Saturday, March 10, 2007

HALA TUJU MPP

SINTOK: Kenangan seseorang selalunya dua wajah, satunya mengingati kenangan buruk dan keduanya mengingati kehebatan masa lalu.

Ini memberikan kesan lahirnya dua mazhab pemikiran. Mazhab pertama melihat dunia ini penuh duri dan tujuan kehidupan hanya untuk mengelak duri berkenaan. Mazhab kedua akan bangga dengan masa lampau dan seterusnya suka menceritakan kenangan.

Dalam konteks Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), mereka yang percaya kepada mazhab kedua akan mencari sesuatu yang dirasakan hebat oleh orang masa lalu, dan meniru apa sahaja yang dibuat mereka.

Jika pada masa lalu, demonstrator akan dianggap sebagai wira maka usaha untuk menentang segala suara dan dasar kerajaan akan menjadi kayu ukur aktiviti.

Barangkali ini lebih baik berbanding penganut mazhab dunia penuh duri kerana kumpulan ini akan melihat dunia secara `hatam-putih'. Perspektifnya untuk melihat sama ada sesuatu halal atau haram.

Namun, ada mazhab yang ingin keluar dalam ketegori berkenaan. Ini kerana mereka percaya dunia ini seperti kata tokoh pre-Socrates, Heraclitus bahawa dunia ini seperti sungai- iainya akan mengalir dan mengalir.

Mazhab ini akan percaya kepada perlunya idea. Idea akan menentukan kemajuan atau kemunduran. Pengalaman lalu hanyalah kerangka kasar yang tidak semestinya diikut. Idea itu perlu diperdebatkan, untuk memunculkan idea lebih baik. Kumpulan ini tidak jumud, malah terbuka kepada idea.

Hidup ini banyak bergantung kepada persepsi atau bagaimana kita melihat, dan persepsi itu selalunya seperti seseorang yang diikat dalam gua tetapi hanya tahu melihat kilatan cahaya, seperti diungkapkan Plato dalam Republic, mengenai the allegory of the cave.

Pilihan di tangan kita.

Bagaimanakah agaknya pilihan MPP dalam memilih aktiviti mereka?

Thursday, March 8, 2007

PENSYARAH WANITA PATUT CARI SISWA UNTUK CALON SUAMI


SINTOK: Ada beberapa pensyarah wanita dan pentadbir yang juga kawan rapat aku, masih belum berkahwin.

Ada juga ICT – gelaran kepada ibu comel tunggal yang juga bersedia mencari pasangan lain, jika ada.

Setakat aku mengenali mereka, dalam fikiran mereka mahukan seorang lelaki yang setara atau sedikit sahaja usia melebihi mereka.

Tipikal orang Melayu!

Aku tentunya mempunyai fikiran yang berbeza dengan mereka. Rasional aku berasakan fakta semasa, iaitu:

Jangka hayat wanita lebih tinggi berbanding dengan lelaki. Dalam konteks negara kita, mengikut data semasa, jangka hayat wanita ialah 70 tahun manakala lelaki hanya 62 tahun.

Katakan seorang wanita atau gadis berusia 30 tahun dan berkahwin dengan pasangan lelaki berusia 32 tahun, maka secara umumnya wanita itu akan ditinggalkan suami dan menjanda selama 10 tahun (2 tahun beza usia + 8 tahun purata beza jangka hayat).

Jika suaminya mati dalam usia 60 tahun, wanita itu akan menjanda pada usia 58 tahun. Pada waktu ini, mungkin sukar untuk mencari pasangan lain. Dan, secara matematiknya, dia akan menjanda selama 12 tahun.

Oleh sebab ideal cinta sehidup semati, maka elok wanita Melayu mencari pasangan yang jauh lebih muda berbanding dengan mereka.

Untuk konsisten dengan data semasa itu, aku mencadangkan: pensyarah wanita elok mencari pasangan yang jauh lebih muda. Jika wanita itu sekarang ini berusia 31 tahun, elok dia mencari pasangan berusia 23 tahun – iaitu usia siswa pada tahun akhir.

Bagi siswi di universiti sekarang, mereka elok memilih pelajar sekolah untuk menjadi suami mereka. Ini bermakna, siswi berusia 20 tahun wajar mencari bakal suami dalam usia 12 tahun, iaitu pelajar yang mengambil UPSR.

Alternatif yang pernah saya cadangkan kepada siswi, jika mahu juga bercinta, ialah memilih pasangan siswa hanya untuk satu atau dua semester sahaja. Bercinta bukan untuk berkahwin tetapi untuk merasai warna cinta.

Mengapa?

Dalam konteks UUM, pelajar siswi 70 peratus manakala lelaki hanya sekitar 30 peratus. Jika setiap pelajar perempuan berpasangan, masih ada 40 peratus yang tidak sempat bercinta.

Bagaimanapun, jika siswi hanya bercinta satu atau dua semester kemudian cari helah untuk berpisah, maka mereka akan berlaku adil kepada siswi lain yang belum pernah bercinta.

Lagipun, bergilir pasangan cinta tidak sepedih berkongsi suami?

Lagipun, jika siswi yang meninggalkan pasangannya, agaknya, tidaklah tumpah lelehan air mata yang banyak berbanding ditinggalkan boyfriend. Dalam kontes ini menjadikan siswi lebih `berkuasa’ membuat keputusan, berbanding dengan siswa yang ditinggalkan.

Dengan bertindak adil kepada siswi lain ini akan membolehkan siswa dan siswi dapat menghidupkan aspek afektif diri, bukan semata-mata kognitif (melalui akademik) atau psikomotor (melalui aktiviti ko-kurikulum).

Mungkin idea radikal seperti ini belum boleh diterima dalam masyarakat kita, termasuk di kalangan community of scholar!

Ianya akan menjadi biasa 10 atau 20 tahun akan datang.

Sepuluh atau 20 tahun lalu, ramai wanita Melayu takut jika tidak berkahwin. Pelbagai istilah dicetus seperti andartu/andalusia tetapi kini masyarakat sudah menganggap perkara ini biasa.

Sudah tidak menjadi asing lagi kini ada wanita yang bangga kerana tidak berkahwin kerana berhujah banyak lelaki lebih banyak menyusahkan, berbanding dengan hidup solo dan merdeka.

TITAS DAN ROSNAH MAT ARIS

SINTOK: Dalam tutorial Titas (Tamadun Islam dan Tamadun Asia) kali ini, tiba-tiba muncul isu pelakon Rosnah Mat Aris yang dikatakan menghina Rasulullah kerana menyatakan beliau berhasrat ingin mencari pasangan yang lebih muda, seperti Rasulullah berkahwin dengan Khatijah.

Ramai siswi dalam kumpulan tutorial aku kelihatan bersama-sama dengan pandangan orang ramai bahawa Rosnah bertindak celupar.

Pandangan rata-rata masyarakat kita adalah terpancar dalam tindakan sekumpulan anak muda parti PAS yang menghantar memorandum kepada TV3 kerana menyiarkan rancangan Sensasi itu.

Suruhanjaya Multimedia Malaysia (SMM) yang mempunyai kuasa memberi lesen kepada TV3 juga serta merta mengharamkan rancangan itu.

Datuk Zainuddin Maidin, Menteri Penerangan yang mempunyai kuasa terhadap RTM terus mengharamkan Rosnah daripada muncul di RTM.

Aku bukan bersetuju atau tidak bersetuju dengan Rosnah, cuma cuba mengajak perbincangan kepada perkara yang lebih luas, dan tidak terpenjara dalam pemikiran ‘black and white’ semata-mata, kerana kawasan ‘grey’ juga menarik untuk diperhatikan.

Persoalan pertama aku kepada siswi-siswi kumpulan tutorial ialah apakah isu yang diperkatakan ini perkara akidah, prinsip atau hanya masalah furuk?

Mereka nampaknya bersetuju bahawa perkara ini bukan isu prinsip, tetapi hanya perkara ranting yang boleh diperbincangkan. (Malah, banyak perkara prinsip dan akidah juga boleh diperbincangkan, demi mencari kebenaran yang lebih tulen).

Persoalan kedua, apakah betul Muhamad bin Abdullah (kerana waktu itu belum menjadi Nabi) berkahwin dengan wanita yang lebih tua, Khatijah?

Ramai siswi itu juga bersetuju dengan fakta berkenaan.

Aku hanya membuka fikiran supaya melihat fakta kerana universiti yang berakarkatakan ‘universal institution’ .hanya menerima kebenaran, kerana kebenaran itulah sejagat.

Warga universiti, pada aku, perlu merdeka daripada pemikiran yang belum dicabar kebenarannya. Sesuatu itu tidak menjadi benar hanya apabila diucapkan oleh Menteri atau kebenaran itu tidak semestinya benar apabila diperkatakan oleh seseorang pemakai kopiah.

Kebenaran hanya milik tuhan. Pemakai kopiah yang membaca dan mentafsir ayat Tuhan juga perlu dicabar kebenaran, kerana mereka tidak semestinya betul dalam mentafsir makna sebenar yang dikehendaki Tuhan.

Aku hanya ingin membuka cakrawala pemikiran, supaya amalan taklid kepada ibu bapa atau bertaklid kepada pemakai kopiah perlu dihapuskan, demi menjamin kelangsungan tamadun.

Jika tidak, kita akan mengikuti jejak ulama Kristian yang pernah membunuh nyawa Galilio Galili yang memperjuangkan `bumi mengeliling matahari’ , sedangkan ulama waktu itu mempercayai sebaliknya.

Rasanya, kelas tutorial Titas hari itu yang menyentuh sedikit isu mengenai Rosnah Mat Aris tidaklah terkeluar cakupan daripada silibus Tamadun Islam dan Tamadun Asia.