Thursday, September 18, 2014

MENYELAMI MAKNA SUBHANALLAH


SERING aku mencari erti.  Mencari erti dan makna.  Suatu usaha mencari kepuasan intelektual mahupun kepuasan rasaan.  Dalam pengembaraan ini, antena diri akan hidup. Jika tidak, ia mati. Mati lebih awal daripada sepatutnya.  Tersesat?  Aku lebih rela tersesat dalam pencarian ilmu dan kebenaran, berbanding tersesat kerana tidak pernah mengembara dalam alam yang menggerunkan pada sesetengah orang.

Indah bagiku.

Seringkali kita membaca subaha nallah, subhanarabbiazim, subhanarabiaa'la. Kita membacanya dalam rukuk dan sujud kita.  Kalimah yang disebut 'tasbih' ini lazimnya diterjemahkan begini: 'maha suci Allah'.  'Maha suci Tuan Yang Maha Tinggi'.  'Maha Suci Tuan Maha Agung'. Mungkin rakan-rakan yang mempelajari bahasa Arab dapat melaruti erti ini.  Aku tidak terasa ada kesan ke atas rasaan aku. 

Dari segi terjemahan makna yang perolehi dari Maulana Asri Yusuf ketika memberi syarahah kepada sebuah hadis Muslim yang kira-kira maknanya begini: 'Ucapan yang mudah.  Disukai  Ar Rahman, 'Subhanallahi wabihamdihi', makna mensucikan Allah daripada segala sifat buruk dan lemah, dan dalam masa sama mengsabitkan  kesempurnaan-Nya.

Justeru, aku cenderung menterjemahkan bali perkataan 'Subhanallah' sebagai 'Allah, Raja, Maha Suci'; Yang aku sucikan ialah makna-makna yang salah dalam kefahaman diri aku terhadap pemahaman kepada zat, sifat dan afaalnya.  Aku menafikan segala sifat-sifat lemah ada padanya - dalam kefahaman aku.  Ini kerana zat Allah memang sudah suci.  Ini kerana sifat Allah sudah suci. Af'al Allah juga suci samaada aku mengucapkannya atau tidak.  Aku yakin dia sudah suci.  Jiwaaku yang beum suci dalam memahaminya.  Hati aku yang tidak berjaya memahami sucinya Dia. Imaginasi dan akal aku yang sering terkhilaf.  Yang aku sucikan ialah pada diri aku.  

Dia tetap suci.

Melengkapi maknanya ialah 'wabihamdihi' yang diparafrasakan kembali terjemahan yang mungkin aku salah, dan bersedia menambah elok suatu hari nanti, 'Allah/Dia Maha Sempurna'.  Yang maknanya mudah untuk aku mengsabitkan kesempurnaan pada af'al, sifat dan zat-Nya.

Aku ingin terus mengucaokan kata-kata ini, hingga aku larut - Fana dan Baqa (seperti diisyaratkan dalam surah Ar Rahman ayat 26-29).