Wednesday, March 28, 2007

"Tuhan tidak beragama"

SINTOK: Gandhi diingati kerana hidupnya sebagai aktivis perjuangannya bukan sahaja berjaya membebaskan India daripada belenggu penjajahan British, tetapi juga kerana usahanya menyatukan rakyat India, dengan slogan: "Tuhan Tidak Punya Agama." (Lihat: www.caping.wordpress.com).

Pada waktu itu, penganut Hindu begitu taksub dengan tuhannya dan menganggap Tuhan hanyalah milik kaum India beragama Hindu.

Begitu juga penganut Islam menganggap Tuhan adalah milik mereka.

Kaum Yahudi seperti tercatat lewat ayat al-Quran terutama dalam surah al-Baqarah turut menyatakan mereka mempunyai faham yang sama, bahawa Tuhan mengiktiraf merekalah sebagai kaum super. Justeru, Tuhan milik mereka.

Peristiwa bersejarah Perang Salib atas sebab berebut Tuhan.

Tuhan juga selalu menjadi `mangsa' kepada manusia.

Ketika air tiada di UUM dalam empat hari, berlaku beberapa kecurian baldi dan air dalam baldi. Lantas, pelajar di kolej yang kehilangan baldi dan air turut berkata: "Pulangkan segera apa yang anda curi, Tuhan nampak apa yang kamu lakukan!" (ayat ini menjurus kepada menggunakan tuhan untuk mengancam `pencuri').

Begitu juga kerap kali kita boleh dengar dialog seperti ini, termasuk apa yang berlaku di kalangan artis Melayu tempatan: "Ini dah takdir, saya terpaksa bercerai"; "Belum ada jodoh"; "Semuanya ini dah tersurat".

Bukankah kata-kata demikian ingin mengheret Tuhan untuk sama-sama bertanggungjawab terhadap kesalahan sendiri?

Jika betul tuhan tidak beragama, maka mengapa perlu setiap penganut mendakwa merekalah pemunya tuhan?

Mengapa perlu cemburu jika setiap kita memiliki tuhan yang sama, kuasanya sama, baiknya sama, ehsannya sama dan dialah Penjaga Cakrawala?

Jika tuhan diibaratkan matahari yang memberikan nikmat cahaya kepada semua tumbuhan, haiwan dan manusia secara adil dan saksama, mengapa kita tidak pernah bergaduh untuk menguasai matahari dan memunyai matahari?