MASIH teringat cebisan sajak Kassim ketika membaca karyanya dulu-dulu. Nadanya begini:
Perlu satu-satunya dihitungkan kembali,
Hari ini kita dewasa
Mungkin esok dah terlalu lewat
Kerana kiamat yang ditangguhkan.
.........................
KE PALING KOMPLEKS
Oleh: Kassim Ahmad
Darul_hikmah33@yahoo.com.my
16 Jun, 2011
1. Takrif kebenaran
“Apakah kebenaran?” tanya Pilate.
Lalu Quran melontarkan jawapannya: “Pada hari itu ... mereka akan tahu bahwa Tuhan – Dia itulah Kebenaran Yang Nyata.”
Dalam esei ini, saya akan mengkaji masalah kebenaran dari pelbagai aspek, dan pada pelbagai tahap. Tidak syak lagi, ini suatu kerja yang amat payah. Kebenaran bukan saja wujud pada tahap terendah – sesuatu perkataan dan ayat, tetapi juga pada tahap tertinggi – tahap sains dan falsafah. Ayat suci yang saya petik di atas nyata pengertian kebenaran pada tahap tertinggi
Dalam pada itu, kebenaran dari pelbagai aspek dan pada pelbagai tahap itu kait-mengait antara satu dengan lain dalam satu kesatuan yang berasaskan kepada kesatuan Tuhan Yang Esa dan juga kesatuan Alam Raya.
Kebenaran bermakna persamaan ilmu atau pengetahuan dengan realiti atau wujud. Ambil makna perkataan ‘esei’. Saya ingin mendefinasikannya: “Sebuah karangan bersifat seni tersusun rapi dari segi logika, bermula dari permulaan dan berakhir pada kesudahannya.” Definasi ini mesti selaras atau sama dengan apa terdapat pada halaman-halamn esei yang tertulis itu.
Lebih mudah, ambil perkataan ‘putih’. Ia merujuk kepada realiti warna putih. Demikian dengan semua perkataan dan semua ayat. Ambil ayat: “Tidak diketahui siapa pengarang buku klasik Sejarah Melayu”: ia merujuk kepada hakikat atau realiti bahawa karangan klasik Melayu masyhur itu tidak diketahui siapa pengarangnya.
Di atas, contoh-contoh mudah yang tidak memerlukan huraian. Kita katakan mereka merujuk kepada fakta-fakta yang dengan sendirinya jelas. Tetapi, kita akan melihat contoh-contoh yang memerlukan huraian yang panjang, kerana mereka tidak jelas dengan sendirinya. Contoh ayat suci yang telah saya petik di atas (“Tuhan – Dia itulah Kebenaran yang Nyata.”) satu contoh yang tentunya paling sukar untuk dihuraikan. Pertama, kerana Tuhan itu tersembunyi. Kita hanya tahu sifat-sifat Dia melalui kitab suci al-Quran. Huraian-hurain yang telah ditulis oleh ahli-falsafah zaman dulu dan moden banyak dan berbeza-beza pula!
2. Manusia perlu berani mendepani masalahnya
Inilah kesukaran permasalahan ini. Saya coba untuk menghuraikan, kerana saya percaya tiap masalah kita harus berani kita hadapi berdepan. Tidak terbilang banyaknya tragedi dan kerosakan yang telah dilalui oleh masyarakat manusia dalam masa lima ribu tahun tamadun dari tamudun pertama Mesopotamia hingga ke tamadun moden kini, kerana kita takut dan mengelak menghadapi kebenaran berdepan!
Ambil contoh umat Islam pada zaman Nabi Muhammad. Beliau membawa kitab suci al-Quran kepada bangsa Arab Abad ke-7 dan, melalui bangsa Arab, kepada dunia. Seperti yang kita tahu, al-Quran kitab suci Tuhan yang akhir kepada manusia. Ia “mensahkan dan mengatasi” semua kitab suci lain, malah semua ilmu sebelum dan selepasnya.
Quran memberi amaran bahawa bangsa Arab akan mengabaikannya. Jika cerdik-pandai Arab pada waktu itu memberi perhatian berat kepada amaran ini serta mengelaknya, amaran ini akan memberi manfaat kepada generasi-generasi kemudian. Malangnya, amaran ini gagal didepani dengan berani, maka penyelewengan-penyelewengan berlaku. Banyak hadis palsu timbul. Musuh-musuh Islam menggunakan nama besar Nabi Muhammad untuk memesongkan mereka dari jalan lurus yang Tuhan ajarkan kepada mereka. Melalui institusi Hadis, Nabi Muhammad telah didewa-dewakan, berlawan dengan ajaran belaiu, dan ini akhirnya membawa kepada kejatuhan umat Islam.
Kita melihat banyak contoh umat-umat lain -- Yahudia, Kristian, Hindu, Bhuddist - yang percaya dan menyembah banyak Tuhan, sedangkan mereka semuanya dikirim nabi dan rasul yang mengajar mereka ajaran Tuhan yang sama, iaitu: “Tiada tuhan melainkan Tuhan Yang Esa. Sembahlah Dia saja.” Contoh Nabi Isa suatu contoh yang baik bagaimana beliau ditukar menjadi anak Tuhan dalam satu doktrin Tritunggal oleh yang dibuat oleh Paul setelah beliau mati. Semua masyarakat agama yang menyembah banyak tuhan, seperti Hindu, melalui proses pemerosotan konsep Tuhan Yang Esa yang asal. Malah umat Islam sendiri, dengan pendewaan mereka terhadap Nabi Muhammad dan terhadap pemimpin-pemimpin agama, tidak terkecuali daripada proses ini.
Hal ini telah diterangkan dalam al-Quran. Kebanyakan manusia, tegas al-Quran, tidak beriman. Dalam pada itu, tegas al-Quran lagi, kebanyakan yang beriman tidak beriman tanpa menyengutukan Tuhan! Ini tidak bermakna Tuhan telah menetukan perkara-perkara ini. Jika masyarakat menjadikan ayat-ayat suci ini sebagai amaran yang perlu dielak, maka perkara-perkara itu tidak akan terjadi. Perkara-perkara buruk ini terjadi, kerana tarikan kejiawaan manusia yang rendah (nafs’ul-amarah). Jika kita mendengar semua pendapat dan ikut yang paling baik, seperti yang diajar kepada kita oleh Quran, kita tidak akan jatuh ke lubuk syirik itu!
3. Realiti itu minda
Saya menulis esei ini dalam bahasa Melayu, kerana saya ingin membuktikan bahawa bahasa Melayu juga boleh mengendalikan konsep-konsep abstrak, seperti bahasa Inggeris. Perhatikan masalah bahasa juga tidak dapat dipisahkan dari masalah kebenaran. Ilmu itu tersimpan dalam bahasa. Bahasa-bahasa ilmu yang masyhur termasuk bahasa-bahasa Yunani, Latin (Romawi) (zaman pra-sains), dan Arab dan Inggeris (zaman moden). Contoh-contoh yang telah saya berikan di atas boleh diberikan juga dalam bahasa-bahasa lain. Bahasa pula hasil perkembangan otak dan kesedaraan manusia. Makhluk-makhluk lain, seperti logam, pokok dan binatang, tidak punya kebolehan berbahasa dan berfikir. Jadi, kebenaran itu refleksi realiti dalam minda atau kesedaran manusia. Sabjektiviti dan objektiviti itu kait-mengait antara satu sama lain, tidak boleh dipsahkan, dan malah sama!
Bayangkan apa yang sedang saya katakan ini! Alam Raya yang tidak terkira besarnya yang mengelilingi kita dari semua sudut – timur-barat, utara-selatan, kiri-kanan, atas-bawah itu -- tidak lain dari fikiran, Minda Mutlak failasuf Jerman, Hegel!
Minda manusia itu tidak lain dari Alam Semula Jadi pada peringkat tertinggi! Alam Semula Jadi berkembang melalui suatu evolusi yang lama dari peringkat terendah, tidak bernyawa – logam --, kepada peringkat bernyawa -- pokok dan binatang -- meningkat lagi kepada Homo sapiens, manusia (dalam istilah Quran, khalifah) satu juta tahun dulu. Masyarakat manusia mencipta tamadun pertama di Mesopotamia 5,000 tahun dulu. Sekarang kita berada pada zaman Kampung Sejagat dan akan terus meningkat, menghuni angkasa lepas, dari peringkat ke peringkat sehingga – lama lagi – tenaga dalam Alam Raya habis dan Alam Raya akan runtuh dan hancur, meninggalkan Wajah Tuhan saja, * yang kekal abadi, tiada permulaan dan kesudahan!
4. Pelbagai jenis kebenaran
Ringkasnya, kebenaran itu ada yang bersifat mudah dan ada yang bersifat kompleks, seperti yang telah kita lihat. Pada masa yang sama, ada kebenaran yang bersifat mutlak dan universal; ada yang bersifat relatif dan dikandung sejarah. Umpamanya, Tuhan itu kebenaran yang bersifat mutlak dan universal. Ia tidak dikandung masa dan ruang. Ia wujud diluar ruang dan masa dan dalam suatu sekarang yang serentak, kalau kita boleh banyangkan keadaan itu! Tetapi seorang individu, seperti Nabi Muhammad atau Einstein, itu kebenaran yang relatif. Nabi Muhammad dan Einstein itu tergolong ke dalam makhluk yang kita namakan manusia. Katogari manusia ini kebenaran yang lebih kompleks tetapi masih relatif kepada kategori makhluk-makhluk lain. Begitu juga dengan tamadun tua Yunani. Ia wujud dalam satu zaman, dan tidak wujud lagi sekarang, kecuali sebagai suatu warisan.
Saya akan petik sekarang ayat-ayat suci lain yang memperkatakan kebenaran yang lebih kompleks. Perhatikan:-
(a) “Katakanlah, ‘Kebenaran telah datang dan kepalsuan hapus. Pastilah kepalsuan itu senantiasa akan hapus.’” (17: 81)
(b) “... Kami jadikan semua yang hidup dari air...” (21: 30)
(c) “Dialah Yang Awal dan Yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin ...” (57: 3)
Ayat-ayat (a) dan (b) bersifat sains dan juga falsafah. Kita kena mengkaji sains dan falsafah untuk memahami ayat-ayat ini. Ayat (b) bersifat sains. Ilmu sains akan memberitahu kita bahawa ayat itu benar. Banyak sekali ayat Quran tergolong ke dalam kedua-dua kategori ini. Ayat-ayat ini berhubung dengan kejadian alam dan kejadian manusia. Inilah sebabnya Quran menyatkan ia “mengatasi” semua kitab-kitab suci dulu serta mengandungi jauh lebih banyak ilmu dari yang terkandung dalam kitab-kitab suci dulu. Inilah yang menyebabkan ramai cerdik-pandai Barat memasuki Islam.
5. Ketahanan tamadun Barat
Tamadun Islam bertahan selama enam abad, dikira dari Abad ke-8 hingga Abad ke-13. Tamadun Barat, sebenarnya tamadun moden, telah bertahan selama tujuh abad, dikira dari Abad ke-14 hingga sekarang. Satu soalan besar harus kita jawab. Dari ayat suci 4 (a) di atas, kita tahu bahawa kepalsuan tidak boleh bertahan lama. Lambat-laun ia akan hapus, dan digantikan oleh kebenaran. Mengapa doktrin Trituggal yang palsu, rekaan Paul, boleh bertahan selama hampir 17 abad di Barat Kristian?
Pertama, kita harus ingat bahawa negara Kristian Eropah telah melalui suatu reformasi gerejanya apabila banyak negara Eropah bertukar dari mazhab Katolik ke mazhab Protestant. Kedua, Barat itu termasuk republik Amerika Syarikat yang telah ditubuhkan oleh orang-orang Eropah yang lari dari penindasan Gereja untuk membangunkan sebuah kehidupan bebas yang baru. Ketiga, Revolusi Amerika suatu peristiwa baru dalm sejarah manusia dengan misi mencari kebebasan di bawah suatu kepercayaan kepada Tuhan. Ini menjadikan doktrin Trituggal tiada bermakna apa-apa. Sebenarnya, ini tidak lain daripada manifestasi ajaran Tuhan yang asal kepada semua masyarakat, seperti yang diterangkan dalam Quran.
Robert Briffault, dalam bukunya, The Making of Humanity, menyebut tiga jenis fikiran, iaitu (a) fikiran rasional, (b) fikiran adat, dan (c) fikiran kuasa. Doktrin Tritunggal tergolong ke dalam (c) dan (b). Mula-mula ia dipaksakan melalui kuasa Gereja dan Negara; setelah itu, ia menjadi (b), fikiran yang dipegang sebagai suatu adat yang diwarisi turun-temurun. Apabila sampai masanya, fikiran palsu ini akan terdedah sebagai pembohongan, dan kebenaran (fikiran rasional) akan muncul. Saya tidak ragu sedikit pun bahawa perkara ini akan berlaku tidak lama lagi.
Demikian juga bagi penyelewengan-penyelewengan dalam Islam sendiri. Perpecahan kepada mazhab, dan munculnya Hadis sebagai suatu kuasa setaraf dengan Quran – kedua-dua ini bercanggah dengan ajaran Quran yang dibawa oleh Muhammad. Koreksi terhadap penyelewengan-penyelewengan ini pasti akan berlaku tidak lama lagi, selaras dengan apa yang terkandung dalam ayat suci dalam 4 (a) di atas.
6. Kebenaran Quran terjamin
Berbeza dengan kitab-kitan suci lain, Quran dipelihara oleh Tuhan Sendiri dari korupsi manusia. Ini dilakukan melalui suatu kaedah metamatik yang hebat, yang dikenali sebagai Kod 19. Perkara ini telah dikaji dan dibuktikan kebenaranya oleh seorang sarjana Perancis. Namun demikian, sarjana-sarjana Islam klasik telah membekukan pengertian Quran dengan menyatakan bahawa tafsiran mereka muktamad! Inilah kesilapan mereka yang besar. Ia tidak lain daripada suatu pendewaan terhadap sarjana-sarjana itu – satu kesilapan syirik! Generasi sekarang perlu merungkai kesilapan ini dengan meletakkan keseluruhan tafsiran mereka di bawah kritikan saintifik. Ini saja yang boleh membebaskan umat Islam dari penjara yang telah mereka bina sendiri.
7. Masalah epistemologi dan keterbatasan kaedah empiris
Bagaimana kita mengetahui? Ini masalah epistemologi. Lengkap dan sempurnanya Quran terbukti dari hal ini. Quran menyebut perkara yang penting ini secara bersahaja. Frasa-frasa ain’ul-yaqin (kesaksian deria),ilm’ul-yaqin (kesaksian logika) dan haqqa’al-yaqin (kesaksian langsung) merujuk kepada ilmu ini. Perkara ini langsung tidak disentuh dalam tafsir klasik. Malah Imam Ghazzali sendiri menafikan kesaksian pertama dan kedua atas alasan kedua-duanya tidak memberi pengetahuan yang sebenar.
Ambil contoh sebuah pena. Kita menyaksikan kewujudan pena itu melalu pancaindera kita, lalu kita mengatakan: “Ini sebuah pena.” Kemudian, kita membuat pertanyaan kedua: “Pena ini dibuat oleh seorang tukang atau dalam sebuah kilang,” walaupun kita tidak melihat perkara itu. Ini kesaksian logika atau ilmu. Akhir sekali, kita bertanya: “Dari bahan apa pena itu dibuat? Dari mana datangnya tukang atau kilang itu?” Jawapannya: “Dari bumi atau dunia.” Jawapan ini tidak lengkap, kerana dunia itu dijadikan juga. Jawapan yang sebenar: “Tuhan atau Wujud Wajib.” Digabungkan ketiga-tiga kesaksian ini maka kita dapat sebuah epistemologi yang lengkap. Demikianlah kita mengetahui.
Tidak syak lagi, manusia tidak boleh mengetahui semuanya sekaligus. Pengetahuannya datang berperingkat-peringkat, seperti semestinya. Apa yang perlu mereka lakukan itu menyemak semula warisan serta membuat tafsiran baru terhadap Quran. Ini kerana warisan dari generasi dulu perlu dinilai semula dan tafsiran terhadap Quran perlu diperbaharui untuk mengambil manfaat dari perkembangan ilmu.
8. Dua perspektif
Tiap perkara ada dua perspektif: kandungan sejarah, dan universal. Demikianlah ajaran Quran. Ada ajaran yang terikat kepada sejarah; ada ajaran yang terbuka dan bersifat universal. Umpamanya, hukum potong tangan bagi pencuri itu hukuman yang terikat kepada sejarah. Hukuman universal prinsipnya dua saja: kesaksamaan, dan ihsan. Sekali lagi, para peguam klasik gagal melihat dan memahami hal ini. Maka itu timbul kesilapan besar yang mendakwa konon ada hukuman tetap, iaitu hukuman hudud! Perkataan ‘hudud’ berlaku 14 kali dalam Quran dan tiada satu pun perkataan itu merujuk kepada hukuman! Mereka semuanya merujuk kepada konsep ‘sempadan’ yang abstrak – satu konsep jalan pertengahan.
Dalam hal kewujudan realiti ini, saya ingin menyebut teori Lembaga Plato. Mengikut teori ini, bentuk universal itu tidak wujud. Semua benda wujud sebagai suatu manifestasi Lembaga yang hanya wujud sebagai suatu andaian semata-mata. Lembaga ini didakwa statik dan tidak berubah. Tetapi sains dan falsafah moden sudah menemui hakikat bahawa realiti itu suatu proses yang bergerak dari satu tesis kepada lawannya sintesis lalu mencapai harmoni dalam satu sentisis, yang kemudian menjadi tesis lagi, dan demikianlah seterusnya – suatu proses evolusi yang tidak berhenti-henti.
9. Dengan semua pendapat, ikut yang paling baik
Pengajaran kepada kita semua dari kesilapan-kesilapan yang telah dibuat oleh tokoh-tokoh dari generasi-generasi dulu, yang telah saya sebut di atas: “Jangan sekali-sekali bertqlid kepada mereka. Mereka manusia dan boleh melakukan kesilapan. Generasi-generasi kemudian harus menilai semula warisan-warisan yang mereka tinggalkan kepada kita.” Ini selaras dengan arahan Tuhan dalam Quran: “Dengar semua pendapat. Ikut yang paling baik.” Lagipun, kita juga disuruh “menyeru kepada kebaikan dan melarang kejahatan”. Ini arahan Tuhan yang tetap kepada kita. Jika ini kita lakukan, semua kesilapan dapat diperbetulkan, dan kebenaran dapat kita capai.
----------------------
Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com
No comments:
Post a Comment