BARU-BARU ini, jika tak silap tiga bulan lalu, aku berkenalan dengan seorang lelaki. Beliau memperkenalkan diri sebagai Hamidi. Asal Terengganu. Alumni UUM.
Ketika itu jam 7.45 pagi. Aku dan dua lagi rakanku ingin bermain golf di UUM. Beliau hanya berseorangan. Kerana rindu dengan UUM, beliau datang pagi-pagi. Kebetulan flight kami hanya tiga orang, kami mengajaknya untuk bersama-sama.
Katanya ketika di UUM dulu, beliau mengambil ko-kurikulum golf. Permainannya agak baik, kerana belajar empat semester. Kerjanya kini agak baik. Seorang pegawai peringkat atasan menengah. Aku bertanya pandangan dengan UUM, beliau begitu positif sekali.
Selepas bermain golf, kami pekena nasi mamak di Subaidah. Kami berborak-borak. Oleh sebab beliau kini antara penemu duga untuk kemasukan ke agensi tempat dia bekerja, aku bertanya bagaimana dengan prestasi graduan UUM yang memohon berbanding dengan universiti lain?
Ada beberapa kelemahan yang beliau ceritakan. Aku tak berhasrat mencatatkan di sini. Aku bertanya apakah beliau memberi markah tambahan untuk lepeasan UUM berbanding dengan lepasan universiti lain?
"Tentuya lepasan UUM dilayan berbeza," jawapannya memberi rasa bangga hingga aku dengan sukacitanya membayar semua yang kami makan di Subaidah.
Aku percaya banyak lagi lepasan UUM kini yang merata-rata di seluruh negara yang mengambil sikap seperti Hamidi. Malah, dulu ketika aku bekerja di Berita Harian, bos aku yang merupakan lepasan Sebaran Am ITM mengambil dan menyusun semua pasukannya dari UiTM. Malah, banyak staf baru diambil dari ITM, berbanding universiti lain.
Moral of the story begini: UUM perlu mengeluarkan lebih banyak graduannya yang memegang jawatan utama dalam sektor swasta dan kerajaan. Mereka ini diharap dapat menjemput graduan baru untuk bekerja bersama mereka.
Namun demikian, ada juga yang tak berasa bangga dengan UUM. Mereka malu dikaitkan dengan UUM. Ini normal. Sesiapa sahaja akan berasa bangga jika institusinya hebat, gagah dan terkenal. Jika ibu bapa kita gagah, hebat dan terkenal, kita juga akan berasa bangga dikaitkan dengan mereka. Jika keluarga kita kacau, kadang-kala diri sendiri malu untuk dikaitkan. Ini normal. Untuk merealisasikan hasrat ini, UUM perlu muncul sebagai institusi hebat, gagah dan terkenal.
Bagaimana?