BUMI MANUSIA (1)
TIDAK pernah membangkitkan rasa benci begitu tinggi kepada manusia yang diistilahkan sebagai penjajah dalam sejarah hidupku, melainkan selepas selesainya membaca novel pertama, Bumi Manusia dalam tetralogi (empat jilid) karya Pramoedya Ananta Toer.
Memang sebelum inipun aku pernah diusulkan membaca novelnya. Tatapi kesempatan masa dan peluang belum ada. Tarasa tersangat tertinggal mengapa tidak aku membacanya sejak dari dulu, ketika Pram masih lagi hidup di dunia ini. Aku mengkagumi begitu tinggi sekarang.
Sudah lama aku meninggalkan novel tulisan sasterawan nusantara kerana kurang beberapa novel yang aku membacanya tidak membangkitkan rasa seni yang tinggi - seperti yang berjaya dibuat Pramoedya, walaupun sebagai orang yang berminat dalam bidang journalism, aku juga pernah membaca novel Hujan Pagi, karya Sasterawana Negara, A Samad Said. Berbanding Pak Samad, Pramoedya mempunyai kekuatan dari segi melukiskan suasana kemasyarakat ketika dijajah dengan bahasa yang mudah. Kedua-duanya berjaya dari segi memaksa untuk aku menyudahi membacanya tanpa henti. Kelebihan Pak samad, beliau berjaya melunakkan bahasa menjadi begitu halus dan lembut membelai rasa romantik. Pram mampu menggunakan bahasa yang agak keras dan berjaya, pada aku, membangkitkan rasa suka, benci, marah dan rindu. Namun, berlainan dengan novelis Inggeris, Pram nampaknya kaku dalam melukiskan adegan seks, atau gagal membangkitkan rasa ghairah pembaca ketika sekali-sekala membicarakan perkara itu. Bukan aku mahukan novel seks, tetapi jika Pram berjaya membangkitkan rasa patriotik diriku, rasa suka, benci, cinta, rindu, marah, rasa bijaksana, kemanusiaan dan tentunya juga aku harapkan juga beliau berjaya membangkitkan rasa ghairah, paling tidak mewarnakan daya khayalan. Yang ada terlalu sedikit....hanya menjadi 'binatang purba'. Bukankah ini juga terangkum dalam kemanusiaan.
Mari aku ringkaskan sedikit ceritanya.
Pramoedya mengarang novelnya ini ketika ditahan pemerintah Indonesia di Pulau Buru. Dalam keempat-empat jilid novelnya ini, beliau mengambil zaman 1890 hingga 1918, zaman kebangkitan semangat revolusi Indonesia menentang Belanda. Ketiga-tiga novel lain itu, aku belum membacanya, dan berharap Ramadhan ini aku dapat mengkhatamkan kesemuanya, seperti mana ulama muryid menghabiskan al-Quran ketika bulan mulia ini. Aku akan memasuki membaca novel keduanya bertajuk Anak Semua Bangsa, dan akan aku tulis kesannya yang aku rasai. Untuk kali ini kerana baru sahaja aku menghabiskan novel Bumi Manusia, akan aku ringkaskan sedikit.
Protagonisnya Minke. Minke adalah seorang pribumi Indonesia terpelajar. Seorang anak Jawa. Digambarkan seperti seorang kelas menengah. Beliau memasuki sekolah Belanda atau disebut H.B.S iaitu sekolah untuk golongan elit . Kesannya Minke fasih bertutur dan menulis Belanda dengan baik. Lokasi ceritanya: Surabaya. Kemudian diperkenalkan kepada satu keluarga kelas tinggi di Wonokromo, Surabaya. Keluarga itu mempunyai perusahaan/perniagaan yang sangat besar dan mempunyai beratus-ratus pekerja. Perusahaan itu dimiliki oleh Mellema, seorang Belanda. Tuan Mellema membeli seorang anak gadis Jawa bernama Saneken untuk hidup bersamanya dan dalam novel berkenaan dibiasakan sebagai Nyai Ontosoroh. Nyai ini bererti gundik. Dalam 'perkahwinan' itu, pasangan berkenaan dikurniakan dua cahaya mata, Robert Melema dan Annelies Mallema. Budaya waktu itu mengizinkan perbudakan. Inilah penjajahan. Nyai Onsororoh merupakan seorang yang gigih, kuat semangat dan gadis luar biasa, sehingga mampu mempelajari bahasa Belanda dengan `suaminya' dengan cepat dan fasih dalam perniagaan sehingga suaminya memberikan Nyai untuk menguruskan segala-galanya. 'Suaminya' itu kemudiannya menjadi hampir tidak keruan apabila anak sebenarnya dari Belanda datang mengugut dan memaharahi bapa kandungnya kerana meninggalkan isteri sebenarnya di Belanda. Ketidak ketentuan itu menjerumuskan suaminya dalam dunia pelacuran dan pemabukan. Pelacuran dilukiskan berleluasa yang dikendalikan oleh tauke-tauke Cina. Akhirnya, beliau tidak mempedulikan lagi keluarganya di sini, di Indonesia hinggakan Nyai sendiri sudah hapus rasa hormat pada `suaminya'.
Puteri Nyai dilukiskan sebagai seorang gadis cantik. Dalam usia kira-kira kurang 18 tahun. Tersangat cantik. Tapi, tidak pernah bergaul dengan orang kebanyakan. Kali pertama berjumpa Minke, Annelies sudah terpaut sayangnya. Begitu juga Minke. Bercintalah mereka berdua. Sehingga membawa kepada perkahwinan, dan diceritakan perkahwinan itupun berlaku selepas kedua-duanya pernah bertindak seperti `binatang purba' di atas ranjang.
Tragisnya apabila Tuan Mallema mati, dan bagaimana kedudukan Nyai dan anak-anaknya kerana hubungan mereka bukan melalui perkahwinan yang sah di sisi undang-undang Belanda. Segala perundangan memihak kepada Belanda, bukan kepada peribumi. Undang-undang menetapkan segala harta mesti dipulangkan kembali kepada keluarga sebenar Mallema. Sehinggakan isteri Minke, Annelis juga terpaksa dibawa pulang ke Belanda kerana perkahwinan itu dianggap tidak sah disisi undang-undang Belanda kerana Annelies berkahwin di bawah umur. lalu, Mahkamah menetapkan beliau mesti dihantar pulang ke Belanda, dan diletakkan di bawah jagaan anak sebenar tuan Mallema.
Tentunya ringkasan ini gagal membangkitkan rasa, kerana seseorang itu perlu membaca karya asli ini , lagipun aku bukanlah novelis dan mampu menulis karya sastera.
1 comment:
elok kita bicara sedikit tentang pram sendiri. Di kalangan sasterawan Indonesia, pandangan terhadapnya berpecah2 disebabkan latar ideologi yang dikatakan tidak sealiran. Oleh Mukhtar Lubis dan Achdiat, beliau dianggap terang-terang mewakili aliran kiri, komunis terutama waktu pertempuran ideologi sengit antara kumpulan Manifesto Kebudayaan (Mokhtar ) dan Lembaga Kebudayaan Rakyat (Lekra-Pram). Melalui sebuah majalah keluaran Lekra, pram banyak mengutarakan fikiran-fikiran rakyat yang dianggap menyokong komunis sewaktu itu.
Dalam kenyataan2 beliau sendiri, pram tidak pernah mengakui dirinya sebagai seorang komunis. Latar Indonesia pada waktu itu telah meletakkan beliau pada jurus pandang tersebut. Masalah ini seakan tidak terelakkan dengan latar politik Indonesia waktu. Kumpulan komunis dikatakan hampir berjaya memikat Soekarno.
Apa pilihan yang ada pada waktu itu jika mahu menjadi manusia 'besar' tanpa menunjukkan sikap keperpihakan. Kesan pada waktu itu menjalar ke Malaysia melalui peristiwa konfrontasi dengan restu Presiden.
Untuk melihat lebih jauh pengaruh komunis ke atas dirinya, beliau pernah dijemput melawat negeri Cina yang telah berada dalam genggaman komunis waktu itu. Sebab itu dalam penulisannya, beliau banyak sekali mengagumi Cina, Tiongkok. Malah isteri Minke yang kedua adalah seorang pemudi Cina, Ang San Mei yang membawa aliran Dr Sun Yat Sen.
Perlu dicatatkan dalam catatan spontan ini ialah Pram dipenjarakan dalam semua era pemerintahan samada Belanda, Soekarno mahupun Soeharto. Sewaktu Soekarno yang begitu dipujanya, ia dimasukkan ke penjara kerana tulisan membela bangsa Cina di Indonesia dengan terbitnya buku 'Hoekiau di Indonesia'.Sangat ironi.
Post a Comment