Wednesday, November 24, 2010

PAKSI KEJAHATAN SELALU MENANG?

BANYAK kali suara bergema dalam dadaku. Mata kasarku melihat sebelah paksi kejahatan selalu menang. Selalu beruntung. Selalu berjaya. Timbul dalam hatiku, apakah paksi kejahatan itu patut menang?

Bukankah kebenaran selalu menggantikan kebatilan?

Amerika Syarikat menyerang Iraq secara sewenang-wenangnya. Dan, Amerika tetap gagah. Amerika tetap boleh mencatur politik dan ekonomi dunia. Banyak negara dan pemimpin terpaksa sujud bersyukur kepada Amerika Syarikat.

Beberapa orang politik yang dengan kekuatan linknya terus menjadi kaya raya. Ketua Bahagian. Ketua Pemuda. Naib Ketua. Malah, hampir kumpulan G7 berada dalam kedudukan kekayaan yang luar biasa. Apakah cara ini yang lebih mendekati kebenaran atau perbuatan membuat kekayaan hatta secara salah, lebih benar atau batil?

Begitu juga analogi ini. Banyak juga aku saksikan orang yang ikhlas 'gagal'. Aku juga yakin ada seseorang, katakan A, yang lebih tawadhuk, bijaksana dan takut kepada Illahi, berbanding dengan B, tetapi B lebih berjaya.

Tiba-tiba aku terbaca sejarah.

Pada zaman Rasulullah dahulu, ada sahabat merasakan 'perasaan' yang hampir sama. Mereka bertanya kepada Rasulullah, mengapa kafir Quraish terlalu jahat sedangkan Rasulullah ikhlas, jujur dan memperjuangkan keadilan,tetapi tak berjaya (pada waktu sebelum kejayaan).

Rasulullah berpesan, paksi kebenaran sesungguhnya akan menemui kejayaan. Jika ada 5 paksi kebenaran, maka kumpulan Rasulullah perlu menguasai lima-lima paksi kebenaran itu dan datanglah pertolongan pihak ghaibi, seperti berlaku dalam peperangan Badar, Uhud dan akhirnya wilayah Islam dapat menguasai dua gergasi kerajaan waktu itu - Rom dan Parsi, kaisar dan kisra.

Aku tenang!

No comments: