukiskan sebagai seorang gadis cantik. Dalam usia kira-kira kurang 18 tahun. Tersangat cantik. Tapi, tidak pernah bergaul dengan orang kebanyakan. Kali pertama berjumpa Minke, Annelies sudah terpaut sayangnya. Begitu juga Minke. Bercintalah mereka berdua. Sehingga membawa kepada perkahwinan, dan diceritakan perkahwinan itupun berlaku selepas kedua-duanya pernah bertindak seperti `binatang purba' di atas ranjang.

Tragisnya apabila Tuan Mallema mati, dan bagaimana kedudukan Nyai dan anak-anaknya kerana hubungan mereka bukan melalui perkahwinan yang sah di sisi undang-undang Belanda. Segala perundangan memihak kepada Belanda, bukan kepada peribumi. Undang-undang menetapkan segala harta mesti dipulangkan kembali kepada keluarga sebenar Mallema. Sehinggakan isteri Minke, Annelis juga terpaksa dibawa pulang ke Belanda kerana perkahwinan itu dianggap tidak sah disisi undang-undang Belanda kerana Annelies berkahwin di bawah umur. lalu, Mahkamah menetapkan beliau mesti dihantar pulang ke Belanda, dan diletakkan di bawah jagaan anak sebenar tuan Mallema.

Tentunya ringkasan ini gagal membangkitkan rasa, kerana seseorang itu perlu membaca karya asli ini , lagipun aku bukanlah novelis dan mampu menulis karya sastera.

Wednesday, October 3, 2007

SEBUAH KEPUTUSAN

Sebuah Keputusan

Mestikah dilepaskan rasa gundah ini
Jauh di hujung sejarah penuh luka berdarah
Kerana hari-hari semakin hampir
Walau diri menjadi kecil
Kepada sebuah keputusan.

Menjalarnya bagai bocornya bisa racun
Menyerap sedikit demi sedikit rasa gembira
Dan sejarah itu tak terpadam
Kuatnya seperti tulisan di Loh Mahfuz
Dan keputusan menjadi pasti.

Realiti tidak seindah khayali
Penuh tangan ghaib tak terkawal
Ruang dan waktu membisik rasa gundah
Hadir tanpa diajak berunding
Dan keputusan belum menemui kewarasan.

Keputusan bukan sebuah mukjizat
Bagi orang biasa ada dosa
Walau hari semalam sudah berlalu
Dan masa depan belum pasti
Kerana hari ini kita bernafas.

Gundah sebuah warna kehidupan
Gembira sebentuk rasa ciptaan
Ditengahnya sebuah keputusan.






Patahnya Sesungut
10.47 malam
Sintok, Kedah.

DUALISME DALAM SISTEM MAHKAMAH

BARU-BARU ini seorang rakan saya dalam sms membangkitkan cita-cita luhurnya untuk memantapkan mahkamah syariah di negara ini. Kawan saya itu seorang pelajar law UUM. Beliau bercita-cita menjadi Prof Ahmad Ibrahim. Sebagai seorang kawan, dan orangnya pun cantik, saya memuji cita-cita murni itu dan doakan semoga berjaya.

Namun, saya juga ada pandangan berbeza.

Pada saya, kewujudan mahkamah syariah menjana kepada sukularisme dalam tata kenegaraan. Mana mungkin begitu, tanya kawan saya.

Saya mengambil contoh mudah yang kita saksikan dalam alam kenegaraan kita di Malaysia. Seorang Cina lelaki berkhalwat dengan seorang wanita Melayu (tentu beragama Islam dalam Perlembagaan Malaysia), dan ditangkap. Kedua-dua dihadapkan ke Mahkamah syariah. Apa keputusan mahkamah? Lelaki itu dibebaskan dan gadis Islam itu akan didenda atau dipenjarakan.

Mahkamah adalah lambang keadilan di planet bumi ini, dan adakah ini adil ?

Kata kawan saya, lelaki Cina itu kafir. Mana mungkin dia diadili dalam mahkamah syariah kerana ini isu agama? Saya kata, apakah agama Buddha, kepercayaan Congfucius, Loe Tze atau Zen Buddism menghalalkan khalwat?

Lalu, saya mencadangkan dualisme mahkamah ini tidak praktikal. Sebaiknya unitary. Gabungkan sahaja undang-undang dalam satu sistem di bawah perlembagaan dan mereka yang nak mencari keadilan, haruslah merujuk kepada satu mahkamah. Jika keadilan tidak diperolehi di Mahkamah Majistret (kes jenayah atau antara individu melawan negara) atau sivil (kes antara individu) bolehlah mereka merujuk kepada mahkamah rayuan sehinggalah ke peringkat Mahkamah Persekutuan (the Palace of Justice di Putrajaya). Mestilah kita akui mencari kemaksuman dalam undang-undang juga mustahil kerana waima di Mahkamah Persekutuan juga dua tiga hakim bersidang dan keputusan dipihakkan kepada majoriti. Jika ada kes penceraian, katakan, bolehlah merujuk kepada mahkamah sivil. Lagipun, negara kita, negara Islam, maka mahkamah keseluruhan itu adalah Islam - bagi mereka yang berminat dengan bermain istilah Islam!. Mewujudkan satu mahkamah khusus Islam (mahkamah syariah) seolah-olah mengkafirkan mahkamah yang tidak bernama Islam. Jika ada isu yang tak boleh diselesaikan kerana tidak ada peruntukan undang-undang, maka gubal atau pinda undang-undang sedia ada. Jika nakkan juga mahkamah syariah, maka saya cadangkan ianya mestilah unitary, iaitu Syariah juga merangkumi sivil dan jenayah. Semua undang-undang Barat, common law, diletakkan dalam payung ini juga. Asasnya keadilan.

Tidak ada undang-undang dalam mana-mana dunia, mana-mana zaman, yang statik.

Apakah yang saya maksudkan menjana sekularisme? Sekularisme ialah pemisahan sesuatu yang sepatutnya ada penyatuan, seperti mana pemisahan selepas abad pertengahan di eropah apabila gereja dan politik diasingkan. Inilah trend yang semakin menjadi berleluasa di negara ini sekarang walhal Eropah telah membebaskan diri mereka sudah lama dalam dilema ini. Antaranya, politik Islam dan politik yang....; Sains Islam vs Sains Sekular; Dunia vs akhirat; sekolah kebangsaan vs sekolah agama rakyat (SAR) dan banyak lagi.

Saya mengharapkan pelajar-pelajar law dalam usia muda inilah yang akan memikir dan mewarnakan negara, tidak semestinya terikut-ikut dengan status-quo semasa dan tidak berani mencabar the old wisdom.