Saturday, October 27, 2007

MENCARI TUHAN DI PERKEBUNAN

TIBA-TIBA seorang rakanku (dulu dia guruku) yang dua tahun bersara daripada perkhidmatannya menelefon. Oleh sebab lama tak berjumpa dan berbual-bual, hanya berkirim sms pada hari-tertentu sahaja seperti Aidilfitri, maka tentulah aku bertanya, apa yang dibuatnya sekarang?.

"Saya mencari Tuhan di perkebunan. Sambil menanam pokok bunga melor, saya juga menanam durian belanda," katanya.

Mengenai tanaman, kami berbicara mengenai pertanian keseluruhan dan langkah kerajaan dalam membantu meningkatkan hasil pendapatan para tani.

"Jika Menteri dan Perdana Menteri begitu komited dalam meningkatkan sektor pertanian dengan harapan menjadi enjin ketiga pertumbuhan ekonomi, maka langkah itu tidak akan terlaksana, melainkan menteri dan Perdana Menteri mesti turun padang," katanya yang sedikit kecewa dengan apa yang berlaku di Jabatan Pertanian kawasan tanah yang baru dibelinya seluas enam hektar di utara Selangor.

"Mereka ingin menawarkan khidmat dari segi baja dan sebagainya. Tetapi apabila kami memohon, pegawai pertanian kata, ianya akan diproses dan dijangka dalam masa dua hingga tahun, barulah baja itu boleh diberikan," ujar pegawai pertanian berkenaan.

Rakanku itu terkejut kerana dalam dua tahun, tentulah pelbagai perkara boleh berlaku dan baja itu juga sudah tidak releven lagi. Apa yang pegawai pertanian buat?

"Ada juga sekali sekala mereka datang menjengok kami dan mengambil gambar tanaman kami, dan apabila ditanya untuk apa, mereka katakan jika pegawai atasan datang, maka gambar itu untuk menunjukkan kami bekerja dan mengadakan lawatan secara berkala.

"Rupanya pegawai-pegawai pertanian bekerja untuk menunjukkan mereka bekerja, bukan untuk membantu petani dan peladang yang memerlukan bantuan mereka.

"Saya melihat ada traktor di jabatan pertanian dan sebagai pemilik tanah yang ingin mengusahakan tanah berkenaan, tentulah traktor sangat diperlukan untuk menggemburkan tanah. Tetapi apabila ditanya perkhidmatan itu, mereka jawab:

"Traktor itu tidak pernah digunakanpun. Malah, tidak ada sesiapapun di jabatannya yang tahu mengendalikan traktor berkenaan. Kerajaan yang berikan traktor berkenaan, bukan jabatan meminta," keluh rakan saya tu yang pernah berkhidmat lebih 25 tahun sebagai pegawai kerajaan di sebuah universiti di Lembah Klang.

Lebih satu jam kami berbicara melalui telefon dan aku mendengar dengan teliti keluhannya. Tidaklah sukar untuk membayangkan kekecewaanya dengan pegawai pertanian yang bertindak seperti itu. Malah, sikap seperti itu seperti tipikal. Dasar menjadikan pertanian sebagai enjin ketiga selepas perindustiran dan perkhidmatan, pada aku, tidak akan menemui banyak manfaatnya kepada petani, jika pegawai pertanian bersikap tidak endah.

Revolusi cara bekerja di akar umbi perlu diselia dengan rapi dan serius supaya semua bekerja. Jika Menteri dan Perdana Menteri bercakap diawangan, seperti sang helang yang hanya berlegar-legar di angkasa, maka tikus-tikus di bawah akan menari-nari.

Kami meneruskan bicara kami kepada usaha menemui tuha n di perkenbunan.

"Ini mungkin makmal saya terakhir untuk melihat, menyaksi dan mengerti kehadiran Tuhan, kerana hidup ini tidak ubah seperti sebuah makmal. Makmal saya mungkin di perkebunan - melihat bukit-bukau dan indahnya daun, bunga dan buah-buahan wujud daripada tiada. Tiada kepada ada.

"Jika Hamzah Fansuri berkata, dia tidak menemui tuhan di Barat atau ditimur tetapi tuhan ada dalam bajunya, maka maknanya ialah kehadiran Tuhan dalam makmal Hamzah Fansuri itu hadir. yang tidak jelas dalam kehidupan biasa menjadi jelas dalam makmal yang diperhatikan.

"Jika perkebunan ini makmal saya, tuan juga mempunyai makmal di UUM. Kejujuran dan tanggungjawab tuan kepada tuhan, hanyalah tuhan yang mengetahui.

"Memang benar, dalam hubungan sesama manusia, manusia lain akan mengetahui ikhlas, bertanggungjawab dan jenis sikap yang ada, dan hubungan dengan tuhan, hanya tuhan mengetahui dan kita` bertanggung untuk menjawab' kepada-Nya, semata," katanya.

Malam itu, aku merenung panjang kata-kata rakanku itu. Namun, sebelum aku lelapkan mata, aku smskan padanya begini:

"Jika kehidupan kita kini dalam sebuah makmal, yang ternyata Dia dah mengetahui, tanpa perlukan eksperimen, maka makmal itu untuk kita nikmatinya. KITA merasa kesannya. Kita juga bertanggungjawab atas nikmat dan azab.

"Dari satu perspektif, Dia kelihatan zalim menghidangkan azab, sedang dia mampu untuk jadikan semua nikmat.

"Idealnya, dan dia dikatakan terideal, justeru tak wajar melihat wujudnya azab dan diakhirnya disediakan neraka," katanya.

end.