Friday, December 10, 2010

AGAMA SEMAKIN HILANG SPIRITUAL

SESEKALI aku terasa semakin jahil, terasa seperti orang tidak beragama. Entah mengapa aku merasakan agama anutan ku yang diperturunkan secara tradisi ke atas diriku, semakin hilang daya spiritual. Begitupun keyakinan ku kepada perlunya agama dalam hidup semakin meningkat. Dari segi intelektual, setakat ini, aku meyakini agama (lebih tepat: syariat) yang diwarisi daripada Muhammad itu mempunyai dua kekuatan - spiritual dan undang-undang dalam kehidupan. Kelazatan bermunajat sesekali hadir. Sesekali hilang. Ada ketikanya aku merasa menjadi seorang alim. Dalam ketika lain aku merasakan menjadi kafir (engkar akan saranan/tuntutan syariat). Aku yakin agama mesti mempunyai elemen hati. Bukan semata-mata intelektual. Fikiran tidak membawa kesyahduan. Fikiran antitesis kepada spiritual. Fikiran hanyalah sebagai 'wise men' yang menasihati 'the King' atau hati. Hatilah yang boleh membuat keputusan. Hatilah yang boleh menggerakkan anggota. Hati juga yang boleh merasai agama. Hati mempunyai ingatan yang lebih kuat dan kukuh berbanding fikiran. Contohnya, jika kita melihat sesuatu katakan kereta proton saga merah, jika hanya fakulti fikiran yang melihat dan mengingat proton saga merah, ianya tidak berkekakaln lama. Jika hati melihat proton saga merah dan fakulti hati itu secara automatik akan mengulangi berkali-kali proton saga merah, maka ingatan hati itu akan kekal lama....selama kita mahu mengingatnya. Analogi ini membawa kepada betapa pentingnya ingatan akan tuhan diulangi dalam hati, dan gemaannya akan berulang-ulang, sehingga ianya sebati. Sehinggakan kita akan faham perkataan sufi kontroversial seperti Al-Halaj, Ibnu Arabi atau Tok Kenali.

Thursday, December 9, 2010

PENJAGA CAHAYA

HAMPIR semua tumbuhan mencarimu. Bergerak ke atas. Mahu menikmati cahaya. Tanpanya, seperti tidak ada kehidupan. Kehidupan tumbuhan dan haiwan mahu mencari cahaya.

Kadang-kala cahaya itu berlindung. Lebih tepat terlindung.

Matahari tidak bergerak. Yang berpusing planet. Termasuk bumi. Ini menyebabkan datangnya siang dan malam. Matahari tetap bersinar. Ianya tidak tersembunyi. Hanya bumi memalingkan permukaan akibat putaran yang berlaku. Cahaya tetap cahaya. Tanpa cahaya matahari tidak akan sempurna pertumbuhan tumbuh-tumbuhan, haiwan mahupun manusia.

Aku dahagakan cahaya itu. Merindui lagi penjaga cahaya itu.....hadirlah....hadirlah....hadirlah.

Wednesday, November 24, 2010

PAKSI KEJAHATAN SELALU MENANG?

BANYAK kali suara bergema dalam dadaku. Mata kasarku melihat sebelah paksi kejahatan selalu menang. Selalu beruntung. Selalu berjaya. Timbul dalam hatiku, apakah paksi kejahatan itu patut menang?

Bukankah kebenaran selalu menggantikan kebatilan?

Amerika Syarikat menyerang Iraq secara sewenang-wenangnya. Dan, Amerika tetap gagah. Amerika tetap boleh mencatur politik dan ekonomi dunia. Banyak negara dan pemimpin terpaksa sujud bersyukur kepada Amerika Syarikat.

Beberapa orang politik yang dengan kekuatan linknya terus menjadi kaya raya. Ketua Bahagian. Ketua Pemuda. Naib Ketua. Malah, hampir kumpulan G7 berada dalam kedudukan kekayaan yang luar biasa. Apakah cara ini yang lebih mendekati kebenaran atau perbuatan membuat kekayaan hatta secara salah, lebih benar atau batil?

Begitu juga analogi ini. Banyak juga aku saksikan orang yang ikhlas 'gagal'. Aku juga yakin ada seseorang, katakan A, yang lebih tawadhuk, bijaksana dan takut kepada Illahi, berbanding dengan B, tetapi B lebih berjaya.

Tiba-tiba aku terbaca sejarah.

Pada zaman Rasulullah dahulu, ada sahabat merasakan 'perasaan' yang hampir sama. Mereka bertanya kepada Rasulullah, mengapa kafir Quraish terlalu jahat sedangkan Rasulullah ikhlas, jujur dan memperjuangkan keadilan,tetapi tak berjaya (pada waktu sebelum kejayaan).

Rasulullah berpesan, paksi kebenaran sesungguhnya akan menemui kejayaan. Jika ada 5 paksi kebenaran, maka kumpulan Rasulullah perlu menguasai lima-lima paksi kebenaran itu dan datanglah pertolongan pihak ghaibi, seperti berlaku dalam peperangan Badar, Uhud dan akhirnya wilayah Islam dapat menguasai dua gergasi kerajaan waktu itu - Rom dan Parsi, kaisar dan kisra.

Aku tenang!

Saturday, September 4, 2010

SINTOK DI SERANG GARUDA....

AKU di sintok. Malam begitu sunyi. Tiada lagi kedengaran mercun bola. Tiada juga suara cacamerba di sana sini. Sungguh damai.

Hampir semua pelajar sudah pulang. Kira-kira 19,000 pelajar di kampus Sintok sudah pulang ke rumah masing-masing menyambut Aidilfitri, dan sesetengahnya mengambil peluang cuti dua minggu untuk bersama keluarga. Perbandingannya seperti kawasan yang di serang garuda....semua penghuni menyembunyi atau mati.

Walaupun ada sedikit rasa takut. Khususnya apabila membaca akhbar. Nenek kena bunuh. Dan, semalam, ustazah dan anaknya mati khabarnya dibunuh di sebuah apartmen di Port Dickson. Cuma, di sini rasa selamat itu tetap ada.

Membelek sejarah, tahun ini merupakan kali kelima aku berpuasa di sini. Tidaklah aku merasakan selama-lama di sini.

Aku akan kembali.

Tuesday, August 24, 2010

NIZA PERGI BUAT SELAMANYA ....




5 Jun 2010, aku menulis: SEORANG rakan rapatku, bukan lelaki, memaklumkan ada ketumbuhan dalam badannya. Kini, sebesar bayi yang sempurna untuk lahir. Hospital dalam sebulan dua ini bersaksi kehadirannya. Beliau seorang yang kuat semangat. Seorang yang berani menghadapi hidup. Seorang yang aktif dalam sukan.

Hampir tidak pernah aku melihat air matanya.

Pagi ini dia mengalirkan air mata....seolah-olah menjalani hari-hari terakhir hidup dalam dunia ini.

Malam Jumaat, 19 Ogos lalu, kira-kira jam 7.30 malam, rakan ku ini yang aku kenali sebagai Niza, kembali ke rahmatullah.
Moga Allah menempatkan beliau bersama orang beriman...

Seorang sahabatku, lelaki, bagi memberi dedikasi buat Niza, sebaik sahaja melawat Niza terus mencatat begini:

Sahabat,
Malam hujan,
malam panjang
kosong rasa,
satu yang kuingat
dia pernah bahagia
di sela-sela derita
dia bidadari
dan di surgapun begitu....

Untuk rekod, apabila saya mengadu dan berkongsi masalah dengannya, dia menjawab sebagai seorang yang cukup matang. Pada 5 Jun, dalam sms peribadi: "Janganlah macam tu...saya redha dgn ujian hidup yang saya kena lalui...awak pun jgn cpt putus asa."

Berikutnya beliau sms, seperti memberi isyarat, walhal itu 5 Jun yang aku sendiri tidak tahu apa yang beliau tahu: "bagi saya kita adalah org2 terpilih...hanya DIA yang lbh tau apa yang terbaik utk kita. Kita tak akan diuji melainkan utk kebaikan kita, cuma kita yg x tahu. Awak jgn putus asa ya.... ujian utk saya lbh berat...melibatkan nyawa....so, awak jgn cpt putus asa."

Niza, kadang-kala kita bersms dalam bahasa Inggeris. Beliau bersms juga pada tarikh 5 Jun, begini: "...after the news, i managed to live my life as normal as b4. As a matter of fact there are times i'm feeling down. Thnk u 4 willing 2 share the blue."

Juga untuk rekod, pada tarikh kematianmu Niza, aku menerima sms ini kira-kira jam 10 pm, sedangkan kau kembali ke rahmatullah jam 7.33pm. Ketika aku mencarimu seminggu tanpa khabar berita, tanpa menjawab panggilanku, dan selepas trawikh di Perumahan Universiti di Sintok, sekali lagi aku smsmu. Dan, jawapan daripada handfonmu: "Sy da kmbali ke rhmatullah...tlg sampaikan pd yg len...Alfatihah"

Saturday, June 5, 2010

MAKA SEMPURNALAH WAJAH PENDERITAAN.....

SEORANG rakan rapatku, bukan lelaki, memaklumkan ada ketumbuhan dalam badannya. Kini, sebesar bayi yang sempurna untuk lahir. Hospital dalam sebulan dua ini bersaksi kehadirannya. Beliau seorang yang kuat semangat. Seorang yang berani menghadapi hidup. Seorang yang aktif dalam sukan.

Hampir tidak pernah aku melihat air matanya.

Pagi ini dia mengalirkan air mata....seolah-olah menjalani hari-hari terakhir hidup dalam dunia ini.

Seorang rakan rapat aku sebelum ini, Dato' Dr Sallleh Hassan meninggal kerana kanser. Dr Basri yang juga rakan seofis aku meninggal dunia. Dua tokoh pendidik itu menjadi rakan debatku ketika itu. Kami pernah berdebat cara berfikir John Dewey, aliran pramatisme di Amerika Syarikat, yang aku kira aliran yang sepatutnya di bawa ke Malaysia, bukan aliran feudalisme yang berakar umbi dalam budaya Melayu Malaysia. Kedua-dua rakanku itu kelihatan bersetuju, kerana kedua-duanya pernah berada di luar negara untuk Ph.Dnya.

Kedua-duanya mengidap kanser, tanpa sempat menemui tarikh persaraan anggota kerajaan.

Namun, ketumbuhan bukan kanser. Dia tidakpun tahu sebelum ini ada ketumbuhan dalam badannya. Aku berdoa agar rakanku yang bukan lelaki ini kembali pulih.

Episod ini sebahagian rentetan penderitaan yang aku alami.

Minggu lalu, bapa saudara aku, juga meninggal dunia dan aku tidak sempat menziarahi beliau, di hospital ketika koma, mahupun ketiga detik terakhir nafasnya hilang dalam dunia fana ini.

Minggu ini juga berlaku uncertainty....rakanku menamatkan perkhidmatan. Aku cukup tahu beliau dibawa ke sini. Bukan melalui lobi. Bukan melalui maneuver. Pengetahuannya dalam pendidikan tinggi cukup aku kagumi. Seorang yang berani membuat keputusan. Barangkali itulah kualiti seorang pemimpin. Beliau didatangkan kerana ketika itu berlaku sedikit uncertainty. Aku cukup yakin keikhlasannya. Dan, melalui cahaya keikhlasan itulah terpancar ke mana-mana, walaupun pada mulanya ramai yang ragu-ragu.

Tuhan permudahkan orang yang ikhlas.

Tuesday, February 9, 2010

Berlakukah Penetrasi - ulasan seorang doktor perubatan

BERLAKUKAH PENETRASI? - Ulasan seorang doktor

Dr Novandri Hasan Basri

Penulis tertarik untuk mengulas laporan berita mengenai usaha peguam-peguam Anwar Ibrahim agar kes liwat Anwar Ibrahim dibatalkan. Mereka berhujah bahawa jika mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, penetrasi merupakan perkara utama dan teras.

Peguam Anwar Ibrahim mendakwa bahawa tiada bukti perubatan yang pasti bagi mencadangkan berlaku penetrasi ke dalam dubur pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mereka merujuk kepada laporan perubatan oleh pegawai perubatan dari Pusrawi yang mula-mula sekali memeriksa pengadu, dinyatakan bahawa dubur itu tidak berdarah, tidak cedera, tidak bernanah dan ia adalah bersih, kering serta kelihatan normal.

Penulis pernah menerangkan dengan panjang lebar mengenai laporan perubatan dari Pusrawi yang sebenarnya tidak berpihak kepada sesiapa pun.

Tetapi Anwar Ibrahim telah menggunakan laporan kesihatan tersebut dan memberitahu seluruh dunia bahawa doktor tersebut mengsahkan bahawa Saiful Bukhari tidak diliwat.

Yang menimbulkan keraguan penulis ialah kenapakah Anwar Ibrahim begitu beria-ia untuk menggunakan laporan tersebut untuk membersihkan nama beliau pada hal doktor tersebut tidak pernah pun menulis diagnosis bahawa Saiful Bukhari tidak diliwat?

Diagnosis yang ditulis oleh doktor itu ialah TRO (to rule out) assault (sodomise).

Maksudnya doktor tersebut tidak sekali-kali telah membuat diagnosis tepat yang mengsahkan bahawa Saiful tidak diliwat!

Malah doktor tersebut telah menasihati Saiful untuk mendapatkan rawatan seterusnya di Hospital Kuala Lumpur.

Dan yang menghairankan ialah Anwar Ibrahim terus mencanang-canangkan laporan perubatan Pusrawi yang tidak konklusif itu di masa pilihanraya kecil Permatang Pauh dan mendakwa bahawa doktor di Pusrawi mengsahkan bahawa Saiful tidak diliwat.

1. Penulis hairan kenapakah Anwar Ibrahim sanggup berbohong kepada dunia dan penduduk Permatang Pauh?

2. Apakah Anwar Ibrahim perlu berbohong di permulaan kes liwat beliau?

3. Dan jika Anwar Ibrahim sanggup berbohong kepada kita, apakah kita mahu mempercayai beliau lagi?

Penulis juga menerangkan bahawa penetrasi ke dalam dubur tidak semestinya menyebabkan luka dan nanah. Jika tiap-tiap kali berlaku demikian semasa liwat, penulis pasti TIDAK ADA LAGI peminat seks luar tabii dan pasangan Gay di dunia ini kerana dubur mereka kesakitan !

Oleh kerana seks luar tabii tidak semestinya mendatangkan luka, berdarah dan bernanah, maka kita perlu menggunakan instrumen dan kaedah lain seperti DNA dan sebagainya. (Klik di sini untuk pemeriksaan dubur yang betul)

Yang menariknya mengenai kes liwat Anwar Ibrahim ialah berdasarkan laporan DNA oleh ahli kimia, terdapat spesimen DNA campuran daripada dua lelaki di tempat kejadian, yang menyokong dakwaan Mohd Saiful bahawa dia diliwat oleh Anwar.

1. Maksudnya ialah alat kelamin Anwar Ibrahim pernah berada di dalam dubur Saiful Bukhari walau pun kemasukan alat kelamin Anwar Ibrahim tidak menyebabkan luka dan nanah. (kecil?)

2. Mungkin juga Anwar Ibrahim telah menggunakan gel untuk melicinkan penetrasi alat kelamin beliau di dalam dubur Saiful Bukhari.

Penulis pasti jika Anwar Ibrahim memang peminat seks luar tabii, beliau pasti sudah cekap untuk memastikan pasangan beliau itu tidak sengsara semasa berlakunya penetrasi di dalam dubur pasangannya.

Jika tidak, mungkin Anwar Ibrahim yang diliwat oleh pasangan beliau!

Tuesday, February 2, 2010

SAIFUL DICADANG AMBIL TINDAKAN SIVIL, SELAIN JENAYAH

Saudara,

Saya mahu mendengar versi saudara pula, selepas terlalu banyak mendapat maklumat versi DSAI. Mengapa hak saudara semakin jelas dinafikan? Kerana insan kerdil....saya yakin keadilan bukan hanya sentiasa berpihak kepada mereka yang memiliki kekayaan dan sanggup mengupah banyak peguam handal...Sesungut sukar membuat penilaian sendiri jika versi saudara Saiful dinafikan. Menangguhkan sehingga 20 kali, dan kes dipanjangkan sejak 2008, akan menyebabkan ingatan saudara semakin hilang dan semakin mudah tersalah, tersasul dan akhirnya `kesilapan teknikal' sekali lagi akan berlaku.

Perkara kedua, saya suka mencadangkan supaya saudara turut mengambil tindakan sivil terhadap DSAI. Cari peguam handal yang telah membuktikan diri banyak memenangi kes sivil. Tidak mengapa ia berjalan serentak. Dalam kes jenayah liwat, saudara hanya mengemukakan hak sebagai warga negara, dan negara wajar melindungi saudara dan melindungi juga tertuduh.

Dalam kes sivil, saudara juga berhak sebagai individu untuk mengenakan tindakan sivil, misalnya terhadap kes seorang ketua yang menggunakan kuasanya untuk menoda saudara. Mintalah RM10 juta...sebagai ganti rugi tauladan dan ganti rugi emosi, maruah dan sebagainya.

Dalam kes OJ Simson di US, keluarga yang terlibat dalam kes bunuh turut mengenakan kes sivil, selain negara membicarakan kes pembunuhan. Dalam kes jenayah, OJ Simson terlepas. Dalam kes sivil, dia terpaksa membayar ganti rugi.

Bukan semesti mahkamah tersilap.

Kes jenayah memerlukan beban pembuktian yang lebih tinggi, iaitu beyond reasonable doubt, manakala kes sivil hanya mahu membuktikan siapa lebih benar.

Saya yakin ramai peguam handal yang sanggup memberikan khidmat percuma, dan akan mengecaj, jika kes itu menang. Dan, ramai juga peguam yang tak berani. Pilih lah. Sesungut boleh mencadangkan seorang dua, tapi sesungut yakin saudara dan keluarga juga tahu membuat penilaian sendiri.

Sekadar mencadangkan...kot-kot saudara `overlook' kaedah ini....

Wednesday, January 6, 2010

HUSAM MUSA SEBAGAI MB BARISAN NASIONAL KELANTAN

UMNO perlu berkorban.

PELAWAKAN Husam untuk bersama dengan UMNO. Biar dia mewakili UMNO. Janjikan untuk memberikan jawatan Menteri Besar apabila beliau memasuki UMNO, dan lebih indah jika beliau boleh membawa bersama-sama rakan ADUN PAS untuk bersama.

Biarkan PAS hanya untuk Nik Aziz, anaknya, Nik Amalina dan menantu Nik Aziz, Arif Fahmi.

Husam yang sebelum ini yang diamanahkan `run' kerajaan negeri sudah sangat kecewa dengan PAS yang dikuasai oleh anak dan menantu. Husam dah letih.

Inilah masa yang sangat sesuai untuk mempelawa beliau yang merupakan seorang yang berkebolehan memimpin Kelantan dan mampu membawa bersama-samanya anak-anak muda. Beliau seorang ekonomis, dan tahu bagaimana untuk memajukan Kelantan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Anak-anak muda Kelantan sudah muak dengan kronisme anak dan menantu. Anak dan menantu yang tidak pernah bertanding pilihan raya tiba-tiba boleh mempunyai `kitchen Kabinetnya'.

Seperti mana rakyat telah menolak seoorang pemimpim negara kerana dipersepsikan dikuasai menantu dan anak dalam pilihan raya lalu, maka hal yang sama berulang kepada seorang pemimpin yang mendakwa menjunjung Islam sebagai asas perjuangan.

Biar setabal mana serban dan jubah dipakai, apabila tiba kepada kepentingan anak dan menantu, maka selalunya pilihan bukan lagi kepada ajaran suci, tetapi oleh bisikan kasih yang menyimpang dari kebenaran.

Tuesday, January 5, 2010

SIAPAKAH MENANG BEREBUT 'ALLAH'?

BERITA Harian hari ini mencatatkan Ulama' tersohor PAS, Haron Din menyatakan siapa yang bersetuju dengan keputusan mahkamah boleh dianggap kufir kerana bersekongkol dengan mempercayai Allah dalam bentuk triniti.

Begitupun, sesiapa yang membaca kenyataan Dewan Ulama PAS, nampak berbeza pandangan.
Sila rujuk www.ulamak.pas.org.my

Tidak Salah Penganut Kristian Guna Kalimah ALLAH – Dewan Ulamak PAS Pusat
Ditulis oleh Harakah
Khamis, 03 Januari 2008 19:57

Oleh: Azamin Amin

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, YB Dato' Ustaz Haji Mohamed Daud Al-Iraqi menjelaskan, tidak menjadi kesalahan kepada penganut Kristian dan Yahudi menggunakan kalimah 'Allah' malah ia sering digunakan oleh umat Krristian dan Yahudi sejak dari dahulu.

"Cuma jika Allah itu dikaitkan dengan perbuatan dan pemujaan syirik seperti mendua atau mentigakan Tuhan, itu adalah bertentangan dengan agama dan syarak dan dilarang umat Islam mengikut serta; tetapi jika mereka merujuk Tuhan yang sama tidak mengapa," katanya ketika dihubungi Harakah.

Kontroversi berhubung penggunaan kalimah 'Allah' timbul apabila akhbar rasmi Gereja Katolik Malaysia, Herald The Catholic Weekly menggunakan perkataan 'Allah' bagi merujuk kepada 'God' dalam seksyen bahasa Melayu akhbar tersebut.

Pemilik akhbar itu juga menghadapi masalah untuk memperbaharui permit penerbitannya akibat isu tersebut.

Menurut Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Johari Baharom, keputusan itu dibuat berasaskan 'kepada satu laporan yang dikemukakan kepada Bahagian Kawalan Penerbitan kementerian berkenaan.

"Herald boleh guna perkataan lain tetapi bukannya 'Allah'; itu akan mengelirukan orang ramai," Johari dipetik sebagai berkata.

Mengulas lanjut, Dato’ Mohamed berkata, ayat-ayat al-Quran turut menyatakan bahawa orang bukan Islam juga memperakui keesaan dan penciptaan dunia oleh Allah SWT termasuk menyebut kalimah Allah.

Dalam pada itu, beliau menegaskan jika akhbar Herald mempunyai agenda tertentu seperti mengelirukan orang ramai bahawa Allah juga meredai agama mereka, maka itu adalah dilarang.

Menurutnya, Islam mengakui Kristian dan Yahudi adalah agama langit (samawi) tetapi setelah Islam dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w., ajarannya memansuhkan agama-agama samawi sebelumnya.

Akhbar terbabit sebelum ini pernah menyelitkan sebuah rencana di seksyen bahasa Melayu pada Mei lalu di bawah tajuk "Kasih Allah: Tidak membeza-bezakan" di muka surat 23 yang dilihat cuba mempengaruhi orang Melayu yang beragama Islam terutama golongan remaja.

Herald diterbitkan oleh The Archbishop of Kuala Lumpur bagi pihak The Bishops of Peninsular Malaysia, yang beralamat di Petaling Jaya.
Terakhir Dikemaskini pada Selasa, 03 Mac 2009 19:02

Saturday, January 2, 2010

SWASTAKAN SEKOLAH CINA DAN TAMIL

ADA beberapa model untuk digunakan bagi menyelesaikan kemelut adanya sekolah cina dan tamil di negara ini, kerana dengan adanya SRJKC/SRJKT impian perpaduan Malaysia adalah palsu.

1Malaysia - satu impian sia-sia jika anak-anak kecil diasingkan sejak mereka mengenali erti persahabatan. Persahabatan kepada anak-anak Cina ialah orang Cina di sekolahnya. Begitu juga Tamil dan Melayu.

Sedangkan, ada satu sekolah yang bukan bermatlamatkan kaum, tetapi untuk seluruh anak-anak bangsa, iaitu sekolah kebangsaan, tidak dimanfaatkan. untuk penyatuan anak-anak kita.

Jadi apa erti perpaduan 1Malaysia - satu harapan palsu.

Rakan aku pernah mencadangkan jika kita mahukan satu perubahan kepada usaha mewujudkan perpaduan negara, maka sekolah-sekolah berasaskan kaum perlu dihapuskan.

Jika tidak mahu hapuskan kerana politik, maka pendekatan lain boleh digunakan seperti mengswastakan semua SRJKC dan SRJKT sebagai institusi swasta - seperti berlaku kepada 60 sekolah menengah persendirian Cina - yang dikatakan wujud sebelum merdeka dan menggunakan kurikulum dari negara Cina atau Taiwan.

SRJKC/T masih dalam kerangka berbantuan modal atau dibiayai oleh negara atau Kementerian Pendidikan tetapi kementerian tidak boleh menentukan guru besar, perpindahan guru-guru kerana mereka ditentukan oleh Lembega pengelila masing-masing.

Jika mereka mempunyai Lembaga Pengelola seperti board syarikat korporat lain, maka sewajarnya mereka wujud sebagai entiti swasta.

Dengan cara ini, wujud sebagai entiti swasta, maka mereka perlu menjadikan sekolah mereka menarik, iaitu dengan memasukkan kaum lain juga di sekolah berkenaan dan/atau menggunakan bahasa pengantar bahasa Malaysia, bukan lagi bhasa yang berteraskan kaum.

Mana ada dalam dunia hari ini yang membenarkan bahasa sendiri digunakan sebagai medium of instruction, melainkan bahasa negara berkenaan?




















Selagi sekolah dipolitikkan, dan sekolah masih wujud dalam rangka perkauman, 1Malaysia seperti gula-gula.

Thursday, December 10, 2009

SEKOLAH CINA

BILA memikirkan mengenai pelbagai jenis sekolah di negara ini, terus kenangan aku kepada seorang rakanku, Datuk Dr Salleh Hasan, yang meninggal keraa kansel paru-paru.

Beliau seorang lilin - membakar diri demi menerangi pendidikan tanah air.

Jawatan terakhirnya Pengarah Bahagian Penyelidikan EPRD di Keenterian Pelajaran.

Sebaik emosi aku tenang, akan aku tuliskan pemikiran beliau megenai sekolah.

Monday, November 16, 2009

BERSARALAH TOK GURU NIK AZIZ!

DEMI pertubuhan yang mengambil label Islam sebagai wadah politik, kredibiliti dan integriti parti serta agama mestilah dijaga.

PAS dan Tuan Guru Nik Aziz telah diasosiasikan. Jika menyebut PAS tanpa menyebut Nik Aziz sebagai mursyidul amya, macam PAS tidak wujud. Walau pelbagai kenyataan aneh, beliau tetap dibela oleh penyokong totok. Nik Aziz tetap maksum, kepada mereka. Rasional sudah diketepikan.

Namun, bagi sesungut, Nik Aziz telah sampai ke peringkat melampau (taghut). Hilang pertimbangan kemanusiaan. Hilang pertimbangan rasional. Hlang pertimbangan agama. Dah tidak tahu dosa pahala.

Penyelesaiannya: Beliau perlu bersara.

Mengapa Nik Aziz boleh dikatakan pengamal taghut?

Tidak ada manusia waras dan rasional boleh menghalalkan pemberian hadiah haji percuma kepada beliau, anak dan menantu, yang syarikat berkenaan ternyata mempunyai kepentingan dengan kerajaan negeri. Apa ini bukan rasuah? Melantik menantu dari awal lagi yang beliau sebagai Pengerusi Perbadanan Menteri Besar itu juga memperlihatkan adanya conflic of interest. Apakah tuan guru tak pernah mendengar kisah pada zaman sahabat nabi, apabila ditanya Gobenor bolehlah menerima hadiah? Sahabat bertanya kembali, jika dia bukan Gobenar adakah orang itu akan memberi hadiah? Jika syariat itu benar ikhlas, banyak lagi tok siak/tok imam/tok bilal di masjid yang belum pernah ke tanah Makkah tetapi sangat berkeinginan untuk ke sana, tetapi belum cukup kemampuan kewangan. Jika duit hadiah itu RM65,000 seorang, bermakna jika mengikut muasasah Tabung Haji, bermakna sudah empat orang (dengan andaian harga mengikut cara muasasah kini RM12,000). Jika rombongan itu ingin menaja termasuk anak dan menantu, yang dilaporkan seramai 5 orang, bermakna sudah 20 orang Tok Siak/Tok Bilal/Tok Imam boleh dihantar.

Dalam akhbar The Star semalam, menantu Nik Aziz Arif Fahmi, masih lagi menghalalkan pemberian hadiah itu. Arif Fahmi sudah merosakkan kredibiliti Nik Aziz sebagai pemimpin unggul, malah merosakkan seluruh struktur PAS sebaga parti yang memperjuangkan Islam.

Kayu ukur manakah lagi diguna....Islam? Kredibiliti? Suhakam? PIN? SPRM? Kewarasan?

Walau dengan berat hati dan titisan air mata, sesungut berkewajipan untuk berkata: Bukan sahaja Nik Aziz perlu membatalkan untuk ke Makkah menggunakan pakej VVIP itu, malah beliau seharusnya meletak jawatan.

Thursday, November 5, 2009

HAK ASASI KAUM CINA

HASRATKU ingin mendalami topik hak asasi manusia. Lalu, aku meminjam beberapa buku. Tajuk ini memang dekat dihatiku sejak dulu. Sejak dulu aku telah membaca karya John Lock, Bentham, Russell dan pemikiran barat dan timur. Cuma, tidak membaca secara serius.

Aku telah meminjam beberapa buku. Aku ingin melihat dan menghayati perjuangan pergerakan hak asasi.

Aku telah mengimbas beberapa buku. Di hadapanku kini buku bertajuk Civil Right Movement, karya Dr Kua Kia Soong, Pengarah Civil Right Organisation atau lebih dikenali sebagai Suaram.

Agak aku beliau menulis berdasarkan ilmu dan pengkajiannya mengenai hak asasi. Pada mulanya aku percaya beliau menulis berdasarkan fakta dan value-free, sebelum membuat kesimpulan.

Namun, minda ku agak kecewa. Hak asasi yang dilaungkan, dan pergerakan yang dibawa, bukan berdasarkan pemikiran ahli-ahli falsafah dunia. Sebaliknya, mengemukakan perjuangan berasaskan kehendak, kemahuan, cita-cita kaum Cina (walaupun di sesetengah keadaan turut meletakkan hak asasi kaum Tamil!).

Pada aku hak asasi mestilah berasaskan sesuatu yang sejagat.

Perbincangan dalam buku itu, pada aku, terlalu rasis.

Aku bukan menyokong kerajaan. Tidak juga penyokong pembangkang. Aku mahu jadi seorang yang kritikal dan melihat sesuatu berdasarkan nilai-nilai sejagat, sebelum melihat nilai-nilai yang relatif (berdasarkan budaya, kaum, warna kulit atau agama).

Sebaliknya, buku berkenaan meletakkan kepentingan hampir 90 peratus hak-hak asasi kaum Cina. Jika kita melihat secara parochia seperti itu, mungkin sahaja akan timbul kaum lain juga mahukan hak asasinya. Jika kita melihat sesuatu secara sejagat, idealis, mungkin pemikiran kita melangkaui ruang dan waktu. Prof Dr Syed Husin Alattas menamakan pemikiran ke arah ini sebagai `cita sempurna'. Perbuatan zalim, seperti menyeksa kanak-kanak berusia 10 tahun dengan mencampakkan ke dalam api, merupakan perbuatan yang melanggar hak asasi bukan hanya kepada orang Cina, India atau Melayu, tetapi kepada semua kaum, tidak kira sekarang atau zaman batu.

Dr Kia Soong kelihatan membahaskan atau membawa gerakan ke arah 'keadilan' kepada kaum Cina seperti mengekalkan bahasa ibunda di sekolah rendah kebangsaan Cina, Menganggap negara begitu rasis kerana melaksanakan dasar ekonomi baru (DEB), mewajibkan kerajaan melantik orang cina sebagai guru besar di SJKC, menyatakan kerajaan tidak bermoral kerana tidak membenarkan universiti merdeka yang menggunakan bahasa pengantar Cina dan pelbagai lagi tuntutan. Dan, tuntutan yang tidak dilayan dianggap sebagai melanggar hak asasi.

Apakah tidak melanggar hak asasi dan melanggar keadilan sosial apabila orang Cina menguasai/memonopoli kebanyakan sektor ekonomi? Apakah adil orang Cina yang mempunyai pendapatan perkapita RM5000 sebulan dan dilayan sama rata untuk kemasukan ke universiti sedangkan mereka mempunyai peluang mendapat pendidikan dengan menghantar ke tuisyen dan mampu membeli buku latihan yang pelbagai, berbanding kaum India yang mempunyai pendapatan perkapita RM3000?

Apakah berlaku keadilan sosial dalam satu negara bangsa jika kaum Cina bersekolah di sekolah Cina dan kaum India di sekolah India, sedangkan tidak ada negara termasuk negara yang memperjuangkan hak asasi yang membenarkan sekolah vernakular, sedangkan Dr Kia Soong begitu bersungguh-sungguh memperjuangkan sekolah dan bahasa Cina? Lebih adil, pada aku, jika semua kaum hanya berada dalam satu sekolah kebangsaan, dan bahasa Cina diajar di sekolah berkenaan. Paling tidakpun, Sekolah Wawawasn diwajibkan. Sedangkan, Dr Kia Soong bersama-sama dengan rakan-rakannya di Dwwan Perhimpunan Cina, Persatuan Huatuan dan Dong Jia Zhong, yang kononnya memperjuangkan hak asasi menolak sekolah wawasan. Apakah ini adil dan ideal untuk pembinaan bangsa?

Malangnya, Dr Kia Soong tidak sedikit pun menyentuh ketidakadilan sosial dalam hal ini?

Aku akan menulis lagi tajuk ini.

Monday, October 26, 2009

MENGAPA TOK GURU NIK AZIZ MAKIN ANEH?

INI bukan teori aku. Hanya sekadar renungan. Mengapa tiba-tiba Nik Aziz meminta Muktamar Agung Khas (ala-AGM) untuk membuang Nasharuddin Md Isa(Timbalan Presiden), Mustapa Ali (Setiausaha Agung) dan Hasan Ali (Pesuruhjaya Selangor.

Ketiga-tiga ini orang kuat PAS. Mereka ada pengaruh masing-masing.

Ulasan dalam akhbar dan cakap-cakap menyatakan ketiga-tiga ini prokerajaan perpaduaan bersama dengan UMNO, manakala Nik Aziz (lebih tepatnya penulis blogtokguru) berpihak kepada pakatan pembangkang yang diketuai oleh Anwar Ibrahim.

Yang dikatakan prokerajaan perpaduan diketuai oleh Presiden PAS, Hadi Awang. Namun, Nik Aziz tidak menyatakan hasrat untuk membuangnya dari PAS.

Dinyatakan juga dalam akhbar dan berlegar cakap-cakap di merata tempat, kumpulan Nik Aziz yang antaranya Husam Musa telah kalah dalam muktamar lalu kepada kumpulan Hadi.

Sesungut tidaklah terperangkap dengan cakap-cakap media atau orang ramai kerana daya kesan sesungut agak berbeza. Dalam tinjauan sesungut, Nik Aziz berkelakuan demikian kerana beberapa sebab, antaranya:

i. Dalam usia 82 tahun, beliau memikirkan bukan hanya nasib PAS, tetapi nasib anak buahnya, khususnya Husam. Jika beliau dipanggil tuhan sehari dua ini (masa dalam kiraan masa tuhan, mungkin beberapa bulan atau beberapa tahun lagi), apakah yang berlaku kepada Husam, exco ekonomi kelantan, sedangkan Husam dikatakan telah membantu menantu Nik Aziz untuk menjadi ketua eksekutif Perbadanan Iktisat Negeri Kelantan.

ii. Apa yang akan berlaku kepada Kelantan dan Menteri Besar jika Nik Aziz dijemput tuhan ke alam satu lagi? Jawatan Menteri Besar lazimnya ditentukan oleh Presiden Parti, seperti berlaku kepada Khalid Ibrahim yang ditunjukkan oleh Anwar. Oleh sebab Presiden Pas tidak berpihak kepada Husam, sedangkan Nik Aziz mahukan Huzam mengantikan tempatnya, maka kumpulan Hadi perlu disingkirkan.

iii. Kemarahan (bahasa lebih kasarnya: dendam) akibat kekalahan Husam sebagai Timbalan ditangan Nasharudin, sedangkan Nik Aziz menyatakan sokongan secara terbuka kepada Husam sebagai Timbalan Presiden. Kumpulan Husam termasuklah penulis blog, blogtokguru.blogspot.com yang dikatakan ditulis oleh Annual Bakri Harun, setiausaha politik Nik Aziz.

iv. Anwar memberi sokongan kepada kumpulan Husam (yang dalam istilah akhbar dikatakan kumpulan 'Erdogan') dan dikatakan juga turut mengalirkan sen untuk biaya pilihan raya Kelantan. Langkah untuk mewujudkan kerajaan perpaduan tentunya menjadi musuh kepada pakatan rakyat, yang diketuai Anwar.

v. Anwar dikatakan boleh meyakinkan Nik Aziz mengenai kes liwatnya. Beliau dipercayai berjaya meyakinkan Husam (tentunya melalui bekas setiausaha agungnya, Kamaruddin jaafar) sedangkan Anwar tidak boleh atau tidak mampu meyakinkan Hadi serta kumpulannya dalam kes liwat. Ketika Saiful Bukhari mula-mula menyatakan mahu bersumpah dengan nama Allah dalam satu upacara, Nik Aziz pada kenyataan awalnya turut menyokong tetapi setelah ada pembisik ke telinganya menyebabkan beliau mengubah kembali kenyataan. Apakah ada cara lain selain sumpah jika mekanisma kehakiman dunia boleh dipermainkan atas sebab teknikal? Hadi kelihatan faham, dan mungkin telah mendapat satu dua tips yang tidak diperolehi oleh orang lain.