Sesungutku patah. Sukar untuk aku survive. Daya kesan semakin hari semakin tumpul. Daya adaptasi dengan perubahan persekitaran tidak berlaku. Darwin mengingatkan pentingnya adaptasi. Untuk itu, aku mahu hidupkan kembali sesungut untuk memastikan survival. Yang aku tak mahu, seperti kata pepatah lama: A fish will be the last to discover water. Tentunya, sesungut itu akan kembali hidup dengan bantuan rakan-rakan, yang sudi.
Tuesday, July 24, 2007
Sesiapa sahaja boleh menulis
Satunya, masalah bentuk. Idea sedikit berbeza dengan bentuk. Maksudnya, idea ada tetapi takut tidak akan ada bentuk, apabila menulis. Bentuk itu terpulang kepada pilihan individu. Jika memeilih untuk membuat ayat yang panjang, maka jadilah panjang tetapi jika mahukan pendek, katakan lima perkataan dalam satu ayat, maka jadilah pendek. Yang lain itu hanyalah curasan rasa atau fikir.
Berfikir semua orang boleh berfikir. Kecuali Gila. Setiap yang difikirkan itu, taipkan sahaja di komputer.
Inilah asas penulisan. Yang lebih mendalam membabitkan idea-idea yang jarang orang fikirkan, tetapi kita fikirkan. Jarang orang bertanya, tetapi kita bertanya. Ini bagi Susan Horton dinamakan proses mereka cipta, berdasarkan idea atau gabungan idea sedia ada untuk mendapatkan konsep atau pemikiran baru. Inilah yang aku sedang cari......
Friday, July 20, 2007
Bangga dikaitkan dengan UUM
BARU-BARU ini, jika tak silap tiga bulan lalu, aku berkenalan dengan seorang lelaki. Beliau memperkenalkan diri sebagai Hamidi. Asal Terengganu. Alumni UUM.
Ketika itu jam 7.45 pagi. Aku dan dua lagi rakanku ingin bermain golf di UUM. Beliau hanya berseorangan. Kerana rindu dengan UUM, beliau datang pagi-pagi. Kebetulan flight kami hanya tiga orang, kami mengajaknya untuk bersama-sama.
Katanya ketika di UUM dulu, beliau mengambil ko-kurikulum golf. Permainannya agak baik, kerana belajar empat semester. Kerjanya kini agak baik. Seorang pegawai peringkat atasan menengah. Aku bertanya pandangan dengan UUM, beliau begitu positif sekali.
Selepas bermain golf, kami pekena nasi mamak di Subaidah. Kami berborak-borak. Oleh sebab beliau kini antara penemu duga untuk kemasukan ke agensi tempat dia bekerja, aku bertanya bagaimana dengan prestasi graduan UUM yang memohon berbanding dengan universiti lain?
Ada beberapa kelemahan yang beliau ceritakan. Aku tak berhasrat mencatatkan di sini. Aku bertanya apakah beliau memberi markah tambahan untuk lepeasan UUM berbanding dengan lepasan universiti lain?
"Tentuya lepasan UUM dilayan berbeza," jawapannya memberi rasa bangga hingga aku dengan sukacitanya membayar semua yang kami makan di Subaidah.
Aku percaya banyak lagi lepasan UUM kini yang merata-rata di seluruh negara yang mengambil sikap seperti Hamidi. Malah, dulu ketika aku bekerja di Berita Harian, bos aku yang merupakan lepasan Sebaran Am ITM mengambil dan menyusun semua pasukannya dari UiTM. Malah, banyak staf baru diambil dari ITM, berbanding universiti lain.
Moral of the story begini: UUM perlu mengeluarkan lebih banyak graduannya yang memegang jawatan utama dalam sektor swasta dan kerajaan. Mereka ini diharap dapat menjemput graduan baru untuk bekerja bersama mereka.
Namun demikian, ada juga yang tak berasa bangga dengan UUM. Mereka malu dikaitkan dengan UUM. Ini normal. Sesiapa sahaja akan berasa bangga jika institusinya hebat, gagah dan terkenal. Jika ibu bapa kita gagah, hebat dan terkenal, kita juga akan berasa bangga dikaitkan dengan mereka. Jika keluarga kita kacau, kadang-kala diri sendiri malu untuk dikaitkan. Ini normal. Untuk merealisasikan hasrat ini, UUM perlu muncul sebagai institusi hebat, gagah dan terkenal.
Bagaimana?
Thursday, July 19, 2007
Mengurus Cinta dan Kasih
Namun, latihan emosi berhenti sebaik memasuki sekolah. Walau Falsafah Pendidikan begitu muluk sekali menyatakan untuk melahirkan insan yang holistik merangkumi spritual, jasmani, emosi dan intelektual, 'budaya' pengajaran dan pembelajaran mengutamakan penghafalan dan kognitif. Betul ke?
Lihat peperiksaan sama ada UPSR, PMR, SPM, STP mahupun peperiksaan di universiti, apakah yang mahu diukur? Hafalan yang menyentuh dimensi kognitif atau emosi?
Ini menyebabkan emosi tidak berkembang berkadar terus dengan usia. Emosi jadi kucar-kacir. Dalam dimensi emosi ini, seperti cinta dan kasih, sukar untuk diuruskan. Perkahwinan hanya bilangan. Perkahwinan hanya seks. Perkahwinan berpisah dengan cinta dan kasih.
Cinta dan kasih terus menjalar tanpa matang dan mampu diurus.
Takut Kepada Perubahan
Indahnya hidup ini kerana kebolehan untuk berkreativiti dalam alam yang sentiasa berubah. Perubahan ini menawarkan pelbagai pilihan. Sama seperti alam lain, ada neraka dan syurga.
Wednesday, April 4, 2007
`aku' dan keakuanku
Buddha juga dikata mengemukakan ayat yang sama.
Banyak tokoh sufi terkemuka, al-Hallaj misalnya, mengembara mencari diri dan Tuhan akhirnya bertemu `Tuhan dalam dirinya'. Tokoh sufi lain turut mengemukakan kaedah tertentu seperti `kenal diri, kenal tuhan', `kenal tuhan, kenal diri'.
Dari segi biologi, `aku' dan `kau' relatif sama.
Freud mengemukakan konsep `id' , `ego' dan `superego' dalam mengenali diri secara psikologi.
Al-Ghazali dalam Ihya Ulumiddinnya mengemukakan trilogi akal, hati dan nafsu dalam mengenali dan membersihkan diri (tazkiah), sehingga menjumpa fitrah atau diri asli.
Jika kita kata 'ini tangan aku', 'ini kepala aku', 'ini kaki aku' bermaksud aku pemilik kepada tangan, aku pemilik kepada kepala dan aku juga pemilik kepada kaki. Dimanakah `aku'?
Apakah aku itu `subconcious mind' seperti diungkapkan Carl Jung dan Freud? Atau apakah aku itu 'roh' yang tidak diketahui dimana ia berada sama ada di hati, di akal atau diseluruh anggota badan?
"Kita tidak boleh bercakap mengenai roh, kerana itu dilarang dalam al-Quran?" kata sesetengah pendapat tidak muktabar. Bagi yang muktabar menyatakan ayat al-Quran yang menyatakan roh tidak boleh dikaji, mengikut asbabul nuzulnya, dituju khas kepada Yahudi yang berniat kurang elok kepada nabi, bukan untuk memahami.
Al-Ghazali begitu mendalam mengupas berkenaan roh. Banyak lagi tokoh sufi seperti Junaid alBaghdadi dan Shah Waliullah menjelaskan mengenai perkara ini.
Akan tetapi boleh kita mengenali diri apabila membaca karya mereka. Ini kerana mengenali diri, memahami diri dan menjumpai diri tidak sama dengan mendapat maklumat mengenai diri.
Lalu, bagaimanakah cara mudah mengenali diri?
Wednesday, March 28, 2007
"Tuhan tidak beragama"
Pada waktu itu, penganut Hindu begitu taksub dengan tuhannya dan menganggap Tuhan hanyalah milik kaum India beragama Hindu.
Begitu juga penganut Islam menganggap Tuhan adalah milik mereka.
Kaum Yahudi seperti tercatat lewat ayat al-Quran terutama dalam surah al-Baqarah turut menyatakan mereka mempunyai faham yang sama, bahawa Tuhan mengiktiraf merekalah sebagai kaum super. Justeru, Tuhan milik mereka.
Peristiwa bersejarah Perang Salib atas sebab berebut Tuhan.
Tuhan juga selalu menjadi `mangsa' kepada manusia.
Ketika air tiada di UUM dalam empat hari, berlaku beberapa kecurian baldi dan air dalam baldi. Lantas, pelajar di kolej yang kehilangan baldi dan air turut berkata: "Pulangkan segera apa yang anda curi, Tuhan nampak apa yang kamu lakukan!" (ayat ini menjurus kepada menggunakan tuhan untuk mengancam `pencuri').
Begitu juga kerap kali kita boleh dengar dialog seperti ini, termasuk apa yang berlaku di kalangan artis Melayu tempatan: "Ini dah takdir, saya terpaksa bercerai"; "Belum ada jodoh"; "Semuanya ini dah tersurat".
Bukankah kata-kata demikian ingin mengheret Tuhan untuk sama-sama bertanggungjawab terhadap kesalahan sendiri?
Jika betul tuhan tidak beragama, maka mengapa perlu setiap penganut mendakwa merekalah pemunya tuhan?
Mengapa perlu cemburu jika setiap kita memiliki tuhan yang sama, kuasanya sama, baiknya sama, ehsannya sama dan dialah Penjaga Cakrawala?
Jika tuhan diibaratkan matahari yang memberikan nikmat cahaya kepada semua tumbuhan, haiwan dan manusia secara adil dan saksama, mengapa kita tidak pernah bergaduh untuk menguasai matahari dan memunyai matahari?
Wednesday, March 21, 2007
Pengangguran siswazah: menunggu mukjizat penyelesaian
Ini kerana, kata Dr Wee, tahun ini sahaja terdapat seramai 135,000 memohon memasuki IPTA, manakala tempat yang disediakan di 20 IPTA sedia ada, hanyalah sekitar 70,000.
Apakah pandangan Dr Wee itu perlu diberi tepukan gemuruh atau ianya akan menambah lagi beban negara dalam melahirkan ramai siswazah baru yang tidak mempunyai pekerjaan? Atau, apakah pandangan Dr Wee itu (kerana tersiar dalam akhbar berbahasa Cina dan Star - milik MCA) hanya menyuarakan rasa hati orang Cina yang tidak pernah takut kepada pengangguran kerana kekuatan ekonomi negara rata-rata dikuasainya?
Wednesday, March 14, 2007
FENOMENA BERBAJU KURUNG: SISWI UUM TAK PANDAI BERFESYEN
SINTOK: UUM dikatakan universiti pengurusan terulung. Siswanya wajib berteler leher. Sentiasa kemas. Termasuk ketika memasuki toilet!
Jika universiti pengurusan, warganya mesti berimej korporat.
Yang siswanya bolehlah dikategorikan kemas dan berimejkan korporat. Bagaimanapun, siswinya rata-rata berbaju kurung. Tidak kira hari. Dalam dunia korporat, baju kurung biasanya pada hari Jumaat sahaja.
Sungguh boring melihat kiri kanan - semuanya berbaju kurung.
Jika hutan dan pokok-pokok terdiri dari pelbagai spesies yang asli dan menarik, siswi di UUM tidak kelihatan asli, umpama bunga plastik.
Aku teringat satu madah guruku, Fritz Perls:
Tuesday, March 13, 2007
MEMPERSOALKAN TUHAN DI PENGAJIAN TINGGI
Setuju?
Inilah sebabnya `posting' pertama dalam blog ini dulu, aku mengemukakan persoalan sama ada kita menciptakan tuhan atau tuhan seadanya?
Terlalu banyak elemen manusia apabila ingin memperkatakan mengenai tuhan. Dalam hujah untuk mempertahankan monoteisme, rakan-rakan aku itu tanpa sedar sudah mempersonafikasikan tuhan - seolah-olah tuhan ada keinginan seperti manusia. Mereka berkata, jika ada dua tuhan, akan bergaduh sesama sendiri kerana ada yang ingin mencipta yang ini dan ada yang ingin mencipta yang itu.
Ada satu `insight' muncul apabila seorang rakan aku beragama Buddha menyatakan: "tuhan hanya boleh difahami melalui `rasa'.
Aku bersetuju dengan pendapat rakan beragama Buddha itu, dan tidak bersetuju dengan rakanku beragama Islam.
KHUTBAH KITA 'KENA' BERSYUKUR
Semalam, dalam satu perbincangan dengan siswi, aku bertanya: mengapa kita perlu beryukur?
Tuhan mencipta alam dengan sempurna. Tuhan memberikan kita makan minum. Tuhan membela kita. Justeru, kita perlu beryukur?
Aku bertanya: perkataan `kena' bersyukur itu di-impose'kan kepada kita oleh siapa? Mereka jawab, oleh tuhan lewat ayat sucinya.
Aku bertanya lagi, jika tuhan tidak `impose', apakah kita bersyukur atau tidak?
Jika kita tidak pernah mendengar khutbah datuk nenek kita supaya kita berterima kasih kepada ibu dan ayah kita, apakah kita tidak berterima kasih kepada mereka?
Khutbah seperti membunuh manusiawi, menyebabkan kita hidup terlalu mekanistik - seperti robot.
Saturday, March 10, 2007
HALA TUJU MPP
Ini memberikan kesan lahirnya dua mazhab pemikiran. Mazhab pertama melihat dunia ini penuh duri dan tujuan kehidupan hanya untuk mengelak duri berkenaan. Mazhab kedua akan bangga dengan masa lampau dan seterusnya suka menceritakan kenangan.
Dalam konteks Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), mereka yang percaya kepada mazhab kedua akan mencari sesuatu yang dirasakan hebat oleh orang masa lalu, dan meniru apa sahaja yang dibuat mereka.
Jika pada masa lalu, demonstrator akan dianggap sebagai wira maka usaha untuk menentang segala suara dan dasar kerajaan akan menjadi kayu ukur aktiviti.
Barangkali ini lebih baik berbanding penganut mazhab dunia penuh duri kerana kumpulan ini akan melihat dunia secara `hatam-putih'. Perspektifnya untuk melihat sama ada sesuatu halal atau haram.
Namun, ada mazhab yang ingin keluar dalam ketegori berkenaan. Ini kerana mereka percaya dunia ini seperti kata tokoh pre-Socrates, Heraclitus bahawa dunia ini seperti sungai- iainya akan mengalir dan mengalir.
Mazhab ini akan percaya kepada perlunya idea. Idea akan menentukan kemajuan atau kemunduran. Pengalaman lalu hanyalah kerangka kasar yang tidak semestinya diikut. Idea itu perlu diperdebatkan, untuk memunculkan idea lebih baik. Kumpulan ini tidak jumud, malah terbuka kepada idea.
Hidup ini banyak bergantung kepada persepsi atau bagaimana kita melihat, dan persepsi itu selalunya seperti seseorang yang diikat dalam gua tetapi hanya tahu melihat kilatan cahaya, seperti diungkapkan Plato dalam Republic, mengenai the allegory of the cave.
Pilihan di tangan kita.
Bagaimanakah agaknya pilihan MPP dalam memilih aktiviti mereka?
Thursday, March 8, 2007
PENSYARAH WANITA PATUT CARI SISWA UNTUK CALON SUAMI
SINTOK: Ada beberapa pensyarah wanita dan pentadbir yang juga kawan rapat aku, masih belum berkahwin.
Ada juga ICT – gelaran kepada ibu comel tunggal yang juga bersedia mencari pasangan lain, jika ada.
Setakat aku mengenali mereka, dalam fikiran mereka mahukan seorang lelaki yang setara atau sedikit sahaja usia melebihi mereka.
Tipikal orang Melayu!
Aku tentunya mempunyai fikiran yang berbeza dengan mereka. Rasional aku berasakan fakta semasa, iaitu:
Jangka hayat wanita lebih tinggi berbanding dengan lelaki. Dalam konteks negara kita, mengikut data semasa, jangka hayat wanita ialah 70 tahun manakala lelaki hanya 62 tahun.
Katakan seorang wanita atau gadis berusia 30 tahun dan berkahwin dengan pasangan lelaki berusia 32 tahun, maka secara umumnya wanita itu akan ditinggalkan suami dan menjanda selama 10 tahun (2 tahun beza usia + 8 tahun purata beza jangka hayat).
Jika suaminya mati dalam usia 60 tahun, wanita itu akan menjanda pada usia 58 tahun. Pada waktu ini, mungkin sukar untuk mencari pasangan lain. Dan, secara matematiknya, dia akan menjanda selama 12 tahun.
Oleh sebab ideal cinta sehidup semati, maka elok wanita Melayu mencari pasangan yang jauh lebih muda berbanding dengan mereka.
Untuk konsisten dengan data semasa itu, aku mencadangkan: pensyarah wanita elok mencari pasangan yang jauh lebih muda. Jika wanita itu sekarang ini berusia 31 tahun, elok dia mencari pasangan berusia 23 tahun – iaitu usia siswa pada tahun akhir.
Bagi siswi di universiti sekarang, mereka elok memilih pelajar sekolah untuk menjadi suami mereka. Ini bermakna, siswi berusia 20 tahun wajar mencari bakal suami dalam usia 12 tahun, iaitu pelajar yang mengambil UPSR.
Alternatif yang pernah saya cadangkan kepada siswi, jika mahu juga bercinta, ialah memilih pasangan siswa hanya untuk satu atau dua semester sahaja. Bercinta bukan untuk berkahwin tetapi untuk merasai warna cinta.
Mengapa?
Dalam konteks UUM, pelajar siswi 70 peratus manakala lelaki hanya sekitar 30 peratus. Jika setiap pelajar perempuan berpasangan, masih ada 40 peratus yang tidak sempat bercinta.
Bagaimanapun, jika siswi hanya bercinta satu atau dua semester kemudian cari helah untuk berpisah, maka mereka akan berlaku adil kepada siswi lain yang belum pernah bercinta.
Lagipun, bergilir pasangan cinta tidak sepedih berkongsi suami?
Lagipun, jika siswi yang meninggalkan pasangannya, agaknya, tidaklah tumpah lelehan air mata yang banyak berbanding ditinggalkan boyfriend. Dalam kontes ini menjadikan siswi lebih `berkuasa’ membuat keputusan, berbanding dengan siswa yang ditinggalkan.
Dengan bertindak adil kepada siswi lain ini akan membolehkan siswa dan siswi dapat menghidupkan aspek afektif diri, bukan semata-mata kognitif (melalui akademik) atau psikomotor (melalui aktiviti ko-kurikulum).
Mungkin idea radikal seperti ini belum boleh diterima dalam masyarakat kita, termasuk di kalangan community of scholar!
Ianya akan menjadi biasa 10 atau 20 tahun akan datang.
Sepuluh atau 20 tahun lalu, ramai wanita Melayu takut jika tidak berkahwin. Pelbagai istilah dicetus seperti andartu/andalusia tetapi kini masyarakat sudah menganggap perkara ini biasa.
Sudah tidak menjadi asing lagi kini ada wanita yang bangga kerana tidak berkahwin kerana berhujah banyak lelaki lebih banyak menyusahkan, berbanding dengan hidup solo dan merdeka.
TITAS DAN ROSNAH MAT ARIS
Ramai siswi dalam kumpulan tutorial aku kelihatan bersama-sama dengan pandangan orang ramai bahawa Rosnah bertindak celupar.
Pandangan rata-rata masyarakat kita adalah terpancar dalam tindakan sekumpulan anak muda parti PAS yang menghantar memorandum kepada TV3 kerana menyiarkan rancangan Sensasi itu.
Suruhanjaya Multimedia Malaysia (SMM) yang mempunyai kuasa memberi lesen kepada TV3 juga serta merta mengharamkan rancangan itu.
Datuk Zainuddin Maidin, Menteri Penerangan yang mempunyai kuasa terhadap RTM terus mengharamkan Rosnah daripada muncul di RTM.
Aku bukan bersetuju atau tidak bersetuju dengan Rosnah, cuma cuba mengajak perbincangan kepada perkara yang lebih luas, dan tidak terpenjara dalam pemikiran ‘black and white’ semata-mata, kerana kawasan ‘grey’ juga menarik untuk diperhatikan.
Persoalan pertama aku kepada siswi-siswi kumpulan tutorial ialah apakah isu yang diperkatakan ini perkara akidah, prinsip atau hanya masalah furuk?
Mereka nampaknya bersetuju bahawa perkara ini bukan isu prinsip, tetapi hanya perkara ranting yang boleh diperbincangkan. (Malah, banyak perkara prinsip dan akidah juga boleh diperbincangkan, demi mencari kebenaran yang lebih tulen).
Persoalan kedua, apakah betul Muhamad bin Abdullah (kerana waktu itu belum menjadi Nabi) berkahwin dengan wanita yang lebih tua, Khatijah?
Ramai siswi itu juga bersetuju dengan fakta berkenaan.
Aku hanya membuka fikiran supaya melihat fakta kerana universiti yang berakarkatakan ‘universal institution’ .hanya menerima kebenaran, kerana kebenaran itulah sejagat.
Warga universiti, pada aku, perlu merdeka daripada pemikiran yang belum dicabar kebenarannya. Sesuatu itu tidak menjadi benar hanya apabila diucapkan oleh Menteri atau kebenaran itu tidak semestinya benar apabila diperkatakan oleh seseorang pemakai kopiah.
Kebenaran hanya milik tuhan. Pemakai kopiah yang membaca dan mentafsir ayat Tuhan juga perlu dicabar kebenaran, kerana mereka tidak semestinya betul dalam mentafsir makna sebenar yang dikehendaki Tuhan.
Aku hanya ingin membuka cakrawala pemikiran, supaya amalan taklid kepada ibu bapa atau bertaklid kepada pemakai kopiah perlu dihapuskan, demi menjamin kelangsungan tamadun.
Jika tidak, kita akan mengikuti jejak ulama Kristian yang pernah membunuh nyawa Galilio Galili yang memperjuangkan `bumi mengeliling matahari’ , sedangkan ulama waktu itu mempercayai sebaliknya.
Rasanya, kelas tutorial Titas hari itu yang menyentuh sedikit isu mengenai Rosnah Mat Aris tidaklah terkeluar cakupan daripada silibus Tamadun Islam dan Tamadun Asia.
Friday, March 2, 2007
DATO' DR SALLEH HASSAN
Ahad lalu, aku di Kuala Lumpur. Seorang rakanku dari USM, meminta aku melawat Dr Salleh di HUKM. Seorang lagi rakan kami ketika aku di Airport Kepala Batas, Alor Star untuk ke KL, juga menelefon dan meminta aku melawat Dr Salleh. Mereka agaknya sudah mendapat petunjuk. Mereka berdua selalunya mendapat maklumat lebih awal, berbanding denganku.
Dr Salleh menghidap kanser dan paru-baru berair. Dua tiga bulan lalu, aku pernah melawatnya di Precint 10 Putrajaya, ketika itu beliau baru disahkan kanser. Ketika itu suaranya serak. Tapi, cerianya menyerlah, apalagi bila berjumpa kawan lama.
Sekitar jam 12 tengahari aku mencari wad onkologi di HUKM.
Melihat wajahnya, aku dah menjadi sayu. Begitupun, beliau ceria ketika menemuiku. Mulutnya ditutup untuk dimasuki oksigen. Beliau sempat berkomunikasi denganku melalui tulisan:
“Tan Sri Musa, Tan Sri Rafie, Pak Pin, Dr Omar, Amer dah melawat semalam,” tulisnya.
Aku memegang tangan kanannya. Agak berisi sikit. “Tangannya bengkak kerana dimasuki air,” kata isteri Dr Salleh. Isterinya juga mengenali aku, kerana banyak kali juga aku ke rumahnya dan dia juga pernah ke rumahku.
Aku hanya meminta beliau berehat. Hatiku cukup tersentuh melihatnya. Beliau cuba mengangkat tangannya sebagai isyarat bertanya, masihkah aku bermain golf? Aku menganggut dan berkata: “masih aktif bermain golf di UUM.”
Beliau selepas itu tidur dan aku keluar dari wad Afuan Afzan HUKM, dan bersalam dengan ayahnya yang sedang menunggu di luar bertentangan dengan biliknya.
Tahun 2000, aku mengenali Dr Salleh. Seorang anak Perlis. Ketika itu aku bekerja di Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur. Beliau ketika itu di bekerja Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan (EPRD). Tahun 2000 dia dipinjamkan ke pejabatku.
Banyak persamaan antara aku dengannya. Ada chemistry. Beliau perokok, sama sepertiku. Beliau peminat teh tarik, sama sepertiku. Beliau juga suka makanan mamak, sama sepertiku. Hampir tiap-tiap petang, kami akan pekena the tarik di kedai mamak Maju. Kedai itu jugalah menjadi tempat perdebatan kami. Dari segi pemikiran juga banyak persamaan. Kami percaya betapa pendidikan mestilah mewujudkan minat pelajar. Malah Dr Salleh pernah juga berkata, pendidikan mestilah meraikan bakat pelajar. Tesis Ph.Dnya juga mengenai bakat pelajar-pelajar di MRSM. Pedagoginya mestilah berteraskan pelajar. Pemikiran kami bertemu di bawah jalur ahli falsafah pendidikan Amerika, John Dewey. Dr Salleh berkata, “pelajar mesti gembira untuk ke sekolah, dan mesti terasa sedih bila mahu pulang.,” Malah, jika melihat Dr Salleh, mudah sahaja fikiran aku untuk menyamakan dengan John Dewey – kurus dan sedikit rambut. Mungkin pemikir, banyak yang kurus fizikalnya.
Kelebihan Dr Salleh yang aku cuba menirunya tetapi kurang berjaya, beliau masuki ofis jam 7.30 pagi dan balik jam 8 hingga 9 malam. Hampir tiap hari rutinnya begitu. Semua orang senang dengannya. Baik par dan kerani, mahupun pegawai atasan boleh berkawan dan merokok bersama.
Aku mengenali golf juga dengannya, bersama-sama dengan Dr Omar. Kali pertama aku menjejaki padang golf di Meru, Ipoh. Itulah kali pertama aku memegang club. Aku masih ingat, Dr Salleh dan Dr Omar mengajarku supaya kepala tidak boleh diangkat ketika melakukan `swing’. Katanya, don’t hit the ball, just swing like pendulum. Ketika itu kami dalam perjalanan ke Pulau Pinang. Beliau seperti guruku. Ayunannya menggerunkan, walaupun jarak pukulan selalunya aku berjaya mengatasinya. Kami biasanya bermain golf di UPM, pada hari minggu. Siapa kalah, kena belanja mee goreng di kelab golf. Acap kali aku dapat makan free. Aku menjadi pencandu golf. Setiap kali boss kami memasuki mana-mana tournament, sama ada dengan Agong atau dengan syarikat korporat, nama kami bertiga mesti diselitkan. Malah, tempat yang ekslusif seperti Mine juga kami pernah bermain. Sebut sahaja padang golf di sekitar Lembah Klang, kami akan cuba menyelitkan nama kami. Bermain free. Bangi Golf Resort, IOI, Kinrara, UKM, UPM, Batang Berjuntai, Nilai Spring – semuanya kami bertiga sudah merasainya. Inilah barangkali tiga tahun bersama Dr Salleh, menjadikan kami begitu akrab. Ketika beliau diangkat sebagai Pengarah Pendidikan Melaka, kami masih lagi berhubung. Tidak pernah putus.
Walaupun usianya separuh usiaku, tetapi kami berkawan seperti sahabat seusia. Aku selalu menjadi seperti Socrates, apabila berjumpa Dr Salleh – meragui setiap ideanya yang dibentangkan. Aku akan bertanya dan bertanya. Kerap kali juga beliau marah. Kerap kali juga ideanya aku pancung. Dan setiap kali dia menjadi ragu, dia akan merujuk kepada Dr Omar. Jika Dr Omar sama pendapat denganku, beliau tentu sahaja akan menerima idea kami. Apapun dia akan merujuk kepada Dr Omar.
Bertambah rapat hubungan itu, agaknya, kerana kami selalunya juga bersama dalam mengiringi boss kami. Di Johor, di Melaka, di Negeri Sembilan, di Perlis, di Kedah, di Pahang, di Kelantan, di Terengganu, di Sabah, di Sarawak – kami bersama-sama. Apalagi jika perjalanan itu menaiki kereta bersama.
Keretaku sekarang inipun dibeli kerana meniru beliau – Kia Sportage.
Izinkan aku berkata-kata sepatah dua kepada Dr Salleh:
“Dr Salleh, malam ini, aku tidak boleh menulis tesis masterku. Emosiku cukup terganggu dengan berita kematianmu. Aku mohon ampun dan maaf jika ada tersilap. Terkasar bahasa. Terhutang apa-apa. Aku, malam ini, di Sintok, tidak sempat untuk melawat jenazahmu di Precint 10. Tidak sempat juga melihat tempatmu disemadi di Precint 20 Putrajaya, esok.
“Dr Salleh, aku doakan agas Pencetus Mati akan meletakkanmu di tempat tertinggi dalam tamannya. Dia lebih mengetahui. Dia lebih menyayangimu. Jasamu kepada pendidikan tanah air, khususnya untuk Bumiputera Luar Bandar, akan menjadi penimbang kepada sedikit sebanyak dosa-dosamu.
“Dr Salleh, aku tetap mengingatimu. Menyayangi sebagai seorang sahabat yang amat dekat dihatiku. Kata-kata semangatmu akan terus aku ingati. Setiap kali aku melintasi Maktab Perguruan Islam Bangi, wajahmu selalu muncul. Kenangan dan memori kita bersama akan berkekalan.”
Izinkan aku, malam syahdu ini, menulis satu sajak khusus buatmu:
HARI PERTEMUAN
(Khas buat Dato’ Dr Salleh Hassan)
Tuhan tidak tersilap
Menghadirkanmu
Hari ini Dia ingin menemuimu
Jiwamu kini bebas merdeka
Bagaikan burung berterbangan
Menunggu hari-hari pertemuan.
Jiwamu kini bebas merdeka
Gembira riang
Bagai kain putih tanpa dosa.
Angkatkan kepalamu ke atas
Lihat anak-anak kampung tersenyum
Melambai-lambai tangan terima kasih.
Jumpalah dengan-Nya
Sambil membawa jasamu.
Sesungut Patah
Sintok, 1.04pagi, Jumaat,
2 Mac 2007
Thursday, February 22, 2007
Universiti perlu dimansuhkan
Inikah yang mahasiswa dan masyarakat mahukan dengan universiti?
Meski tidak ada tinjauan persepsi, aku masih berpendapat mahasiswa ijazah pertama mahukan pekerjaan apabila bergraduat. Mahu mencari pasangan. Mahu membalas jasa ibu bapa melalui rezeki dan tentunya bagi yang kurang berkemampuan, membayar PTPTN.
Jika kenyataan ini boleh diterima secara umum, maka universiti perlu bergerak ke arah itu. Pastikan semua graduan ijazah pertama bilingual. Ada kemahiran yang boleh dipasarkan. Pastikan majikan berpuas hati dengan produk universiti. Mantap hard skill dan soft skill.
Atau, jika mahukan keidealan universiti: tutup universiti. Tubuhkan seberapa banyak politeknik, kolej komuniti dan institusi latihan yang khusus untuk membekalkan buruh-buruh ke institusi kerajaan atau swasta.