Tuesday, September 18, 2007

Antara Syariat, Hakikat dan Atheis

SEBOLEH mungkin aku mengharamkan diriku untuk menulis sesuatu yang ada nada agama atau feqah. Bukan tidak berminat. Aku tidak mahu ianya menjadi kontroversi, yang kesudahannya dalam masyarakat berfikiran primitif seperti masyarakat Melayu, akan mengecop aku sebagai seorang 'terpesong akidah'.

Mukadimah ini membawa kepada satu pengalaman. Kebetulan minggu awal puasa ini, biologi tubuh aku berbeza. Psikologi diri juga turut berubah. Tidur mudah terganggu. Perasaan juga mudah cepat marah. Rasional juga mudah teruji. Lalu, seorang rakan serumahku meminjam sebuah novel klasik, Atheis tajuknya. Karya Achdiat K Mihardja. Novel ini khabarnya pernah menjadi teks wajib pelajar mengambil STPM. Oleh sebab aku mengikuti aliran Matrikulasi Sains Fizik, tidak pernah aku bertemu dengan novel sebegini dan bukanlah peminat tegar novel. Budak sains, dimomokkan, bukan seorang yang meminati sastera. Walhal, aku sendiri tidak pernah mensekularkan antara sains dan sastera, seperti juga tidak mensekularkan agama dan politik dan sains. Seperti pernah ditulis Paul Goodman dalam karyanya Growing Up Ubsurd, selagi sesuatu menyentuh isu 'human nature' maka pemisahan antara sains, antropologi, sosiologi, politik atau ekonomi tidak ada pemisahan. Ini kerana selagi manusia ingin mengetahui manusia dan kemanusiaan, maka segala antenanya boleh digerakkan ke arah itu.
Berbalik kepada novel, Atheis, protaganisnya ialah Hasan (ini setakat halaman 24 aku membacanya. Jika tersalah akanku membaikinya kemudian). Ianya novel dalam sebuah novel. Maksudnya, cerita awalnya Hasan memberikan karyanya untuk dibaca kekasihnya, Kartini. Hasan ialah seorang `pencari'. Pencari naif terhadap kebenaran. Beliau bukanlah ahli fikir atau penyelidik radikal (hal.6) yang mempu melihat secara akar umbi dengan bukti saintifik terhadap kebenaran dan kepercayaan di depan matanya. Kepercayaan agamanya begitu tradisionalis, pengikut totok kepada kebanaran warisan. Maksudnya, ibu bapa mempengaruhi kuat terhadap kepercayaan dan menyuntik (indoktrinasi) agama. Beliau diperkenalkan dengan tarikat (aliran Sheikh Abdul kadir Jailani) (Hal.20). Memang mudah sahaja aku mengidentifikasikan dengan diri sendiri, kerana Sheikh Abdul kadir memang terkenal dalam alam Melayu termasuk berlambak-lambak bukunya di kedai-kedai penjual buku agama.

Sesiapa yang terlalu berasa boring dengan hanya syariat, seperti juga diri aku, mudah sahaja untuk bergerak ke satu lagi wilayah, iaitu tarikat untuk mengetahui dan mengalami makrifat dan hakikat. Malah, dalam buku Ateis itu (hal. 11) dianalogikan dengan begitu menarik sekali, perbezaan di antara syariat, tarikat dan makrifat. Syariat itu diibaratkan sebagai kapal, manakala tenaga dan pedoman untuk mendayung kapal dan menyelam ke dasar untuk mengambil mutiara (makrifat dan hakikat) adalah tarikat. Hasan begitu kagum dan terus mengamalkan tarikat, melalui guru dan merasai terapung-apung dalam ketinggian, sehingga terasa olehnya `kerendahan' pengamal syariat totok.

Aku sendiri mendapat kesan yang menarik. Aku rasa rakan-rakan yang pernah membacanya juga mengalami perasaan yang mungkin sama, kerana kita barangkali sama-sama dibesarkan seperti Hasan, pernah ditakut-takutkan betapa neraka itu ada air yang mendidik, dan api menjulang bersedia membakar pendosa-pendosa.
Agaknya, malam ini sehingga bersahur, aku akan terus membaca novel ini sehingga kepenyudahnya.

Sudilah kiranya rakan-rakan yang membaca novel ini berkongsi pandangan dan pengalaman.