Thursday, November 5, 2009

HAK ASASI KAUM CINA

HASRATKU ingin mendalami topik hak asasi manusia. Lalu, aku meminjam beberapa buku. Tajuk ini memang dekat dihatiku sejak dulu. Sejak dulu aku telah membaca karya John Lock, Bentham, Russell dan pemikiran barat dan timur. Cuma, tidak membaca secara serius.

Aku telah meminjam beberapa buku. Aku ingin melihat dan menghayati perjuangan pergerakan hak asasi.

Aku telah mengimbas beberapa buku. Di hadapanku kini buku bertajuk Civil Right Movement, karya Dr Kua Kia Soong, Pengarah Civil Right Organisation atau lebih dikenali sebagai Suaram.

Agak aku beliau menulis berdasarkan ilmu dan pengkajiannya mengenai hak asasi. Pada mulanya aku percaya beliau menulis berdasarkan fakta dan value-free, sebelum membuat kesimpulan.

Namun, minda ku agak kecewa. Hak asasi yang dilaungkan, dan pergerakan yang dibawa, bukan berdasarkan pemikiran ahli-ahli falsafah dunia. Sebaliknya, mengemukakan perjuangan berasaskan kehendak, kemahuan, cita-cita kaum Cina (walaupun di sesetengah keadaan turut meletakkan hak asasi kaum Tamil!).

Pada aku hak asasi mestilah berasaskan sesuatu yang sejagat.

Perbincangan dalam buku itu, pada aku, terlalu rasis.

Aku bukan menyokong kerajaan. Tidak juga penyokong pembangkang. Aku mahu jadi seorang yang kritikal dan melihat sesuatu berdasarkan nilai-nilai sejagat, sebelum melihat nilai-nilai yang relatif (berdasarkan budaya, kaum, warna kulit atau agama).

Sebaliknya, buku berkenaan meletakkan kepentingan hampir 90 peratus hak-hak asasi kaum Cina. Jika kita melihat secara parochia seperti itu, mungkin sahaja akan timbul kaum lain juga mahukan hak asasinya. Jika kita melihat sesuatu secara sejagat, idealis, mungkin pemikiran kita melangkaui ruang dan waktu. Prof Dr Syed Husin Alattas menamakan pemikiran ke arah ini sebagai `cita sempurna'. Perbuatan zalim, seperti menyeksa kanak-kanak berusia 10 tahun dengan mencampakkan ke dalam api, merupakan perbuatan yang melanggar hak asasi bukan hanya kepada orang Cina, India atau Melayu, tetapi kepada semua kaum, tidak kira sekarang atau zaman batu.

Dr Kia Soong kelihatan membahaskan atau membawa gerakan ke arah 'keadilan' kepada kaum Cina seperti mengekalkan bahasa ibunda di sekolah rendah kebangsaan Cina, Menganggap negara begitu rasis kerana melaksanakan dasar ekonomi baru (DEB), mewajibkan kerajaan melantik orang cina sebagai guru besar di SJKC, menyatakan kerajaan tidak bermoral kerana tidak membenarkan universiti merdeka yang menggunakan bahasa pengantar Cina dan pelbagai lagi tuntutan. Dan, tuntutan yang tidak dilayan dianggap sebagai melanggar hak asasi.

Apakah tidak melanggar hak asasi dan melanggar keadilan sosial apabila orang Cina menguasai/memonopoli kebanyakan sektor ekonomi? Apakah adil orang Cina yang mempunyai pendapatan perkapita RM5000 sebulan dan dilayan sama rata untuk kemasukan ke universiti sedangkan mereka mempunyai peluang mendapat pendidikan dengan menghantar ke tuisyen dan mampu membeli buku latihan yang pelbagai, berbanding kaum India yang mempunyai pendapatan perkapita RM3000?

Apakah berlaku keadilan sosial dalam satu negara bangsa jika kaum Cina bersekolah di sekolah Cina dan kaum India di sekolah India, sedangkan tidak ada negara termasuk negara yang memperjuangkan hak asasi yang membenarkan sekolah vernakular, sedangkan Dr Kia Soong begitu bersungguh-sungguh memperjuangkan sekolah dan bahasa Cina? Lebih adil, pada aku, jika semua kaum hanya berada dalam satu sekolah kebangsaan, dan bahasa Cina diajar di sekolah berkenaan. Paling tidakpun, Sekolah Wawawasn diwajibkan. Sedangkan, Dr Kia Soong bersama-sama dengan rakan-rakannya di Dwwan Perhimpunan Cina, Persatuan Huatuan dan Dong Jia Zhong, yang kononnya memperjuangkan hak asasi menolak sekolah wawasan. Apakah ini adil dan ideal untuk pembinaan bangsa?

Malangnya, Dr Kia Soong tidak sedikit pun menyentuh ketidakadilan sosial dalam hal ini?

Aku akan menulis lagi tajuk ini.

Monday, October 26, 2009

MENGAPA TOK GURU NIK AZIZ MAKIN ANEH?

INI bukan teori aku. Hanya sekadar renungan. Mengapa tiba-tiba Nik Aziz meminta Muktamar Agung Khas (ala-AGM) untuk membuang Nasharuddin Md Isa(Timbalan Presiden), Mustapa Ali (Setiausaha Agung) dan Hasan Ali (Pesuruhjaya Selangor.

Ketiga-tiga ini orang kuat PAS. Mereka ada pengaruh masing-masing.

Ulasan dalam akhbar dan cakap-cakap menyatakan ketiga-tiga ini prokerajaan perpaduaan bersama dengan UMNO, manakala Nik Aziz (lebih tepatnya penulis blogtokguru) berpihak kepada pakatan pembangkang yang diketuai oleh Anwar Ibrahim.

Yang dikatakan prokerajaan perpaduan diketuai oleh Presiden PAS, Hadi Awang. Namun, Nik Aziz tidak menyatakan hasrat untuk membuangnya dari PAS.

Dinyatakan juga dalam akhbar dan berlegar cakap-cakap di merata tempat, kumpulan Nik Aziz yang antaranya Husam Musa telah kalah dalam muktamar lalu kepada kumpulan Hadi.

Sesungut tidaklah terperangkap dengan cakap-cakap media atau orang ramai kerana daya kesan sesungut agak berbeza. Dalam tinjauan sesungut, Nik Aziz berkelakuan demikian kerana beberapa sebab, antaranya:

i. Dalam usia 82 tahun, beliau memikirkan bukan hanya nasib PAS, tetapi nasib anak buahnya, khususnya Husam. Jika beliau dipanggil tuhan sehari dua ini (masa dalam kiraan masa tuhan, mungkin beberapa bulan atau beberapa tahun lagi), apakah yang berlaku kepada Husam, exco ekonomi kelantan, sedangkan Husam dikatakan telah membantu menantu Nik Aziz untuk menjadi ketua eksekutif Perbadanan Iktisat Negeri Kelantan.

ii. Apa yang akan berlaku kepada Kelantan dan Menteri Besar jika Nik Aziz dijemput tuhan ke alam satu lagi? Jawatan Menteri Besar lazimnya ditentukan oleh Presiden Parti, seperti berlaku kepada Khalid Ibrahim yang ditunjukkan oleh Anwar. Oleh sebab Presiden Pas tidak berpihak kepada Husam, sedangkan Nik Aziz mahukan Huzam mengantikan tempatnya, maka kumpulan Hadi perlu disingkirkan.

iii. Kemarahan (bahasa lebih kasarnya: dendam) akibat kekalahan Husam sebagai Timbalan ditangan Nasharudin, sedangkan Nik Aziz menyatakan sokongan secara terbuka kepada Husam sebagai Timbalan Presiden. Kumpulan Husam termasuklah penulis blog, blogtokguru.blogspot.com yang dikatakan ditulis oleh Annual Bakri Harun, setiausaha politik Nik Aziz.

iv. Anwar memberi sokongan kepada kumpulan Husam (yang dalam istilah akhbar dikatakan kumpulan 'Erdogan') dan dikatakan juga turut mengalirkan sen untuk biaya pilihan raya Kelantan. Langkah untuk mewujudkan kerajaan perpaduan tentunya menjadi musuh kepada pakatan rakyat, yang diketuai Anwar.

v. Anwar dikatakan boleh meyakinkan Nik Aziz mengenai kes liwatnya. Beliau dipercayai berjaya meyakinkan Husam (tentunya melalui bekas setiausaha agungnya, Kamaruddin jaafar) sedangkan Anwar tidak boleh atau tidak mampu meyakinkan Hadi serta kumpulannya dalam kes liwat. Ketika Saiful Bukhari mula-mula menyatakan mahu bersumpah dengan nama Allah dalam satu upacara, Nik Aziz pada kenyataan awalnya turut menyokong tetapi setelah ada pembisik ke telinganya menyebabkan beliau mengubah kembali kenyataan. Apakah ada cara lain selain sumpah jika mekanisma kehakiman dunia boleh dipermainkan atas sebab teknikal? Hadi kelihatan faham, dan mungkin telah mendapat satu dua tips yang tidak diperolehi oleh orang lain.

Tuesday, September 15, 2009

ANU

SIGMUND Freud pernah menjelaskan mengenai struktur psikologi manusia yang mempunyai ego, superego dan id. Dalam bicara kali ini, aku ingin menyentuh mengenai Id. Freud meletakkan Id sebagai kemahuan bebas. Aku cenderung menyamakan Id dengan kemahuan anu, kuasa anu.

Dalam diri setiap kita ada anu. Ada kuasa. Yang menggerakkan diri kita, elan vital, ialah anu. Anu bukanlah semestinya berfizikal, berbentuk tetapi seperti daya yang menggerakkan diri.

Ianya bukan baru. Ianya semulajadi dengan diri.

Agama dalam dunia juga seperti mengakui wujudnya kuasa anu, dan beberapa kaedah dicipta untuk meletakkan anu pada landasan yang betul. Golongan sami Buddha mematikan fizikalanu supaya daya seks, yang merupakan pembawa kuasa anu bersamanya, turut tidak mengganggu hidup dan keabadiannya pada pencipta jagat raya.

Dalam Islam, dan agama lain juga, ada kaedah dikemukakan seperti berpuasa, untuk mengelak kemaharajaan anu.

Apa kesan jika anu dibiarkan bermaharajalela?

KES 1

Seorang kakitangan tinggi kerajaan sudah berkahwin. Isteri hampr sama dengan usianya, sekitar 58 tahun. Anu pegawai ini masih lagi galak. Ini kerana anu kadang-kala tidak mengenal usia, walaupun realitinya usia turut menganggu kekuasaan anu. Dia merayu isterinya untuk menandatangani surat kebenaran untuk berkahwin satu lagi, dengan waita berusia 30 tahun. Oleh sebab anu isterinya kurang mampu untuk memberi sumbangan bermakna kepada suaminya, maka isterinya membenarkan dengan syarat: rumah yang dimilik berharga RM1.7 juta dipindahmilikkan kepadanya. Oleh sebab desakan anu mengatasi kewarasan, pegawai ini dengan sukacita menyerahkan hak milik rumah berkenaan kepada isterinya. Walaupun tidak bercerai, si isteri dan anak-anak mereka memulaukan. Pegawai itu mula memakan viaga, walaupun tanpa preskripsi doktor. Oleh sebab buah pinggangnya tidaklah bagus lagi kerana usianya mencecah 50-an, maka kesan vigra merosakkan lagi buah pinggannnya. Isteri mudanya juga semakin tidak menykainya lagi kerana selalu dalam keadaan sakit, terpaksa berhemeodialisis beberapa jam setiap hari. Isteri muda pula semakin hari semakin memulaukannya. Lalu kerana desakan anunya itu, kini dia terkapai-kapai - nak kembali berbaik dengan isteri lama, dia sudah pulaukan. Nak bermesra dan dimanja isteri muda juga tidak kesampaian. Anu lah penyebabnya.

KES 2

Seorang lelaki suka melayani isterinya dengan sadis. Ini juga berpunca daripada kebuasan anu. Segala badan isterinya luka-luka. Pada suatu malam, dia mendekati isterinya sambil pisau ditangan kanannya - dengan nia melakukan sadistik. Oleh sebab tidak tahan dengan ke buasan suaminya, maka ketika suaminya mendekatinya, dia menolak tangan suaminya, lalu pisau itu terkena dileher suaminya. Suaminya terbunuh. Siapakah yang perlu dipersalahkan? Anu.

KES 3

Seorang yang dikenali dalam masyarakat. Sudah beristeri dan mempunyai beberapa anak. Anunya bukan sahaja menyukai si anu berlainan jantina. Kegemaran anunya, mungkin kerana pengalaman lampau di sekolah asrama yang rata-rata terdiri dari lelaki, maka anunya suka dibelai oleh sesama jantina. Oleh sebab ada duit dan kuasa, maka dia boleh mencari pekerjanya yang juga kelihatan boleh dipujuk dan diajak untuk bersamanya. Maka, berlakulah. Walaupun pernah juga dalam sejarah hidupnya dihukum kerana kenakalan anu kepada yang berlainan jantina, tetapi si anu sukar meginsafi diri, hatta jawatan dan kekayaannya pernah sedikit surut. Kesempatan yang ada digunakan. Dia selalu menafikan melakukannya. Padanya, dirinya tak bersalah. Yang bersalah, anunya.

KES 4

Seorang guru di universiti selalu berurusan dengan pelajarnya. Pelajarnya selalu juga datang ke bilik untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Pada pelajar, gurunya di universiti memahami doktrin loco parentis. Suatu petang, seorang pelajar perempuan datang ke pejabatnya untuk seperti biasa ingin mendapatkan penjelasan atas kuliah yang kurang difahami. Guru ini punyai kuasa menentukan markah. Tiba-tiba berlaku `kemarahan' pada anunya ketika pelajar yang agak seksi memasuki biliknya. Lalu, dia menawarkan markah dengan syarat melayani anunya. Pelajar perempuan yang naif ini, kerana mahukan A dalam subjek berkenaan, melayanilah guru ini, seperti dia pernah melayani boyfrennya. Kerana kenaifan pelajar ini, dia bercerita dengan boyfrennya dan boyfrennya cemburu lalu meminta untuk membuat laporan polis dan laporan kepada majikan guru berkenaan. Pelajar ini terus menemui pegawai keselamatan di universiti berkenaan dan membuat laporan. Siasatan pihak keselamatan mendapati memang berlaku. Ada prima facie. Guru ini akhirnya dikenakan tindakan tatatertib dibuang universiti. Guru ini seorang yang baik. Tertib. Cuma anunya sahaja yang tidak tertib.

Banyak lagi kes yang boleh ditulis. Dan, ruangan ini tidak mencukupi untuk mencatatkan semuanya. Malah, ada tafsiran menyatakan manusia pertama juga dikatakan dibuang ke dunia ini, kerana kenakalan anunya.

Tuesday, September 8, 2009

UMNO ATAU PAS YANG PERLU BERUBAH IDEOLOGI

DENGAN andaian tidak ada yang insan-nul-kamil, maka sesiapa dahulu yang mengambil langkah ini dikira lebih mulia hati nuraninya.

PAS mengambil Islam sebagai ideologinya tetapi apakah Islam lebih penting dari ideologi atau ideologi lebih penting daripada Islam? Kenyataan yang kerap kali kedengaran seperti `Undi Pas masuk Syurga' atau mengundi UMNO menyalakan kayu api di neraka, merupakan kenyataan yang seperti meletakkan ideologi atau perjuangan melebihi kepada agama. Banyak juga yang dihalalkan walaupun sebelum ini diharamkan seperti berkawan dengan parti yang tokoh pemimpinnya pernah dan akan terus menyatakan 'langkah mayat aku jika mahu tubuhkan negara Islam'.

UMNO juga dibeliti imej buruk sebagai mereka yang hanya tahu mengkayakan diri dan keluarga, berbanding dengan perjuangan. Malah, kumpulan yang dianggap lebih bijak, berstrategis dalam perjuangan, tidak dimudahkan laluan untuk memimpin, sebaliknya disukarkan lagi. Ini menyebabkan sedikit sukar mencari pemimpin yang berjiwa luhur untuk membantu kabilah Melayu. Yang banyak kedengaran dalam setiap kali perhimpunan beberapa ayat berupa mock psikologi - memberi semangat dan semangat, tetapi pelaksanaan berlaku sebaliknya dalam realiti.

Perubahan di peringkat ahli akar umbi secara bottom-up lebih afdhal sebagai prasyarat berlaku perubahan di peringkat 'top-down'.

Setiap orang Melayu bertanggungjawab memastikan keupayaan Melayu dan Islam di negara ini terus kukuh, dan umat Islam bukan sahaja kuat agama secara perlambangan tetapi juga kuat dari segi individu umat Islam. Kuatnya individu akan kuat lagi ummah.

Thursday, September 3, 2009

PROSES MENCAIRKAN IDEOLOGI MELAYU-ISLAM

Secara buku UMNO berideologikan kebangsaan. PAS berideologikan Islam. Secara ahlinya pula, ada ahli dan pemimpin UMNO yang berada dalam mazhab PAS dan ada juga pemimpin dan ahli PAS yang berkabilahkan kebangsaaan.

Ini seperti sudah ada jambatan.

Ada yang beranggapan Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Banyak orang keliru dan tidak boleh menjawab yang mana satu yang dulu, Melayu atau Islam. Oleh kerana tiada jawapan memuaskan, maka dikatakan persoalan ini seperti ayam dan telor. Dengan tidak ada jawapan yang jelas berhubung isu ini juga, maka pernah timbul isu sekularisme, tuduhan taghut dan sebagainya.

Untuk menjawab soalan mana dulu antara Melayu atau Islam, maka aku mahu kemukakan soalan dalam bentuk lain: Yang manakah semulajadi dan yang manakah bersifat pilihan antara Melayu dan Islam?

Tentu jawapannya lebih mudah dicari. Kita tidak ada pilihan untuk menjadi Cina, India, Partugis, Belanda atau Inggeris. Ianya semulajadi dengan diri kita. Dalam istilah agama dinamakan takdir qatai (tidak berubah-ubah). Bolehkan keturunan kita dari Melayu diubah menjadi Cina? Ini persoalan genetik dan memerlukan saintis genetik untuk menjawabnya dan aku juga sedang mencari jawapan sama ada memerlukan perkahwinan campur sehingga satu atau 10 generasi? Jika kita lihat generasi mamak, kita lihat ada India yang lama-lama dikategorikan sebagai Melayu. Mereka juga berjiwa Melayu. Cuma, saat ini, kita boleh tentukan diri kita dengan pasti. Cuba tanya naluri anda, adakah anda Melayu atau tidak?

Secara konsepnya seseorang itu boleh memilih sama ada mahu beragama Islam, Kristian atau Buddha. Baru-baru ini, aku sempat berkunjung di Bali. Sempat aku bersembang dengan seorang Melayu beragama Hindu, ketika dia sedang meminta pertolongan tuhan supaya tidak hujan. Agama bersifat pilihan, seperti ada pilihan untuk memasuki syurga atau neraka. Dalam perbahasan ahli sufi, ada pelbagai mazhab dalam isu ini dan ianya menjadi kompleks jika dibentangkan di sini. Cukup untuk kita fahami bahawa agama bersifat pilihan. Ada orang Afrika beragama Islam. Ada juga beragama Kristian. Orang Asli kita juga ad beragama Islam dan ada juga tak beragama dan ada beragama Kristian.

Orang UMNO secara umumnya semua Melayu. Orang PAS secara umumnya semua Melayu, walaupun ada juga orang Cina yang mahu menjadi ahli bersekutu!. Orang UMNO itu Melayu dan Islam. Orang PAS juga Melayu dan Islam. Pada aku, ini peringkat pokok, UMNO dan PAS boleh bergabung dan cair mencair.

Peringkat kedua hanya pada perkara furu' yang juga penting diselesaikan dan boleh saling berkompromi demi keutuhan Melayu-Islam yang telah ditakdirkan di bumi ini. Jika kita tidak sanggup melihat makhluk Allah seperti haiwan pupus, maka sanggupkah kita melihat Melayu-Islam di sini, pupus (tidak berkuasa menentukan hala tuju dan dasar negara)?

GABUNGKAN PAS-UMNO

PERSOALAN sama ada UMNO perlu bergabung dengan PAS adalah persoalan apakah ada masa depan untuk orang Melayu di Tanah Melayu?

Daya beli orang Melayu mengikut dokumen RMK-9 hanyalah sekitar RM1,500, India RM2,500dan Cina RM4,500 (barangkali data seperti inilah yang mahu disembunyikan oleh sesetengah pihak kini yang heboh supaya borang tidak disediakan lagi berdasarkan kaum dan agama!).

Statistik lain yang pernah dibuat oleh USM beberapa tahun lalu mengenai graduan Malaysia mendapati syarikat berpemilikan Cina lebih cenderung memilih graduan Cina dan meninggalkan kaum Melayu. Kajian sama juga mendapati jika Pengurus sumber manusia yang kaumnya Cina maka kecenderungan lebih banyak kumpulan profesional dan atasan dilakangan kaum Cina.

Ada akan kata, aku penulis rasis.

Apakah data dan mata kita menyaksikan perkembangan ekonomi-sosial-politik semasa melihat data yang dibentangkan itu rasis?

Asas kenegaraan akibat sejarah penjajahan memerlukan Melayu kuat. Bukan bermakna semutlaknya UMNO kuat, Melayu kuat. Bagi pemerhati seperti aku, aku berpegang kepada kmpulan majoriti yang membentuk paksi negara perlu kuat. Jika tidak, akibat buruk kepada majoriti.

Biar ada yang tidak mahu lagi melihat sejarah 1969. Namun demikian, sejarah itu telah menunjukkan Melayu diperhinakan sebegitu rupa, sedangkan kedudukan ekonomi orang Melayu dari dahulu hingga kin masih elum mencapai 20 peratus.

Hikmahnya 1969 adalah munculnya strategis Melayu yang bijak seperti Tun Razak. Beliau telah menggabungkan parti Melayu sehingga orang Melayu tidak lagi melihat saudara dalam Pas sebagai musuh, dan begitulah sebaliknya. Pilihan raya 1974, semua kawasan Melayu dimenangi oleh orang Melayu. Tidak ada suara perkauman waktu itu. Pemimpin Melayu menjaga kebajikan semua orang. termasuk kaum bekas pendatang.

1999, umat Melayu berpecah. Kita lihat suara perkauman muncul kembali. 2008 Melayu berpecah, dan suara perkauman bergema lagi. Pelbagai tuntutan, malah telah ada yang menuntut tanah milik sehingga 999 tahun. Menjadi kebetulan yang menarik seolah-olah UMNO lemah maka Melayu lemah.

Tidak ada pilihan bagi umat Melayu kini. UMNO perlu berkorban mencairkan diri dan semua ahli memasuki PAS. Atau, sebaliknya. Atau, bergabung secara benar-benar bergabung dalam bentuk cair mencair.

Namun, usaha dan harapan ini tentu tidak disukai oleh banyak orang terutamanya pengikut dan pemimpin sealiran dengan Lee Kuan Yew. Inilah sebabnya baru-baru ini Lee telah datang menghadap Tuan Guru Nik Aziz, tidak TG Hadi, kerana tidak mahu bergabungan berlangsung.

Tuesday, August 25, 2009

PABILA AHLI AKADEMIK LEBIH BERPOLITIK

SEJAK dulu, aku cukup muak apabila ahli akademik yang begitu beriya-iya menjadi seperti ahli politik.

Tidak mengapa jika ahli akademik itu mahu terbabit dalam politik. Menceburi diri dalam dunia politik. Tidak sedikit orang seperti itu yang aku kenali. Rafidah Aziz, pensyarah ekonomi UM. Prof Ramasamy juga UM. Jamaluddin Jarjis. Ustaz Azizan Razak.

Yang memuakkan aku ahli akademik yang lebih politik dari ahli politik. Jika sesetengah ahli akademik sains politik di Universiti mahu mengulas mengenai perkembangan politik seperti Prof Agus (UKM), Prof Mustafa (UUM)itu tidak mengapa kerana bidangnya, tetapi yang menyedihkan aku apabila ada yang berlatarbelakangkan matamatik mahu memperkatakan mengenai politik yang ulasannya hanyalah pada tahap man-on-the-street. Ada pensyarah perakauanan cuba berlagak lebih daripada Presiden Parti Pakatan Rakyat. Atau, Pensyarah pergigian mahu bercakap mengenai perjuangan ideologi PAS. Pada aku, ini telah mengahwinkan akademik dengan politik pada tahap tidak cukup umur. Kemuakan aku ini kerana tidak mahu melihat dunia akademik dinodai oleh orang seperti ini. Jika ahli akademik berkenaan turut membaca teori politik dan mahu mengambil tahu dunia politik, tanpa ada rasa simpati awal kepada mana-mana partisan politik, maka aku kira ini tidak mengapa. Yang kita tak mahu ialah mereka menggunakan kedudukan sebagai ahli akademik yang disanjung masyarakat.

Friday, August 14, 2009

KEBENARAN vs RAKYAT

ADA juga rakan-rakan aku begitu terpengaruh dengan perkataan rakyat. Jika rakyat majoriti kata benar, maka dikatakan itulah kebenaran. Jika hanya segelintir menyatakan benar atau mempunyai pendapat sendiri yang disokong minoriti, maka kebenaran itu tidak diendah.

Ketika Sokrates menyatakan sesuatu dan mempersoalkan sesuatu kebenaran, banyak masyarakat di Kota Athens tak dapat menerimanya. Dia terus mempersoalkan kebenaran lama (old wisdom). Persoalannya sehingga orang ramai yang waras menjadi bertanya balik kebenaran berkenaan. Waktu itulah pemerintah menghukumnya: mati. Diberi peluang untuknya tidak dihukum mati jika dia kembali kepada cara hidup orang ramai, tetapi apabila kebenaran digemgam, tidak lagi dia berpatah balik. Begitu juga dengan tokoh yang membawa cahaya baru di tanah arab, apabila beliau memulakan gerakan untuk memansuhkan riba dan mengajak kepada berkasih sayang sesama manusia, maka ada segelintir yang kaya raya mula memberontak. Walau ditawar wanita, bulan bintang, dia tetap dengan kebenaran. Hatinya telah bercahaya dengan kebenaran. Walaupun majoriti waktu itu tidak bersamanya, dia tetap istiqamah kepada kebenaran.

Masihkah kita mahu terikut-ikut dengan propaganda kebenaran atau mahu mencari kebenaran yang lebih tulin?

Thursday, August 13, 2009

BOMOH vs KEHIDUPAN SAINTIFIK

BOMOH vs KEHIDUPAN SAINTIFIK

DAH lama rasanya tak menulis. Rindu. Ramai marah-marah bila aku tak update. Aku membeli handfon e71 untuk updatekan blog. Namun, cubaan itu gagal. Tidak banyak tempat yang boleh diakses wifi. Kelemahan aku juga kerana tak berdisiplin.

Kali ini aku ingin menulis isu bomoh vs kehidupan saintifik.

Aku suka mentafsirkan mereka yang percayakan bomoh mereka yang tidak saintifik. Maksudnya, mereka cenderung menggunakan rasa kepercayaan (yang tak semestinya betul), sedangkan kehidupan bersaintifik ialah kehidupan yang menggunaka n data dan bertindak berdasarkan fakta. Jika tiada data, dia akan mencari data. Jika tak cukup data, dia tidak mudah meletakkan kepada sesuatu yang ghaibi. Aku sendiri juga terlahir dalam budaya yang mempercayaui bomoh. Bukan mudah nak emmbebaskan diri.

Seorang saudara aku sebelah isteri mengalami satu penyakit yang kulit luar biasa. Habis badannya bersalin kulit. Telah berjumpa doktor tetapi tiada juga penjelasan penyakitnya. dah beribu-ribu ubat dari doktor pakar digunakan, namun penyakit tidak juga sembuh. Baru-baru ini dia ke umrah bersama suaminya dan dalam rombongan itu ada seorang ustaz. Ustaz itu menyatakan ada `jin' bersamanya. Maka, diberikan ayat-ayat suci untuk dibaca. Penyakitnya sedikit sembuh. Bertambah percayalah dia bahawa penyakitnya kerana ada jin bersamanya. Tidak sedikit juga wangnya habis untuk rawatan perbomohan itu.

Aku tidak ada keberanian untuk menyatakan tidak setuju. Cuma, aku berpendapat pergi lagi cari doktor lain, cari second opinion. Apa yang berlaku hal-hal biologi yang memerlukan doktor, bukan bomoh. Jika tiada penjelasan bukan bermakna tiada penjelasan selama-lamanya. Ini kerana dalam dunia sains, masih banyak misteri alam yang belum terbongkar. Misteri alam bukan bermaksud jin atau bunian. Misteri alam ialah sesuatu yang belum diketahui tetapi akan diketahui apabila penyelidikan dilakukan secara berterusan sehingga terbuka hijab kebenaran. Dahulu ada orang tuan yang kena TB, batuk berdarah, tetapi kerana malu untuk mendeklarasikan berpenyakit TB, maka dikatakan disantau. Bila disebut disantau, maka seluruh kesalahan diri itu (mungkin dia merupakan seorang penghisap rokok tegar) seolah-olah dihantar kepada penyantau. Ada juga anak-anak dara zaman lampau yang termengandung, lalu apabila ditanya dikatakan disantau orang. Maka, kesalahan itu dialihkan kepada penjahat maya. Sekarang ini alasan sebegitu tidak boleh digunaka n lagi kerana dalam masa satu jam sahaja doktor boleh tentukan hamil atau tidak.


Cita-cita ingin hidup dalam dunia fakta dan saintifik. Aku sendiri masih belum berjaya.


Sesungut Patah

Thursday, February 5, 2009

Komunikasi Dengan Arab

TANPA mahu menyentuh politik di Perak, aku hanya ingin berkongsi pengalaman peribadi.

Ramai rakan-rakan sms minta Sesungut Patah diupdate.

Minggu lalu, aku menaiki bas ke KL. Kebetulan di sebelah aku, seorang Arab. Student Ph.D UUM. Lelaki. Asal Mesir. Oleh sebab bahasa Inggerisnya sangat elok, komunikasi agak lancar.

Kami bersembang pelbagai isu. Aku tak mahu berkongsi isu ilmiah yang dibincang sepanjang perjalanan dari Changlun ke KL. Aku katakan jika berpeluang ingin ke Mesir. Aku suka jika boleh melihat penari gelek. Wanita Mesir juga seksi. Dia akui. Katanya, dalam agama semua pompuan patut berjilbab. Aku kata, aku sukakan lihat perempuan free hair. Dia yang kelihatan begitu larut dengan agama, menjelaskan dalam agama seperti juga dalam penulisan kertas ilmiah, tidak berapa valid ada personal opinion. Wow...hujah itu menarik.

Monday, December 22, 2008

KAWAN PINDAH KERJA

TIDAKLAH aku rapat dengannya. Mungkin dia wanita. Lagipun dia dah kahwin. Hubungan aku hanyalah melalui sms. Kebetulan dia seorang golfer. Lady golfer.
Dia akan ke sebuah institusi lain di Segamat. Kampungnya. Setahu aku hanya orang Kelantan dan Kedah yg suka bekerja di kampung sendiri. Ketika aku bekerja di kementerian pendidikan dulu, tersangat banyak permohonan dari cikgu yg asalnya kelantan. Pelbagai cara digunakan untuk menukarkan diri. Ada menyatakan ibu bapa dah tua. Aku kata, ada ke ibu bapa yang masih muda....ada yang guna surat menteri, timbalan menteri, ketua bahagian umno dsb.
Kembali kepada cerita kawan aku tadi, aku doakan kejayaan dan kebahagian dia sekeluarga. Moga pilihannya betul. Seorang lagi kawan aku, seorang profesor, awal tahun berpindah kerja ke Kuala Lumpur tapi bulan lalu kebetulan jumpa di Pulau Pinang, dan menyatakan mahu pulang ke sintok ini.
Sintok ini indah.
Walau tamadun sintok sedikit rendah relatif kepada infrastruktur di Kuala Lumpur, namun warnanya menarik. Dekat dengan Thailand. Dekat dengan Kuala Perlis, tempat aku celebrate apa2 sahaja. Makan ikan terubuk bakar. Bestnya.

Monday, November 24, 2008

MAKNA MASA DAN KEHIDUPAN

MASA terus bergerak. Putaran alam mewajibkan masa bergerak. Tidak mungkin boleh diundurkan masa. Gerakan masa itu mewajibkan perubahan.

Dari sudut usia, setiap individu bertambah usia. Setiap saat. Perubahan itu turut memberi kesan kepada psikologi. Yg pasti perubahan itu kepada biologi memang jelas.

Jika pokok tumbuh dan mengisi kehidupannya dengan memberikan oksigen kepada manusia, dan akarnya membantu bumi supaya kejabkan tanah' maka apakah justifikasi kehidupan tumbuh-tumbuhan sempurna apabila dianya mati?

Apakah pula justifikasi kita manusia akan sempurna apabila hadirnya mati?

.

UPDATE BLOG

DAH lama aku tak menulis. Rasa rindu pula. Blog tak update. Kini, aku tanamkan azam untuk menulis, update. Sebelum ini terpaksa cari komputer. Kini, hanya melalui hanfon kecil yg ada WLAN, aku boleh update.

Kebetulan sekarang sedang dalam meeting. Oleh sebab aku hanya turut hadir, maka bolehlah aku menulis sambil mendengar meeting.

Ramai pembaca setia blog sesungut patah, dah tinggalkan bolog ini. Ini salah aku Juga kerana tak update.

Wednesday, September 17, 2008

JANGAN KUTUK ANWAR, BANTU PULIHKAN SEMULA PSIKOLOGINYA

TERLALU ramai yang menyata pelbagai-bagai tuduhan kepada Anwar Ibrahim selepas 16 September, kononnya Anwar mungkir janji.

Sesungut seperti biasa melihat dari sedut lain. Sesungut tidak bersama-sama dengan mereka yang menguntuk Anwar. Sesungut selalu melihat secara positif sesuatu perkara.

Sama seperti desakan untuk Anwar bermubahalah laknak, sesungut tidak mahu beliau bersumpah malah mendesak orang ramai jangan memaksa beliau bersumpah, demi kebaikan isterinya, Kak Wan dan puteri comelnya, Nurul Izzah. Jika benar dia meliwat dan bersumpah, apa kesannya kepada psikologi dan fizikal Anwar dan keluarganya. Beliau dan keluarga tidak akan merasa bahagia dilindungi malaikat dan Allah. Malah, ada yang berkata, jika Anwar tidak meliwat, lebih awal lagi beliau bersumpah, bukan sahaja di seluruh masjid di Ceruk To'Kun, tetapi termasuk semua kuil hindu dan buddha, kerana Anwar mahukan dirinya dilabel liberal seperti emmbenarkan Bar Council menganjurkan forum berbau agama.

Ketika orang ramai mahukan peliwat dikenakan pelbagai jenis hukuman, sesungut melihat dari sudut positif bahawa liwat suka sama suka tidak bercanggah dengan demokrasi, kerana asas demokrasi kerasionalan dalam sesuatu keputusan dibuat. Anwar pejuang demokrasi.

Begitu juga kali ini, sebaik selepas 16 September, jika benar cukup kerusinya, bukan sahaja Anwar dengan begitu mendabik dada dan wajah tersenyum menyenaraikan nama-nama 31 ahli parlimen berkenaan, malah beliau dan keluarganya pada hari itu juga akan memasuki Seri Perdana di Putrajaya yang mempunyai enam bilik yang memang Dr Mahathir merekabentuk untuk Anwar.

Akan tetapi sesungut mahu kita melihat perkara ini dengan kaca mata lain. Psikologis
akan meletakkan Anwar sebagai seorang yang psikosis atau neorotis, seseorang yang sukar membezakan realiti dan fantasi. Hidupnya dalam fatamorgana. Sebabnya pelbagai.
Mungkin kerana banyak impian gagal direalitikan. Mungkin juga banyak melakukan pelanggaran kepada hukum tuhan atau hukum tabiee. Harapnya beliau tidak.

Jika betul Anwar seperti digambarkan psikolog, orang ramai perlu bersimpati. Jika disenaraikan terlalu banyak maklumat dirinya yang memperlihatkan split personaliti. Jika orang ramai tidak bersimpati dan membantu, jangkaan psikolog terhadap Anwar selepas ini, beliau akan bercakap-cakap seorang diri. Menyanyi tanpa ruang yang sesuai. Atau, tiba-tiba mahu menari....yang lebih kronik, membogelkan diri di hadapan khalayak, ala tiger show.

Marilah kita sama-sama membantu dan merawatinya. Mungkin Kak Wan sendiri sebagai Doktor tidak mampu merawatinya. Tidak berupaya melihat simtom yang halus ini. Ini kerana sakitnya bukan fizikal atau biologi. Tetapi, psikologi. Pesakit dalam kategori seperti ini, kata ramai pakar psikologis, dia seperti kelkatu yang ghairah mahukan cahaya lampu. Marilah kita memberi lampu kepadanya. Mengingatinya. Menyokongnya dan bercakap-cakap mengenainya selalu. Jangan ada ruang masa untuk kita biarkan menganggur melainkan bercakap mengenai Anwar.

jangan biar Anwar dalam kegelapan. Keseorangan walau sesaat. Dengan cara ini, Anwar akan terus hidup.

Saturday, September 13, 2008

Adakah liwat bercanggah dgn demokrasi, kemanusiaan?

TANPA mahu bercakap mengenai agama, khuatir kena ISA seperti Raja Petra, maka sesungut mengambil prsoalan sama ada perbuatan meliwat itu bercanggah dengan demokrasi atau kemanusiaan?

Demokrasi selalu diterima takrifan sebagai sesuatu sistem yang membenarkan ahli-ahli membuat keputusan bertanggungjawab dengan mempunyai maklumat yang hampir lengkap, tidak disorokkkan maklumat itu dari pengetahuan pembuat keputusan.

Dalam kes liwat yang membabitkan persetujuan di antara kedua-dua pihak, maka dalam takrifan ringkas di atas ianya tidak bercanggah dengan demokrasi, tak bercanggah dengan kehendak polis dunia seperti US dan seharusnya dibenarkan berlaku.

Namun, jika berlaku paksaan terhadap mangsa, atau mangsa tidak cukup usia seperti berumur dalam lingkungan kurang 18 tahun yang menyebabkan dia tak mampu membuat keputusan bertanggungjawab terhadap diri, maka ianya bercanggah dengan takrifan demokrasi.

Pelaku dalam kes ini wajar dihukum.

Dalam konteks Kanun Keseksaan yang meletakkan kesalahan dari segi melakukan perbuatan luar tabie, maka ini boleh dipersoalkan sama ada ianya betul bercanggah dengan kemanusiaan dan kezaliman, atau hanya undang-undang Malaysia.

Sesungut tak berhasrat mengulas mengenai perlunya empat saksi yang melihat kejadian, khuatir perbahasan akan berbentuk agama yang sesungut sedikit jahil mengenai hal ini.

Ini kerana bercakap mengenai kemanusiaan dan demokrasi tak ada batas geografi dan masa, berbanding melihat dalam konteks Nabi Lut atau kes liwat Anwar Ibrahim dan pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.

Blog Archive