Monday, August 11, 2008

C.E.L.A.K.A

C.E.L.A.KA

SEORANG rakan aku mengajak untuk menyertai persatuan. Khabarnya persatuan itu begitu eksklusif. Ahlinya by invitation. Namun, dia tak jelaskan secara terperinci. Namun, dia menyatakan nama persatuan itu: C.E.L.A.K.A . Katanya, aktiviti Celaka sungguh menarik. Ahlinya tak akan boring. Jiwa mati akan hidup kembali. Menarik juga untuk ditinjau untung rugi menyertainya. Manalah tahu persatuan itu menjadikan diri sentiasa hidup. Dalam kemodenan ini, kadang-kala jiwa mati. Mati kerana jiwa dihidangkan dengan hal-hal intelektual. Sedang, diri holistik.

Thursday, August 7, 2008

ANU ANWAR

DALAM pengamatan sesungut secara lahiriah, mustahil seorang yang bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa dalam kes meliwat Saiful Bukhari.

Beliau seorang alim dan pernah membaca khutbah.

Beliau seorang yang kelihatan bersih dari dosa.

Jika Anwar dia tidak buat, tetapi sesungut turut mengesani bukan sahaja perkara lahiriah, tetapi perkara yang tidak kelihatan: Anu.

Sesungut tidak pasti Anu Anwar melakukan atau tidak.

Pagi tadi beliau telah didakwa dan petangnya hujan turun di Kuala Lumpur, menyirami jerubu yang semakin merebak, seperti simbolik kepada rahmatnya Malaysia.

Harapnya keadilan akan diterima oleh kedua-dua pihak, dan kebenaran terbukti, seperti berseminya jerubu di Kuala Lumpur apabila hujan meluruhkan airnya.

Walaupun kelihatan seperti kurang adil kerana sesungut tidak berapa faham undang-undang kerana sesiapa yang didakwa meliwat selalunya tidak dibebaskan sesuka hati, tetapi dalam kes ini, mungkin pihak mahkamah lebih mengetahuinya.

Selain itu, demi keadilan kepada kedua-dua pihak, Saiful juga perlu dibekalkan beberapa peguam pemerhati yang handal, yang boleh memberi keadilan kepada pihaknya kerana OKT (orang kena tuduh) mempunyai tujuh barisan peguam yang handal yang diketuai Sulaiman Abdullah.

Sesungut berharap ada peguam sukarela yang handal seperti Cristopher Fernando atau mungkin Tun Salleh Abbas dapat membantu, sekurang-kurangnya melihat dari sedut keadilan kepada Saiful. Dan, mungkin Saiful tidak mempunyai sumber kekuatan kewangan, harapan sesungut dan mungkin rakyat Malaysia, Tun Salleh dapat memberi khidmat percuma demi keadilan.

Jika tidak akan kelihatan keadilan hanya kepada Anwar kerana beliau mungkin mempunyai sumber kewangan yang lebih yang membolehkan beliau mengupah banyak peguam handal dalam negara.

Sesungut juga sudi mencadangkan supaya Saiful yang ingin melafazkan sumpah dengan al-quran dilakukan di hadapan bekas imam masjid negara, Ustaz Taib Azimuddin yang dikatakan pernah mendengar pengakuan ikhlas dari mangsa liwat.

Sekurang-kurangnya bagi orang Melayu dapat sedikit kelegaan dengan keberanian beliau melafazkan sumpah berkenaan.

Saturday, April 26, 2008

Pilihan Pak Lah, Anwar dan Mahathir

APAKAH yang Pak Lah tawarkan kepada rakyat dari segi pemerintahannya?

Mahathir memerintah negara ini dalam tempoh 22 tahun. Generasi muda tidak mengenali Abdullah. Mereka biasa dengan iklim yang dibina Mahathir. Regim Mahathir menguasai segala-galanya - diurus dan ditadbir secara autokratik. Yang bijak ialah Mahathir. Yang tahu mengurus negara ialah Mahathir. Yang menentang adalah musuh Mahathir, musuh negara dan patut dikurung dalam ISA. Dan, memang Mahathir bijak, visionary.

Apabila diserahkan kuasa kepada Abdullah pada Oktober 2003, Abdullah mengikut regim Mahathir. Semua legasi Mahathir sedaya mungkin cuba dikekalkan. UMNO yang menjadi tulang belakag hasil peninggalan Mahathir. Yang penuh dengan rasuah, sehingga pada hari-hari terakhir Mahathir, beliau sendiri menangis dan tak tahu cara mengatasi wabak rasuah dalam UMNO. Ketua Bahagian menjadi kaya serta merta. Ketua Bahagian/Ketua Pemuda bahagian dan cawangan menjadi orang tengah kepada projek kerajaan seperti membuat sekolah, membuat bangunan dan betapa banyaknya yang menjadi kontraktor. Di belakangnya si bermata sepet. Kekayaannya mendapat 5 atau 10% hasil projek. Atau, mengambil projek perniagaan yang tak bersiko. Ada juga yang dengan mudahnya mengambil ubat dari Cuba, dan kemudiannya semua hospital diwajibkan mengambil hepetitis B daripada dia yang menjadi orang tengah. Kemudian, dengan bangganya bercakap mengenai ketelusan dan demokrasi dan menghentam orang UMNO lain yang mengaut kekayaan dengan cara hampir serupa. Inilah regim Mahathir.

Begitu juga Anwar. Beliau dengan bangganya bercakap mengenai demokrasi dan kebebasan media. Sedangkan, ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, bukan sedikit cengkamannya terhadap media. Beliau meletakkan Nazri Abdullah di Berita Harian; Kadir Jasin di NST, Khalid Ahmad di TV3 dan Johan Jaafar di Utusan. Begitulah juga penguasaan kekayaan ketika menjadi Menteri Kewangan. Bagaimana Ghafar Baba dikalahkan, kalau tidak dengan kekuatan kewangan dan beliau juga berjaya menawan Sabah. Tidak sedikit rakan-rakannya menjadi kaya serta merta.

Demokrasi cara Anwar tidak jauh bezanya dengan cara Mahathir. Autokratik.

Jika di zaman pemerintahan Mahathir, hampir tidak ada yang berani bersuara, apa lagi meminta letak jawatan. Apabila beliau menang hanya 43 undi dengan Tunku Razaleigh dalam pemilihan UMNO, tidak ada orang UMNO yang berani meminta beliau meletak jawatan - walaupun petanda jelas UMNO menolak beliau.

Jika ada pembangkang yang kelihatan begitu berani mengkritik beliau, Operasi Lalang dikenakan - hingga rakyat menjadi penakut.

Beliau juga dengan begitu berani mengkritik Tunku Abdul Rahman dan meminta beliau melepaskan jawatan ketika berlaku 13 Mei 1969. Langkah sama yang diikuti anaknya dengan menulis surat kepada ketua jawatan UMNO supaya Pak Lah meletak jawatan.

Atas 'dosa-dosa' itu, agaknya beliau kini mahukan rakyat kembali bebas. Berani bercakap. Berani bersuara.

Rakyat telah memberi petanda jelas menolak Mahathir pada 1999 dan 2004, dengan memberi sokongan penuh kepada Abdullah.

Abdullah menerima mandat itu pada 2004, dan beliau masih mengikuti cara regim Mahathir. Namun, Pak Lah juga mempunyai fikiran sendiri. Beliau mahukan rakyat bebas daripada cengkapan rasa takut dan memilih sendiri cara hidup. Rakyat yang kurang biasa dengan cara itu, tetapi terbiasa dengan cara preskripsi seperti regim Mahathir, tidak dapat menerima cara Pak Lah.

Rakyat mempunyai pilihan - mahu kekal dengan cara autokratik dan menyerahkan segala-gala keputusan di buat oleh Mahathir atau cara sama yang akan dibuat oleh Anwar, atau membiasakan diri dengan cara demokrasi - memberi kebabasan kepada rakyat untuk menetukan sendiri cara hidup. Cara ini sukar tetapi dalam masa panjang, ianya akan memberi kekuatan psikologi kepada rakyat, seperti berlaku di kalangan masyarakat eropah yang menghayati demokrasi.

Lihat cara Abdullah, seperti tertulis dalam satu blog yang saya pinjamnya:

"Prime Minister Abdullah Badawi is moving at the speed of light to save himself by introducing radical reforms never seen before under the UMNO led coalition.

With radical changes he hopes to endear the people and the oppositions to him.This sudden change of heart although may be seen as flippant by some people could actually restore Abdullah's lost credibility.Within a span of one week he has announced three glistering changes.At the end of last week he feted former Lord President Tun Salleh Abas and the other sacked judges at a dinner hosted by the Bar Council where he, short of an apology, announced ex-gratia payment to Tun Salleh Abas and all the judges who had been wrongfully dismissed by the previous administration. He also promised the setting up of a judicial appointment commission but with him still having the last say if he finds the recommedation unacceptable. He was given a standing ovation for the speech he delivered that evening.

Another small surprise announced through his Home Minister Syed Hamid Albar was the granting of permit for PKR's own party's paper.Although not a permit for main stream and full-fledged newspaper it is a good start towards more freedom of expression.Whether his government would give a permit for a full-pledged newspaper to the oppositions is any body's guess. The oppositions should give it a try and see whether his giving more freedom of expression is sincere and extend to a full-blown media for the oppositions."

Pak Lah menawarkan ideologi demokrasi dalam erti kata sebenar. Mahathir bercakap demokrasi dalam acuan beliau. Anwar juga bercakap demokrasi dalam acuan Amerika, bukan mengambil roh demokrasi untuk rakyat menghayatinya. Begitu juga cara Najib.

Memang nampak Havoc apabila Pak Lah membuka tirai yang tertutup 22 tahun. Rakyat juga terkejut. Apakah mungkin ada seorang lawyer yang tolong buat written judgement kepada Hakim? Apakah ada pemimpin yang berani emndedahkan keburukan rasuah polis? Bolehkah kita mencari seorang yang berani mendedahkan keburukan UMNO dengan memalukan Isa Samad, sedangkan dalam pemerintahan lain mungkin kes ini di cover up.

Friday, April 25, 2008

HANTU, HISTERIA DAN PENJELASAN SAINTIFIK

APABILA tidak ada penjelasan yang memuaskan hati, maka muncullah pelbagai andaian. Di sini kerab kali berlaku pelajar atau orang yang tiba-tiba mengamuk, kadangkala yang suara perempuan yang lemah lembut menjadi garau, kadangkala yang lembut tetapi menjadi segagah lelaki.

Lalu, penjelasan orang Melayu, mereka dirasuk hantu atau dimasuki makhluk lain, apatah lagi kawasan Sintok ini jauh daripada tamadun. Sintok juga berada di lembah. Dikelilingi bukit dan hutan. Serentak itu, perniagaan bomoh menjadi laku.

Begitulah yang berlaku dua tiga hari lalu di sini. Orang ramai panik. Bomoh dipanggil. Lalu, mangsa sembuh dan masyarakat anggap bomohlah yang menjadi doktornya.

Guru aku minggu lalu memberi penjelasan. Katanya, buku-buku dan litrature memang banyak menjelaskan mengenai histeria. Tidak perlu dikaitkan dengan hantu atau mahluk halus. Hantu atau mahluk halus, jika adapun, dia berada dialam lain. Hantu memang tidak ada. Hantu diadakan untuk menakutkan kanak-kanak dan orang dewasa dan ia dicipta supaya bomoh dihormati. Bukan aku tidak mahu menghormati bomoh, tetapi pada aku, ini satu penipuan kepada masyarakat dan minda saintifik. Kita yang tidak baca dan tidak mahu memahaminya.

Penjelasan guru aku begini: setiap benda yang bergerak itu mempunyai tenaga. Tenaga itu tidak boleh dihapus tetapi ianya boleh transform kepada tenaga lain. Ambil contoh cerek air tertutup apabila dipanaskan. Tenaga air itu akan bertukar menjadi wap. Apabila wap itu tidak dapat keluar, dia akan terus mencari outlet untuk membolehkan ianya release. Dalam pencarian outlet itu, ia akan mencari tempat yang paling lemah. Katakan besi cerek itu tidak kuat di hujung kiri, maka ianya akan pecah di situ. Ketika pecah itu, kita tak tahu apa akan berlaku. Mungkin bunyinya seperti bom. Mungkin bunyinya perlahan sahaja bergantung kepada beberapa faktor. Kekuatan besi secara keseluruhan. Lama, tenaga wab itu bertahan. Berapa banyak tenaga api disalurkan.

Mereka yang terkena histeria juga begitu. Mereka sebenarnya menerima tekanan, amount of pressure, - mungkin daripada pensyarah, mungkin daripada family, mungkin daripada bos bagi yang sudah bekerja, mungkin daripada kawan-kawan, mungkin kombinasi beberapa tekanan dan himpunan tekanan. Outletnya tidak dijumpai sehinggalah kepada suatu hari - ianya meletup. Boom. Tiba-tiba ianya meraung seperti seorang yang tidak sedarkan diri. Mangsa selalunya sedang melepaskan tekanan itu. Oleh itu, histeria bukan hantu atau makhluk halus yang memasukinya, tetapi tekanan itu sedang menemui outletnya. Mereka boleh dikatakan berpenyakit psikologi. Tidak perlu bawa ke bomoh. Mereka perlu dibawa kepada psikiatri atau sekurang-kurangnya kaunselor, untuk membabaskan tekanan itu secara bertamadun. Begitu juga dengan seorang lelaki yang mula-mula baligh. Mereka mencari outletnya...dan outletnya dijelmakan dalam mimpi. Begitulah agaknya agama mahukan umatnya berpuasa, menahan diri daripada lapar dan dahaga kerana makanan memberi tenaga, untuk membolehkan tenaga itu dikawal dan diurus. Begitulah juga dengan cara orang dulu-dulu yang batuk berdarah, mereka menggunakan alasan dibuat orang, supaya masyarakat bersimpati, sedangkan dianya berpenyakit TB, kerana banyak menghisab tembakau. Orang yang terkena histeria juga begitu. Jika mereka meraung-raung dia dikatakan gila atau berpenyakit, sedangkan jika dikatakan dirasuk hantu, maka dia seperti tidak bersalah, tetapi hantu itulah yang bersalah. Dia akan mendapat simpati masyarakat. Dalam terminologi bapa psikologi, Freud, tindakan begini merupakan defence mechanism.

Jika ada sesiapa yang percaya hantu, elok dia menghantarkan ke rumah aku, kerana aku mahu hantu itu membasuh dan menggosok pakaian aku - pekerjaan yang antara paling aku benci!

WARNA-WARNI KAMPUS

SEJAK bergraduat aku tidak pernah rasa kosong. Aku rasakan seperti masa kampus dulu. Happy-go-lucky. Setiap masa terisi. Jauh sekali terasa hidup ini boring. Begitu juga ketika berada di Sintok ini, begitu banyak keindahan. Jika ada pelajar yang bergraduat dan tidak menikmati keindahan Sintok ini, terasa ruginya.

Petang tadi aku membawa dua caddie, tentunya bukan lelaki, untuk memberi peluang menikmati padang golf UUM. Tentunya bukan mudah untuk mereka dapat merasai kehijauan padang dan rumput terurus di Sintok ini, dengan tasik yang Damai. Belum pernah aku melihat ada kura-kura di tasik di lubang 4, tetatpi hari ini tiba-tiba muncul - barangkali untuk melihat kami bermain golf. Kera-kera memang banyak. Ada yang biasa. Ada yang nampak educated kerana seperti memakai cermin mata.

Tujuan catatan ini untuk memberikan gambaran betapa indahnya kehidupan di kampus. Dua caddie atau dikenali sebagai 'D' ini juga cukup akrab dengan aku. Minggu lalu juga aku dan hausemate ke Kuala Perlis untuk menikmati ikan terubuk bakar. Walaupun aku dah membuat ketetapan tidak akan membawa keluar makan pelajar undergraduate, tetapi kerana seorang darinya sudah menjadi pelajar tahun akhir, aku membuat keputusan untuk ke Kuala Perlis, tempat favorite kami jika mahu celebrate sesuatu. Dalam masa sama aku mahukan pelajar UUM mempunyai perspektif yang luas, 'helicopter view' dan tidak terperangkap dalam dualisme hitam atau putih semata-mata. Banyak grey area yang tidak kurang istimewanya. Ketika bersembang-sembang secara informal biasanya akan membuka tirai kehidupan, apa lagi jika ada teman yang kita tidak ada sebarang kepentingan. Dengan `D', aku mahupun hausemate aku tidak ada apa-apa kepentingan.

Kepada 'D' yang mahu meninggalkan universiti ini, aku berharap nostalgia di sini akan mengikat dia dengan UUM. Ikatan dengan ilmu tidaklah sekukuh dengan ingatan terhadap sesuatu yang eksklusif - mungkin tidak ada pelajar lain yang berpeluang untuk menjadi caddie!

Thursday, April 3, 2008

SESUNGUT KEMBALI AKTIF

APABILA kacau bilau politik 1998/99, sesungut juga sama seperti orang lain. Mencari-cari jawapan. Mendengar semua pendapat. Menghalusi pendirian yang mahu diambil. Mencari stand.

Sebaik sahaja mengambil stand, tidak lagi meratap tangis, tidak lagi terikut dengan suara majoriti. Kebenaran tidak semesti memihak kepada majoriti. Golongan majoriti umpama kelkatu, dimana cahaya, mereka akan berkerumum, walaupun yang dituju itu bukan kebenaran. Bukan cahaya sebenar. Majoriti cenderung bergerak berdasarkan emosi.

Semua orang menyalahkan Perdana Menteri ketika itu. Perdana Menteri dipandang hodoh oleh masyarakat. Hampir majoriti tidak dapat menerima. Majoriti tidak mendapat maklumat. Atau, majoriti tidak berpuas hati dengan maklumat.

Ketika itu sesungut turut berada dalam dunia kewartawanan. Wartawan juga begitu. Mereka juga sebahagian majoriti. Mereka juga terikut-ikut dengan majoriti, membenci Perdana Menteri.

Dalam `bulan terkejut' itu sesungut juga bersama-sama dengan mereka. Juga terkejut. Walaupun indikasi awal itu sudah hampir ada beberapa bulan sebelum kejadian pemecatan, namun semua terkejut. Tahun 1999 merupakan sejarah baru dalam lanskap politik Malaysia, sebelum memasuki alaf ke-21.

Maka, ketika sedang pekena teh tarik selepas waktu bekerja atau dalam waktu bekerja, sesungut pertahankan negara. Dan, waktu itu menjawab segala-gala tohmahan kepada Perdana Menteri, biarpun keseorangan. Mungkin rakan-rakan wartawan lain melihat dalam satu sudut, tetapi sesungut juga mengesan sudut-sudut lain, khususnya dari segi kesihatan negara.

Semalam, seorang rakan seperti biasa, akan sms atau call menyatakan masalah politik semasa. Dan, turut menyatakan kebencian kepada Perdana Menteri. Mahu menggantikan Perdana Menteri. Tiba-tiba dia terkejut, sesungut menjawab akan memberikan sokongan, bantuan dan apa cara sumbangan yang boleh diberikan untuk Perdana Menteri.

"Apa sebab tiba-tiba berubah?" tanyanya.

Sesungut jawab, kita tidak boleh selama-lamanya meratap hiba. Kita pernah menjadi operator negara. Sebagai operator, kita bekerja. Dalam bekerja, ada program yang berjaya dan kita meraikan kejayaan, dan ada ketikanya kita gagal, maka kita cari jalan penyelesaian. Tugas operator bekerja dan memperhalus pekerjaan supaya mencapai misi.

Meratap hiba tidak membawa ke mana-mana!

Meruntuhkan institusi sedia ada juga memberi implikasi yang belum tentu lebih baik, maka sesungut mengambil pendirian untuk terus mempertahankan institusi sedia ada.

Seperti kata guru sesungut, Frederich Perls: the past is no more, the future is not yet, we just have here and now.

Monday, March 31, 2008

DAMAI ABADI

SUDAH lama rasanya tidak menulis. Mungkin memburu `damai abadi'. Namun, ianya makin sirna. Cuacanya malap. Tidak nampak pada penglihatan mata. Yang ada pasca 8 Mac 2008, bukan damai abadi tapi kacau abadi. Yang sepatutnya insaf, belum insaf. Yang sepatutnya bertaubat, tidak bertaubat. Jadilah, kacau abadi agung. Menunggu hadirnya kiamat.
Oleh sebab tidak munculnya damai abadi, maka semua bertanya-tanya. Semua saling menyalah antara satu sama lain. Keadaan makin kacau. Keputusan tidak bijak bermaharajela. Banyak orang nampak. Pembuat keputusan tidak nampak.
Dan, apakah pendirian untuk kacau abadi seperti ini?
Sesungut belum menjumpai antenanya.....

Tuesday, January 29, 2008

ANAK MUDA BERFIKIR KIRI

MINGGU lalu, dalam satu pertemuan dengan dua tiga anak muda dan seorang pemegang Ph.D yang begitu obsess dengan cara berfikir kiri. Aku sendiri kurang fasih berfikir kiri. Aku meminati cara berfikir berasaskan fakta dan data, atau dalam istilah sekarang: saintifik.

Namun, untuk memahami fikiran mereka, aku cuba meneroka satu dua artikel dalam internet. Memang aku pernah mengetahui mengenai cara dialektika materialisme, yang memang asas kepada cara berfikir Karl Mark, Lenin dan Moe Tse Tung. Aku tidak begitu fasih dengan ahli falsafah Jerman, Hegal.

Dalam meneliti satu dua artikel itu, aku temui makna dialektika materialisme. Materialisme itu merujuk kepada sesuatu realiti yang difahami itu kerana `matter' bukannya idea. Matter itulah realiti. Idea atau fikiran bukan realiti. Perbezaannya boleh difahami apabila dikontraskan dengan cara pemikiran `bentuk' oleh Plato. Kerana bagi Plato, sesuatu realiti di alam ini adanya realiti di alam lain yang lebih ideal. Lawan kepada materialisme ialah idealisme. Jika aku salah, mungkin rakan-rakan yang berfikir kiri itu boleh memberi responsnya.

Dalam laman web, marxis penerangannya lagi mudah.

Dialektika pula merujuk kepada beberapa hukum dalam melihat sesuatu. Ianya melebihi cara saintifik. A tidak semstinya sama dengan A setiap masa. Misalnya, Saintis Scandinavia Linnaeus mengkategorikan ilmu biologi dengan lengkap berdasarkan spesis tumbuhan dan haiwan sehingga ilmu sains semacam lengkap. Namun, apabila direnungi lebih mendalam menggunakan dialektika, mungkin ada kelemahan Linnaeus. Contohnya, Darwin mendapati dalam satu spesies burung itu, ada darjah yang berbeza-beza. Paruh burung ciak berbeza-beza berdasarkan geografi, iklim dan sebagainya.

Begitu juga the law of the transformation of quantity into quality.

Namun, jika dihuraikannya ia menjadi panjang. Aku mahukan rakan-rakan kiri untuk menjelaskan betapa aliran kiri ini menarik untuk anak-anak muda - bukan hanya menjadi pemuja Che Guevara tanpa fahami falsafahnya.

Wednesday, October 31, 2007

Tidak Adilnya Orang Cina Dalam Perniagaan

SUDAH menjadi takdir orang Cina pandai berniaga. Orang Melayu malas. Seolah-olah kenyataan itu tidak boleh diubah. Kebanyakan lot-lot kedai sama ada di Kuala Lumpur atau di Gua Musang, dimiliki oleh kaum bermata sepet.

Minggu lalu, aku mengikuti seminar anjuran GABEM Kedah di Darul Aman Golf Resort, dan seorang penceramah yang mengikuti perkembangan perniagaan menyatakan mengapa orang Cina boleh maju, khususnya dalam perniagaan runcit:

"Mereka bukan sahaja mendapat untung daripada perbezaan di antara belian dan jualan sebagaimana orang Melayu dapat, tetapi mereka turut mendapat untung daripada pemborong daripada kaum sama.

"Peniaga Cina mendapat diskaun, rebet dan ara pembayaran hutang yang fleksibel, berbanding dengan orang Melayu. Rata-rata rangkaian pemborong dimiliki oleh kaum Cina.

"Kebanyakan kedai runcit Melayu dalam kajian kami boleh survive dalam tempoh tiga hingga lima bulan sahaja," katanya.

Jika kenyataan ini benar, maka sudah berlaku ketidak adilan dalam sistem ekonomi negara, dan undang-undang antitrust atau kaedah menghalang monopsoni atau seumpamanya perlu dibuat, supaya persiangan perniagaan yang adil dan saksama diwujudkan.

Begitu juga dalam bidang lain seperti bengkel kereta.

Apakah tidak ada orang Melayu yang pandai dalam bidang ini. Ini kerana orang Melayu sekurang-kurangnya memasuki IKM atau ILP untuk belajar bidang automotif, sedangkan banyak kaum Cina hanya belajar seara tidak formal di bengkel-bengkel kereta. Kebanyakan mereka juga hanyalah lulusan PMR atau paling tinggi SPM.

Pernah satu ketika aku berkunjung ke rumah seorang kawan di Taman Saujana, Kajang dan rumahnya bocor. Apabila dipanggil pembaiki rumahnya, dua orang Cina menaiki motosikal dan terus membaiki atap rumah itu dalam 15 minit. Kemudian, pembaiki rumah itu mengenakan caj sebanyak RM300.

Satu lagi peristiwa. Seorang rakan aku membuka kedai beras di Sungai Petani. Dia mendapatkan bekalan beras yang agak murah dari BERNAS lalu menjualnya secara peruncitan dan sesetengahnya dihantar terus ke kedai-kedai sekitar Sungai Petani. Pertanian kerja tradisi orang Melayu, apalagi penanaman padi. Perniagaannya maju. Sampai satu ketika, tidak sampai dua tahun perniagaannya, kedai-kedai runit Cina menurunkan harga berasnya. Lalu, untuk mengelak pelanggan lari, kawan aku turut menurunkan harga berasnya. Peniaga runcit Cina menurunkan lagi sehingga ke satu tahap, jika dia menurunkan juga, dia akan rugi. Akhirnya, perniagaannya ditutup. Enam bulan kemudian, kedai-kedai runcit Cina itu menaikkan semula harga berasnya.

Apakah perniagaan dan persaingan seperti ini dihalalkan di Malaysia yang dulunya nama Tanah Melayu?

Seorang kontraktor kelas F di Perlis menceritakan beliau mendapat satu projek daripada kerajaan untuk memperbaiki parit. Oleh sebab kontraktor kelas F tidak mempunyai jentera penggali, maka mahu disewanya di sebuah kedai Cina (kebanyakan orang Melayu tidak ada yang memiliki jentera seumpama itu). Tiba-tiba tauke Cina itu kata, jentera sekarang ini sehingga dua bulan tidak ada. Jika mahukan juga maka harganya sedikit mahal kerana perlu membawanya dari Negeri Sembilan. Oleh sebab mahu menjaga reputasi sebagai kontraktor dengan agensi kerajaan, maka terpaksa disewanya juga, walaupun harganya dua kali ganda. Sebahagian besar keuntungannya berpindah kepada orang Cina berkenaan. Bagaimana keadaannya jika projek kerajaan turut diberikan secara terus kepada orang Cina?

Banyak cerita-cerita sedih seperti ini berlaku di sepanjang perjalanan hidup aku. Aku percaya tentu ada orang Cina yang jujur dalam perniagaannya. Dalam khazanah cerita yang aku ada, kebanyakan peniaga Cina lebih banyak mendapat kelebihan, menyebabkan seolah-olah 'ditakdirkan' orang Melayu tidak pandai berniaga.

Saturday, October 27, 2007

MENCARI TUHAN DI PERKEBUNAN

TIBA-TIBA seorang rakanku (dulu dia guruku) yang dua tahun bersara daripada perkhidmatannya menelefon. Oleh sebab lama tak berjumpa dan berbual-bual, hanya berkirim sms pada hari-tertentu sahaja seperti Aidilfitri, maka tentulah aku bertanya, apa yang dibuatnya sekarang?.

"Saya mencari Tuhan di perkebunan. Sambil menanam pokok bunga melor, saya juga menanam durian belanda," katanya.

Mengenai tanaman, kami berbicara mengenai pertanian keseluruhan dan langkah kerajaan dalam membantu meningkatkan hasil pendapatan para tani.

"Jika Menteri dan Perdana Menteri begitu komited dalam meningkatkan sektor pertanian dengan harapan menjadi enjin ketiga pertumbuhan ekonomi, maka langkah itu tidak akan terlaksana, melainkan menteri dan Perdana Menteri mesti turun padang," katanya yang sedikit kecewa dengan apa yang berlaku di Jabatan Pertanian kawasan tanah yang baru dibelinya seluas enam hektar di utara Selangor.

"Mereka ingin menawarkan khidmat dari segi baja dan sebagainya. Tetapi apabila kami memohon, pegawai pertanian kata, ianya akan diproses dan dijangka dalam masa dua hingga tahun, barulah baja itu boleh diberikan," ujar pegawai pertanian berkenaan.

Rakanku itu terkejut kerana dalam dua tahun, tentulah pelbagai perkara boleh berlaku dan baja itu juga sudah tidak releven lagi. Apa yang pegawai pertanian buat?

"Ada juga sekali sekala mereka datang menjengok kami dan mengambil gambar tanaman kami, dan apabila ditanya untuk apa, mereka katakan jika pegawai atasan datang, maka gambar itu untuk menunjukkan kami bekerja dan mengadakan lawatan secara berkala.

"Rupanya pegawai-pegawai pertanian bekerja untuk menunjukkan mereka bekerja, bukan untuk membantu petani dan peladang yang memerlukan bantuan mereka.

"Saya melihat ada traktor di jabatan pertanian dan sebagai pemilik tanah yang ingin mengusahakan tanah berkenaan, tentulah traktor sangat diperlukan untuk menggemburkan tanah. Tetapi apabila ditanya perkhidmatan itu, mereka jawab:

"Traktor itu tidak pernah digunakanpun. Malah, tidak ada sesiapapun di jabatannya yang tahu mengendalikan traktor berkenaan. Kerajaan yang berikan traktor berkenaan, bukan jabatan meminta," keluh rakan saya tu yang pernah berkhidmat lebih 25 tahun sebagai pegawai kerajaan di sebuah universiti di Lembah Klang.

Lebih satu jam kami berbicara melalui telefon dan aku mendengar dengan teliti keluhannya. Tidaklah sukar untuk membayangkan kekecewaanya dengan pegawai pertanian yang bertindak seperti itu. Malah, sikap seperti itu seperti tipikal. Dasar menjadikan pertanian sebagai enjin ketiga selepas perindustiran dan perkhidmatan, pada aku, tidak akan menemui banyak manfaatnya kepada petani, jika pegawai pertanian bersikap tidak endah.

Revolusi cara bekerja di akar umbi perlu diselia dengan rapi dan serius supaya semua bekerja. Jika Menteri dan Perdana Menteri bercakap diawangan, seperti sang helang yang hanya berlegar-legar di angkasa, maka tikus-tikus di bawah akan menari-nari.

Kami meneruskan bicara kami kepada usaha menemui tuha n di perkenbunan.

"Ini mungkin makmal saya terakhir untuk melihat, menyaksi dan mengerti kehadiran Tuhan, kerana hidup ini tidak ubah seperti sebuah makmal. Makmal saya mungkin di perkebunan - melihat bukit-bukau dan indahnya daun, bunga dan buah-buahan wujud daripada tiada. Tiada kepada ada.

"Jika Hamzah Fansuri berkata, dia tidak menemui tuhan di Barat atau ditimur tetapi tuhan ada dalam bajunya, maka maknanya ialah kehadiran Tuhan dalam makmal Hamzah Fansuri itu hadir. yang tidak jelas dalam kehidupan biasa menjadi jelas dalam makmal yang diperhatikan.

"Jika perkebunan ini makmal saya, tuan juga mempunyai makmal di UUM. Kejujuran dan tanggungjawab tuan kepada tuhan, hanyalah tuhan yang mengetahui.

"Memang benar, dalam hubungan sesama manusia, manusia lain akan mengetahui ikhlas, bertanggungjawab dan jenis sikap yang ada, dan hubungan dengan tuhan, hanya tuhan mengetahui dan kita` bertanggung untuk menjawab' kepada-Nya, semata," katanya.

Malam itu, aku merenung panjang kata-kata rakanku itu. Namun, sebelum aku lelapkan mata, aku smskan padanya begini:

"Jika kehidupan kita kini dalam sebuah makmal, yang ternyata Dia dah mengetahui, tanpa perlukan eksperimen, maka makmal itu untuk kita nikmatinya. KITA merasa kesannya. Kita juga bertanggungjawab atas nikmat dan azab.

"Dari satu perspektif, Dia kelihatan zalim menghidangkan azab, sedang dia mampu untuk jadikan semua nikmat.

"Idealnya, dan dia dikatakan terideal, justeru tak wajar melihat wujudnya azab dan diakhirnya disediakan neraka," katanya.

end.

Monday, October 8, 2007

PERGINYA SEORANG KAWAN KE SOUTH CORALINA, USA

SEORANG rakan akrabku terpilih mengikuti kursus intensif bahasa Inggeris ke South Coralina, USA. Ketika kita menyambut aidilfitri, beliau yang langsung tak pernah ke luar negara, akan terbang ke sana, esok, 9 Oktober.

Bayangkan seorang anak kampung yang belajar di UUM. Bekerja di UUM. Bersekolah di Changlun dan tak pernah menaiki belon (kapal terbang), kecuali sekali dua apabila bertugas di UUM. Dan, beliau akan terbang jauh. Meninggalkan kegembiraan raya. Meninggalkan ibu bapa, yang tak pernah ditinggalkan seumur hidupnya. Beliau anak tunggal.

UUM, dalam rangka menghebatkan kakitangan berbahasa Inggeris, memilih rakan karibku ini untuk mengikuti kursus intensif bahasa Inggeris ‘English Programme For Internationals (EPI) di University of South Carolina (USA) Colombia. Beliau menjadi perintis kepada pegawai di UUM yang akan mengikuti program selama dua bulan yang bermula 14 Oktober ini dan berakhir 14 Disember depan.

Aku menulis ini kerana beliau seorang rakan karibku, sangat akrab. Dua tahun lalu, ketika aku mula menjejaki kaki ke UUM, juga pada bulan puasa, tidak ada orang lain yang memperkenalkan aku dengan UUM, melainkan beliau. Beliaulah orang yang mencari rumah sewa kepadaku. Beliaulah yang selalu membela dan membantuku. Beliaulah orang yang selalu bersamaku ketika itu. Sehingga ada rakan-rakan lain menyatakan aku sedang bercinta dengannya. Namun, aku tahu perasaanku 'beku'. Dan, aku tahu beliau juga tidaklah menyimpan rasa cinta kepadaku. Kami hanyalah kawan biasa dan kebetulan beliau seorang perempuan. Rupanya lelaki tidak boleh terlalu akrab dengan perempuan. Mudah timbul fitnah. Oleh sebab fitnah semakin melebar, aku mengambil keputusan untuk tidak dilihat bersama-samanya lagi. Diapun tidak tahu mengapa aku membuat keputusan itu. Perubahan tiba-tiba aku lakukan. Pada mulanya beliau juga tidak dapat menerima keputusan itu. Aku mengurus perubahan itu dengan meminta seorang rakanku, juga perempuan, untuk mengambil alih hubungan aku dengannya. Mungkin saja rakanku itu tidak dapat menerima perubahan aku tidak lagi bersamanya kerana dia tidak mempunyai ramai kawan. Kawan sebaik aku. Sebelumnya kami `share' ilmu dan pengalaman, sehingga menjadi terlalu akrab. Kadang-kala beliau menuduh aku dah `terlalu kuat' sehingga tidak perlu lagi bantuannya. Sebenarnya tidak. Aku membuat keputusan bagi meraikan pandangan masyarakat, dan mengelak fitnah masyarakat. Lagipun aku berasa bersalah jika anggapan tidak benar berada dalam fikiran masyarakat. Kata seorang kawanku lain, kita bukan sahaja perlu bersih, tetapi mempernampakkan bersih.

Bagaimanapun, aku masih ingati kebaikan beliau kepadaku. Seumur hidupku mungkin tidak akan jumpa orang lain yang membantuku sebegitu rupa. Malah, masih ramai kawan-kawanku lain tidak sekurang-kurangnya menngkritik beliau di hadapan, kerana ramai tahu aku akan membelanya. Aku akan mempertahankan selagi aku ada data dan fakta.

Aku doakan beliau akan ke USA dengan selamat. Pulang dengan kemampuan bahasa Inggeris yang mantap. Menjadi pengembara sesuatu yang mulia. Dalam bacaan aku terhadap biografi atau sejarah hidup orang yang berjaya, banyak bergantung kepada seseorang yang mengalami ruang pengembaraan atau penghijrahan. Ali Syariati, seorang cendekiawan muslim Iran, mengakui hijrah adalah prasyarat kejayaan. Katanya, muslim awal yang berhijarah itulah yang membawa kejayaan kepada umat Islam keseluruhan. Bangsa maju yang bertempat di banyak negara Eropah, Amerika Syarikat, Australia kerana penghijrahan telah berlaku. Jiwa penghijrah berbeza dengan jiwa seorang yang hanya berada di satu tempat sahaja. Pengalaman dan keberanian penghijrah berbeza. Mereka gemar melakukan eksperimen. Mereka gemar kepada perubahan kepada status-quo. Mereka tidak takut risiko walaupun akui risiko berada di mana-mana. Risiko juga satu realiti.

Untuk itu, aku yakin, rakan karibku ini akan menjadi manusia besar suatu hari nanti. Bukan tubuhnya yang bertambah kilogram, tetapi aku harapkan, jiwanya akan bertambah hebat, berani dan mampu berfikir dalam ruang pemikiran yang bertaraf warga dunia. Bukan jaguh kampung, yang hanya boleh hidup di Changlun atau Sintok semata-mata.

Keluarlah, berhijrahlah kerana masa depan menjanjikan kejayaan kepada mereka yang sanggup berusaha. Dan, Tuhan tidak pernah memejam matanya kepada mereka yang ikhlas.

Friday, October 5, 2007

BUMI MANUSIA YANG MENGHIBAKAN

BUMI MANUSIA (1)

TIDAK pernah membangkitkan rasa benci begitu tinggi kepada manusia yang diistilahkan sebagai penjajah dalam sejarah hidupku, melainkan selepas selesainya membaca novel pertama, Bumi Manusia dalam tetralogi (empat jilid) karya Pramoedya Ananta Toer.

Memang sebelum inipun aku pernah diusulkan membaca novelnya. Tatapi kesempatan masa dan peluang belum ada. Tarasa tersangat tertinggal mengapa tidak aku membacanya sejak dari dulu, ketika Pram masih lagi hidup di dunia ini. Aku mengkagumi begitu tinggi sekarang.

Sudah lama aku meninggalkan novel tulisan sasterawan nusantara kerana kurang beberapa novel yang aku membacanya tidak membangkitkan rasa seni yang tinggi - seperti yang berjaya dibuat Pramoedya, walaupun sebagai orang yang berminat dalam bidang journalism, aku juga pernah membaca novel Hujan Pagi, karya Sasterawana Negara, A Samad Said. Berbanding Pak Samad, Pramoedya mempunyai kekuatan dari segi melukiskan suasana kemasyarakat ketika dijajah dengan bahasa yang mudah. Kedua-duanya berjaya dari segi memaksa untuk aku menyudahi membacanya tanpa henti. Kelebihan Pak samad, beliau berjaya melunakkan bahasa menjadi begitu halus dan lembut membelai rasa romantik. Pram mampu menggunakan bahasa yang agak keras dan berjaya, pada aku, membangkitkan rasa suka, benci, marah dan rindu. Namun, berlainan dengan novelis Inggeris, Pram nampaknya kaku dalam melukiskan adegan seks, atau gagal membangkitkan rasa ghairah pembaca ketika sekali-sekala membicarakan perkara itu. Bukan aku mahukan novel seks, tetapi jika Pram berjaya membangkitkan rasa patriotik diriku, rasa suka, benci, cinta, rindu, marah, rasa bijaksana, kemanusiaan dan tentunya juga aku harapkan juga beliau berjaya membangkitkan rasa ghairah, paling tidak mewarnakan daya khayalan. Yang ada terlalu sedikit....hanya menjadi 'binatang purba'. Bukankah ini juga terangkum dalam kemanusiaan.

Mari aku ringkaskan sedikit ceritanya.

Pramoedya mengarang novelnya ini ketika ditahan pemerintah Indonesia di Pulau Buru. Dalam keempat-empat jilid novelnya ini, beliau mengambil zaman 1890 hingga 1918, zaman kebangkitan semangat revolusi Indonesia menentang Belanda. Ketiga-tiga novel lain itu, aku belum membacanya, dan berharap Ramadhan ini aku dapat mengkhatamkan kesemuanya, seperti mana ulama muryid menghabiskan al-Quran ketika bulan mulia ini. Aku akan memasuki membaca novel keduanya bertajuk Anak Semua Bangsa, dan akan aku tulis kesannya yang aku rasai. Untuk kali ini kerana baru sahaja aku menghabiskan novel Bumi Manusia, akan aku ringkaskan sedikit.

Protagonisnya Minke. Minke adalah seorang pribumi Indonesia terpelajar. Seorang anak Jawa. Digambarkan seperti seorang kelas menengah. Beliau memasuki sekolah Belanda atau disebut H.B.S iaitu sekolah untuk golongan elit . Kesannya Minke fasih bertutur dan menulis Belanda dengan baik. Lokasi ceritanya: Surabaya. Kemudian diperkenalkan kepada satu keluarga kelas tinggi di Wonokromo, Surabaya. Keluarga itu mempunyai perusahaan/perniagaan yang sangat besar dan mempunyai beratus-ratus pekerja. Perusahaan itu dimiliki oleh Mellema, seorang Belanda. Tuan Mellema membeli seorang anak gadis Jawa bernama Saneken untuk hidup bersamanya dan dalam novel berkenaan dibiasakan sebagai Nyai Ontosoroh. Nyai ini bererti gundik. Dalam 'perkahwinan' itu, pasangan berkenaan dikurniakan dua cahaya mata, Robert Melema dan Annelies Mallema. Budaya waktu itu mengizinkan perbudakan. Inilah penjajahan. Nyai Onsororoh merupakan seorang yang gigih, kuat semangat dan gadis luar biasa, sehingga mampu mempelajari bahasa Belanda dengan `suaminya' dengan cepat dan fasih dalam perniagaan sehingga suaminya memberikan Nyai untuk menguruskan segala-galanya. 'Suaminya' itu kemudiannya menjadi hampir tidak keruan apabila anak sebenarnya dari Belanda datang mengugut dan memaharahi bapa kandungnya kerana meninggalkan isteri sebenarnya di Belanda. Ketidak ketentuan itu menjerumuskan suaminya dalam dunia pelacuran dan pemabukan. Pelacuran dilukiskan berleluasa yang dikendalikan oleh tauke-tauke Cina. Akhirnya, beliau tidak mempedulikan lagi keluarganya di sini, di Indonesia hinggakan Nyai sendiri sudah hapus rasa hormat pada `suaminya'.

Puteri Nyai dilukiskan sebagai seorang gadis cantik. Dalam usia kira-kira kurang 18 tahun. Tersangat cantik. Tapi, tidak pernah bergaul dengan orang kebanyakan. Kali pertama berjumpa Minke, Annelies sudah terpaut sayangnya. Begitu juga Minke. Bercintalah mereka berdua. Sehingga membawa kepada perkahwinan, dan diceritakan perkahwinan itupun berlaku selepas kedua-duanya pernah bertindak seperti `binatang purba' di atas ranjang.

Tragisnya apabila Tuan Mallema mati, dan bagaimana kedudukan Nyai dan anak-anaknya kerana hubungan mereka bukan melalui perkahwinan yang sah di sisi undang-undang Belanda. Segala perundangan memihak kepada Belanda, bukan kepada peribumi. Undang-undang menetapkan segala harta mesti dipulangkan kembali kepada keluarga sebenar Mallema. Sehinggakan isteri Minke, Annelis juga terpaksa dibawa pulang ke Belanda kerana perkahwinan itu dianggap tidak sah disisi undang-undang Belanda kerana Annelies berkahwin di bawah umur. lalu, Mahkamah menetapkan beliau mesti dihantar pulang ke Belanda, dan diletakkan di bawah jagaan anak sebenar tuan Mallema.

Tentunya ringkasan ini gagal membangkitkan rasa, kerana seseorang itu perlu membaca karya asli ini , lagipun aku bukanlah novelis dan mampu menulis karya sastera.

Wednesday, October 3, 2007

SEBUAH KEPUTUSAN

Sebuah Keputusan

Mestikah dilepaskan rasa gundah ini
Jauh di hujung sejarah penuh luka berdarah
Kerana hari-hari semakin hampir
Walau diri menjadi kecil
Kepada sebuah keputusan.

Menjalarnya bagai bocornya bisa racun
Menyerap sedikit demi sedikit rasa gembira
Dan sejarah itu tak terpadam
Kuatnya seperti tulisan di Loh Mahfuz
Dan keputusan menjadi pasti.

Realiti tidak seindah khayali
Penuh tangan ghaib tak terkawal
Ruang dan waktu membisik rasa gundah
Hadir tanpa diajak berunding
Dan keputusan belum menemui kewarasan.

Keputusan bukan sebuah mukjizat
Bagi orang biasa ada dosa
Walau hari semalam sudah berlalu
Dan masa depan belum pasti
Kerana hari ini kita bernafas.

Gundah sebuah warna kehidupan
Gembira sebentuk rasa ciptaan
Ditengahnya sebuah keputusan.






Patahnya Sesungut
10.47 malam
Sintok, Kedah.

DUALISME DALAM SISTEM MAHKAMAH

BARU-BARU ini seorang rakan saya dalam sms membangkitkan cita-cita luhurnya untuk memantapkan mahkamah syariah di negara ini. Kawan saya itu seorang pelajar law UUM. Beliau bercita-cita menjadi Prof Ahmad Ibrahim. Sebagai seorang kawan, dan orangnya pun cantik, saya memuji cita-cita murni itu dan doakan semoga berjaya.

Namun, saya juga ada pandangan berbeza.

Pada saya, kewujudan mahkamah syariah menjana kepada sukularisme dalam tata kenegaraan. Mana mungkin begitu, tanya kawan saya.

Saya mengambil contoh mudah yang kita saksikan dalam alam kenegaraan kita di Malaysia. Seorang Cina lelaki berkhalwat dengan seorang wanita Melayu (tentu beragama Islam dalam Perlembagaan Malaysia), dan ditangkap. Kedua-dua dihadapkan ke Mahkamah syariah. Apa keputusan mahkamah? Lelaki itu dibebaskan dan gadis Islam itu akan didenda atau dipenjarakan.

Mahkamah adalah lambang keadilan di planet bumi ini, dan adakah ini adil ?

Kata kawan saya, lelaki Cina itu kafir. Mana mungkin dia diadili dalam mahkamah syariah kerana ini isu agama? Saya kata, apakah agama Buddha, kepercayaan Congfucius, Loe Tze atau Zen Buddism menghalalkan khalwat?

Lalu, saya mencadangkan dualisme mahkamah ini tidak praktikal. Sebaiknya unitary. Gabungkan sahaja undang-undang dalam satu sistem di bawah perlembagaan dan mereka yang nak mencari keadilan, haruslah merujuk kepada satu mahkamah. Jika keadilan tidak diperolehi di Mahkamah Majistret (kes jenayah atau antara individu melawan negara) atau sivil (kes antara individu) bolehlah mereka merujuk kepada mahkamah rayuan sehinggalah ke peringkat Mahkamah Persekutuan (the Palace of Justice di Putrajaya). Mestilah kita akui mencari kemaksuman dalam undang-undang juga mustahil kerana waima di Mahkamah Persekutuan juga dua tiga hakim bersidang dan keputusan dipihakkan kepada majoriti. Jika ada kes penceraian, katakan, bolehlah merujuk kepada mahkamah sivil. Lagipun, negara kita, negara Islam, maka mahkamah keseluruhan itu adalah Islam - bagi mereka yang berminat dengan bermain istilah Islam!. Mewujudkan satu mahkamah khusus Islam (mahkamah syariah) seolah-olah mengkafirkan mahkamah yang tidak bernama Islam. Jika ada isu yang tak boleh diselesaikan kerana tidak ada peruntukan undang-undang, maka gubal atau pinda undang-undang sedia ada. Jika nakkan juga mahkamah syariah, maka saya cadangkan ianya mestilah unitary, iaitu Syariah juga merangkumi sivil dan jenayah. Semua undang-undang Barat, common law, diletakkan dalam payung ini juga. Asasnya keadilan.

Tidak ada undang-undang dalam mana-mana dunia, mana-mana zaman, yang statik.

Apakah yang saya maksudkan menjana sekularisme? Sekularisme ialah pemisahan sesuatu yang sepatutnya ada penyatuan, seperti mana pemisahan selepas abad pertengahan di eropah apabila gereja dan politik diasingkan. Inilah trend yang semakin menjadi berleluasa di negara ini sekarang walhal Eropah telah membebaskan diri mereka sudah lama dalam dilema ini. Antaranya, politik Islam dan politik yang....; Sains Islam vs Sains Sekular; Dunia vs akhirat; sekolah kebangsaan vs sekolah agama rakyat (SAR) dan banyak lagi.

Saya mengharapkan pelajar-pelajar law dalam usia muda inilah yang akan memikir dan mewarnakan negara, tidak semestinya terikut-ikut dengan status-quo semasa dan tidak berani mencabar the old wisdom.

Tuesday, September 18, 2007

Antara Syariat, Hakikat dan Atheis

SEBOLEH mungkin aku mengharamkan diriku untuk menulis sesuatu yang ada nada agama atau feqah. Bukan tidak berminat. Aku tidak mahu ianya menjadi kontroversi, yang kesudahannya dalam masyarakat berfikiran primitif seperti masyarakat Melayu, akan mengecop aku sebagai seorang 'terpesong akidah'.

Mukadimah ini membawa kepada satu pengalaman. Kebetulan minggu awal puasa ini, biologi tubuh aku berbeza. Psikologi diri juga turut berubah. Tidur mudah terganggu. Perasaan juga mudah cepat marah. Rasional juga mudah teruji. Lalu, seorang rakan serumahku meminjam sebuah novel klasik, Atheis tajuknya. Karya Achdiat K Mihardja. Novel ini khabarnya pernah menjadi teks wajib pelajar mengambil STPM. Oleh sebab aku mengikuti aliran Matrikulasi Sains Fizik, tidak pernah aku bertemu dengan novel sebegini dan bukanlah peminat tegar novel. Budak sains, dimomokkan, bukan seorang yang meminati sastera. Walhal, aku sendiri tidak pernah mensekularkan antara sains dan sastera, seperti juga tidak mensekularkan agama dan politik dan sains. Seperti pernah ditulis Paul Goodman dalam karyanya Growing Up Ubsurd, selagi sesuatu menyentuh isu 'human nature' maka pemisahan antara sains, antropologi, sosiologi, politik atau ekonomi tidak ada pemisahan. Ini kerana selagi manusia ingin mengetahui manusia dan kemanusiaan, maka segala antenanya boleh digerakkan ke arah itu.
Berbalik kepada novel, Atheis, protaganisnya ialah Hasan (ini setakat halaman 24 aku membacanya. Jika tersalah akanku membaikinya kemudian). Ianya novel dalam sebuah novel. Maksudnya, cerita awalnya Hasan memberikan karyanya untuk dibaca kekasihnya, Kartini. Hasan ialah seorang `pencari'. Pencari naif terhadap kebenaran. Beliau bukanlah ahli fikir atau penyelidik radikal (hal.6) yang mempu melihat secara akar umbi dengan bukti saintifik terhadap kebenaran dan kepercayaan di depan matanya. Kepercayaan agamanya begitu tradisionalis, pengikut totok kepada kebanaran warisan. Maksudnya, ibu bapa mempengaruhi kuat terhadap kepercayaan dan menyuntik (indoktrinasi) agama. Beliau diperkenalkan dengan tarikat (aliran Sheikh Abdul kadir Jailani) (Hal.20). Memang mudah sahaja aku mengidentifikasikan dengan diri sendiri, kerana Sheikh Abdul kadir memang terkenal dalam alam Melayu termasuk berlambak-lambak bukunya di kedai-kedai penjual buku agama.

Sesiapa yang terlalu berasa boring dengan hanya syariat, seperti juga diri aku, mudah sahaja untuk bergerak ke satu lagi wilayah, iaitu tarikat untuk mengetahui dan mengalami makrifat dan hakikat. Malah, dalam buku Ateis itu (hal. 11) dianalogikan dengan begitu menarik sekali, perbezaan di antara syariat, tarikat dan makrifat. Syariat itu diibaratkan sebagai kapal, manakala tenaga dan pedoman untuk mendayung kapal dan menyelam ke dasar untuk mengambil mutiara (makrifat dan hakikat) adalah tarikat. Hasan begitu kagum dan terus mengamalkan tarikat, melalui guru dan merasai terapung-apung dalam ketinggian, sehingga terasa olehnya `kerendahan' pengamal syariat totok.

Aku sendiri mendapat kesan yang menarik. Aku rasa rakan-rakan yang pernah membacanya juga mengalami perasaan yang mungkin sama, kerana kita barangkali sama-sama dibesarkan seperti Hasan, pernah ditakut-takutkan betapa neraka itu ada air yang mendidik, dan api menjulang bersedia membakar pendosa-pendosa.
Agaknya, malam ini sehingga bersahur, aku akan terus membaca novel ini sehingga kepenyudahnya.

Sudilah kiranya rakan-rakan yang membaca novel ini berkongsi pandangan dan pengalaman.