Friday, March 2, 2007

DATO' DR SALLEH HASSAN

MALAM ini, dia menghembuskan nafas terakhir. Petang tadi, dia dikatakan mahu pulang ke rumah di Precint 10 Putrajaya.

Ahad lalu, aku di Kuala Lumpur. Seorang rakanku dari USM, meminta aku melawat Dr Salleh di HUKM. Seorang lagi rakan kami ketika aku di Airport Kepala Batas, Alor Star untuk ke KL, juga menelefon dan meminta aku melawat Dr Salleh. Mereka agaknya sudah mendapat petunjuk. Mereka berdua selalunya mendapat maklumat lebih awal, berbanding denganku.

Dr Salleh menghidap kanser dan paru-baru berair. Dua tiga bulan lalu, aku pernah melawatnya di Precint 10 Putrajaya, ketika itu beliau baru disahkan kanser. Ketika itu suaranya serak. Tapi, cerianya menyerlah, apalagi bila berjumpa kawan lama.

Sekitar jam 12 tengahari aku mencari wad onkologi di HUKM.

Melihat wajahnya, aku dah menjadi sayu. Begitupun, beliau ceria ketika menemuiku. Mulutnya ditutup untuk dimasuki oksigen. Beliau sempat berkomunikasi denganku melalui tulisan:

“Tan Sri Musa, Tan Sri Rafie, Pak Pin, Dr Omar, Amer dah melawat semalam,” tulisnya.

Aku memegang tangan kanannya. Agak berisi sikit. “Tangannya bengkak kerana dimasuki air,” kata isteri Dr Salleh. Isterinya juga mengenali aku, kerana banyak kali juga aku ke rumahnya dan dia juga pernah ke rumahku.

Aku hanya meminta beliau berehat. Hatiku cukup tersentuh melihatnya. Beliau cuba mengangkat tangannya sebagai isyarat bertanya, masihkah aku bermain golf? Aku menganggut dan berkata: “masih aktif bermain golf di UUM.”

Beliau selepas itu tidur dan aku keluar dari wad Afuan Afzan HUKM, dan bersalam dengan ayahnya yang sedang menunggu di luar bertentangan dengan biliknya.

Tahun 2000, aku mengenali Dr Salleh. Seorang anak Perlis. Ketika itu aku bekerja di Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur. Beliau ketika itu di bekerja Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan (EPRD). Tahun 2000 dia dipinjamkan ke pejabatku.

Banyak persamaan antara aku dengannya. Ada chemistry. Beliau perokok, sama sepertiku. Beliau peminat teh tarik, sama sepertiku. Beliau juga suka makanan mamak, sama sepertiku. Hampir tiap-tiap petang, kami akan pekena the tarik di kedai mamak Maju. Kedai itu jugalah menjadi tempat perdebatan kami. Dari segi pemikiran juga banyak persamaan. Kami percaya betapa pendidikan mestilah mewujudkan minat pelajar. Malah Dr Salleh pernah juga berkata, pendidikan mestilah meraikan bakat pelajar. Tesis Ph.Dnya juga mengenai bakat pelajar-pelajar di MRSM. Pedagoginya mestilah berteraskan pelajar. Pemikiran kami bertemu di bawah jalur ahli falsafah pendidikan Amerika, John Dewey. Dr Salleh berkata, “pelajar mesti gembira untuk ke sekolah, dan mesti terasa sedih bila mahu pulang.,” Malah, jika melihat Dr Salleh, mudah sahaja fikiran aku untuk menyamakan dengan John Dewey – kurus dan sedikit rambut. Mungkin pemikir, banyak yang kurus fizikalnya.

Kelebihan Dr Salleh yang aku cuba menirunya tetapi kurang berjaya, beliau masuki ofis jam 7.30 pagi dan balik jam 8 hingga 9 malam. Hampir tiap hari rutinnya begitu. Semua orang senang dengannya. Baik par dan kerani, mahupun pegawai atasan boleh berkawan dan merokok bersama.

Aku mengenali golf juga dengannya, bersama-sama dengan Dr Omar. Kali pertama aku menjejaki padang golf di Meru, Ipoh. Itulah kali pertama aku memegang club. Aku masih ingat, Dr Salleh dan Dr Omar mengajarku supaya kepala tidak boleh diangkat ketika melakukan `swing’. Katanya, don’t hit the ball, just swing like pendulum. Ketika itu kami dalam perjalanan ke Pulau Pinang. Beliau seperti guruku. Ayunannya menggerunkan, walaupun jarak pukulan selalunya aku berjaya mengatasinya. Kami biasanya bermain golf di UPM, pada hari minggu. Siapa kalah, kena belanja mee goreng di kelab golf. Acap kali aku dapat makan free. Aku menjadi pencandu golf. Setiap kali boss kami memasuki mana-mana tournament, sama ada dengan Agong atau dengan syarikat korporat, nama kami bertiga mesti diselitkan. Malah, tempat yang ekslusif seperti Mine juga kami pernah bermain. Sebut sahaja padang golf di sekitar Lembah Klang, kami akan cuba menyelitkan nama kami. Bermain free. Bangi Golf Resort, IOI, Kinrara, UKM, UPM, Batang Berjuntai, Nilai Spring – semuanya kami bertiga sudah merasainya. Inilah barangkali tiga tahun bersama Dr Salleh, menjadikan kami begitu akrab. Ketika beliau diangkat sebagai Pengarah Pendidikan Melaka, kami masih lagi berhubung. Tidak pernah putus.

Walaupun usianya separuh usiaku, tetapi kami berkawan seperti sahabat seusia. Aku selalu menjadi seperti Socrates, apabila berjumpa Dr Salleh – meragui setiap ideanya yang dibentangkan. Aku akan bertanya dan bertanya. Kerap kali juga beliau marah. Kerap kali juga ideanya aku pancung. Dan setiap kali dia menjadi ragu, dia akan merujuk kepada Dr Omar. Jika Dr Omar sama pendapat denganku, beliau tentu sahaja akan menerima idea kami. Apapun dia akan merujuk kepada Dr Omar.

Bertambah rapat hubungan itu, agaknya, kerana kami selalunya juga bersama dalam mengiringi boss kami. Di Johor, di Melaka, di Negeri Sembilan, di Perlis, di Kedah, di Pahang, di Kelantan, di Terengganu, di Sabah, di Sarawak – kami bersama-sama. Apalagi jika perjalanan itu menaiki kereta bersama.

Keretaku sekarang inipun dibeli kerana meniru beliau – Kia Sportage.

Izinkan aku berkata-kata sepatah dua kepada Dr Salleh:

“Dr Salleh, malam ini, aku tidak boleh menulis tesis masterku. Emosiku cukup terganggu dengan berita kematianmu. Aku mohon ampun dan maaf jika ada tersilap. Terkasar bahasa. Terhutang apa-apa. Aku, malam ini, di Sintok, tidak sempat untuk melawat jenazahmu di Precint 10. Tidak sempat juga melihat tempatmu disemadi di Precint 20 Putrajaya, esok.

“Dr Salleh, aku doakan agas Pencetus Mati akan meletakkanmu di tempat tertinggi dalam tamannya. Dia lebih mengetahui. Dia lebih menyayangimu. Jasamu kepada pendidikan tanah air, khususnya untuk Bumiputera Luar Bandar, akan menjadi penimbang kepada sedikit sebanyak dosa-dosamu.

“Dr Salleh, aku tetap mengingatimu. Menyayangi sebagai seorang sahabat yang amat dekat dihatiku. Kata-kata semangatmu akan terus aku ingati. Setiap kali aku melintasi Maktab Perguruan Islam Bangi, wajahmu selalu muncul. Kenangan dan memori kita bersama akan berkekalan.”

Izinkan aku, malam syahdu ini, menulis satu sajak khusus buatmu:


HARI PERTEMUAN
(Khas buat Dato’ Dr Salleh Hassan)

Tuhan tidak tersilap
Menghadirkanmu
Hari ini Dia ingin menemuimu

Jiwamu kini bebas merdeka
Bagaikan burung berterbangan
Menunggu hari-hari pertemuan.

Jiwamu kini bebas merdeka
Gembira riang
Bagai kain putih tanpa dosa.

Angkatkan kepalamu ke atas
Lihat anak-anak kampung tersenyum
Melambai-lambai tangan terima kasih.

Jumpalah dengan-Nya
Sambil membawa jasamu.



Sesungut Patah
Sintok, 1.04pagi, Jumaat,
2 Mac 2007

7 comments:

khasanah77 said...

memang menyentuh perasaan...

kalau boleh saya nak selami berapa dalamnya keakraban persahabatan yang demikian dikatakan mempunyai chemistry yang cukup kuat...
orang kata macam air sirap campur susu jadi air bandung...
tambah menyelerakan...

don't forget, artikel abang hadi YDP MPP UUM dalam Berita Harian 3 Mac 2007

Anonymous said...

Jalinan bahasa sangat mudah, agak lirikal. Maksud yang dibawa tidak sedikit pun kurang melekat di benak pembaca.

Yang lain-lain saya hanya mampu diam dan mengangguk. Apa yang existentially relevant pada seseorang adalah miliknya.

sesungutpatah said...

Dr Salleh,

Pagi tadi di Kepala Batas, Pulau Pinang, kebetulan ada Pameran Pendidikan di Dewan Milinium, kawan-kawan lama kita berkumpul - semua mengenalimu.

Di Pentas, selain Menteri Pengajian Tinggi dan rakan kita Dato' Prof Hassan, ialah Tuan Haji Alimuddin. Beliau kini Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Sekolah JUSA B - jawatan yang sepatutnya menjadi tempatmu. Alimuddin juga kawan rapat kita. Ketika kita bekerja bersama dulu, beliau masih lagi pengetua MCKK. Aku juga pernah bekerja sekejab dengan beliau di Kementerian Pengejian Tinggi, sebelum beliau membuat keputusan bijak untuk ke Kementerian Pelajaran. Malah,pernah juga bersama-sama membuat Pusat Promosi di Ho Chin Min, Vietnam.

Seperti yang kita pernah cakap-cakap dulu, dan yang kawan-kawan doakan, kau akan menduduki jawatan tertinggi iaitu sebagai Ketua Pengarah Pelajaran, selepas Dato Dr Ahmad Sipon. Nampaknya, trennya semacam akan menjadi kenyataan. Selepas kau menjadi Pengarah Pelajaran Melaka, terus sahaja kemudiannya sebagai Pengarah Lembaga Peperiksaan dan seterusnya ke EPRD. Pengalaman itu memang melayakkan sebagai Ketua Pengarah Pelajaran.

Perancangan tuhan nampaknya lebih kuat.

Dr Salleh, hari ini, kawan rapat kita, yang kita selalu bermain golf bersama, Dr Omar Osman, menjalani hari pertama sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar USM. Beliau juga aku temui di Dewan Milinium pagi tadi. Beliau juga sempat merasai JUSA B, jika tidak mendapat hakiki JUSA C sebagai Profesor. Tapi, aku rasa, melihat kesungguhan beliau, beliau akan jadi profesor dalam masa satu atau dua tahun ini.

Ketika kami sedang bersembang-sembang selepas Menteri pulang,
VC USM, Prof Zul menyapaku dan bertanya, masihkah aku merokok, aku jawab sikit-sikit. Sebelum itu, Prof Hassan juga bertanya dan mendesak supaya aku hentikan merokok. Ini semua kesan kanser yang kau alami, Dr Salleh.

Dr Salleh, apakah kau berpendapat aku patut berhenti merokok sekarang?

Yang menyebabkan hatiku sedih ialah apabila ketika itu, seorang rakan kita, Pengarah Matrikulasi, Prof Zainal berkata:

"Semua kawan-kawan ada pada hari Jumaat, ketika kau akan dikebumikan, kecuali kori. Apakah kawan hanya ketika gembira dan ketika mati, tidak menghadirkan diri. Dr Omar ada alasan, kerana kenduri adiknya, tapi u tak ada alasan."

Dr Salleh, maafkan aku jika aku mengadu kali ini. Aku cukup terpukul dengan kata-kata Prof Zainal.

Malah, tulisan aku, tribute aku bersama-sama dengan sajak itu, adalah penutup kepada satu unfinished business. Sampai hati Prof Zainal membuka luka itu...menyebabkan darah hatiku mengalir dan mengalir....

Kori
5 Mac 2007

razihan said...

menyayukan hati nurani dan al fatihah semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang mukmin dan para syuhada

Adam Kulim said...

Tuan,

yang pergi tetap pergi...
saya tetap merindui team kedai maju dahulu...

di mana sekumpulan manusia yang bekerja untuk agama,bangsa dan negara...

yang mana mereka ini bekerja secara ikhlas untuk pembangunan pendidikan....

saya telah melihat satu perubahan yang mendadak,selepas kalian tiada... satu fenomena baru...di mana tiada lagi persahabatan...
walaupun pejabat baru di putrajaya, semuanya mementingkan diri....

kepada rakan kita Allahyarham DR Salleh, masih lagi saya ingat, tuan sendiri, Dr Omar,Dr Sabri,izhar minum ptg dkt Maju PBD....
waktu event...malah waktu bekerja sekalipun....kalian adalah the best team...

malah selepas keluar dari MOE, Dr Salleh begitu cemerlang sekali apabila menjadi pengarah pendidikan melaka lalu menjadi pengarah LPM...

Kita sekarang tuan dah ada di dalam satu suasana yang lain...rakan kita telah tiada...keadaan negara bergolak dengan politik..

maka telah menjadi tanggungjawab kita untuk menyuarakan segala mungkin kupasan intelektual kita...insya Allah...

sesungutpatah said...

Tuan Adam,

TIDAK sekali-kali adil kita menyatakan team kita lebih baik daripada sekarang. Saya berpendapat, team sekarang lebih baik.

Yang lepas jadikanlah kenangan.

Tuan perbendapat politik kita sedikit `kacau', dan buat masa sekarang, saya rasa politik kita stabil - macam dulu juga. Dulu, 1998-2001 saat politik negara memang kacau, dan pilihan raya 1999 membuktikan kekacauan itu. Tahun 2004 melihatkan negara sudah pulih. Rasanya, sehingga sekarang, kita menikmati ketenangan.

Apa lagi bagi kami yang berada jauh dari politik perdana, merasa setiap masa dalam ketenangan....oh yea, bab dua tesis aku masih belum siap. Jadi terpaksa berhenti setakat ini....

Adam Kulim said...

Sedikit pembetulan jika saya tersilap kata...

Bukan yang penggal baru ini...maksud saya team penggal sementara yang lepas...

Yang sekarang ni saya ada keep in touch...alhamdulillah..mereka memahami perjuangan mahasiswa..Nescaya MPP2 IPTA mendapat banyak manfaat dari management yang ada...

Dari segi keterlibatan sejarah..ya..1998-2001 adalah saat genting politik kita...namun pada masa itu... kesannya tampak...realitinya dapat diamati..

tetapi pada masa sekarang..ia seperti bom jangka...dan hanya mereka yang mengetahui sahaja tahu betapa berputarnya lingkaran politik pada masa sekarang...

P&C....mungkin di lain masa dan di lain medan...