Tuesday, July 31, 2007

Makna 'Tidak Cukup'

MALAM ini sempat berjumpa dan bersembang-sembang dengan seorang Profesor dari UMT (Universiti Malaysia Terengganu). Dengan profesor, kadang-kala lahirnya 'insight'.

Beliau bercakap mengenai istilah 'tidak cukup'. Katanya, dalam pengalamannya berurusan dengan kakitangan di universitinya ada penyelidik yang selalu kata wang yang disediakan untuk penyelidikan tidak cukup, menyebabkan beliau tidak boleh menyudahkan `research'.

Berkatalah Profesor itu, tidak cukup adalah istilah yang positif. Kita lahirpun, katanya, tidak cukup ilmu, maka kita belajar. Kita bekerja tidak cukup duit, maka kita bekerja. Kita bekerja dari dulu hingga sekarang, pernahkah cukup duit?

Maka, kata Profesor itu lagi, dengan tidak cukuplah bergunanya akal kita untuk berkreatif dan hidup, seperti kata Descartes 'cogito ergo sum' (I think, therefore i exist). Tidak cukup itu memberi makna kepada hidup.

Monday, July 30, 2007

Antara pengurusan demokratik dan autokratik

DALAM pengalaman hidup aku melihat pelbagai cara pengurusan manusia, tidak ada satu mazhab untuk aku yakini dan boleh amalkan dalam situasi kerja atau hubungan antara pekerja dengan kakitangan.

Aku membenci kaedah autokratik kerana dimomok sekian lama bahawa kaedah demokratik atau kebebasan yang mendekati amalan liberal atau leisser-faire adalah amalan paling bertamadun atas planet ini.

Melihat kepada pengalaman, kaedah askar/autokratik/disiplin yang membawa hasil atau dalam istilah biasa kejayaan. Orang yang autokratik akan mengarahkan anak buahnya untuk siapkan kerja atau tugasan dan subordinate akan akur dan takut lalu melaksanakan tugas berkenaan.

Dalam organisasi yang aku perhatikan, bossnya seorang yang garang alaaskar. Semua anak buahnya akur seperti akurnya seorang prebet kepada seorang jeneral. Kakitangan bawahan tak seorangpun berani untuk datang lewat atau minum waktu pejabat, manakala satu lagi jabatan yang aku perhatikan, bossnya seorang tersangat liberal (walaupun kuasanya lebih tinggi berbanding dengan organisasi yang pertama tadi), anak-anak buahnya selalu sahaja kelihatan tidak berdisiplin, datang lewat, boleh minum waktu ofis dan tentunya merendahkan produktiviti kerja. Walaupun bossnya seorang yang rajin kerja (keretanya masih kelihatan di depan pejabat walaupun hari dah jam 7 malam), semua kakitangannya yang lain pulang sebaik sahaja habis waktu pejabat.