Tuesday, August 21, 2007

BANDINGAN UUM DAN USM

SELEPAS perasmian pembukaan SIPMA di Kompleks Sukan Sintok, aku mengambil kawanku di EDC untuk pekena teh tarik di Yasmin, Changlun, sekitar jam 11.30 malam. Lama sungguh tidak berjumpanya. Kebetulan dia mewakili universitinya, USM, ke sini. Pada petangnya, aku sempat bermain golf dengannya, tetapi tidak sempat untuk berborak panjang. Kami bercerita mengenai kemajuan universiti masing-masing. Kebetulan dia juga seorang berpangkat di universitinya, maka dia agak fasih mengenai hala tuju dan apa yang dilakukan di universiti berkenaan, terutamanya dalam bidang penyelidikan.

Beliau menceritakan juga bagaimana USM mengurus 'Gegar U' yang dengan mudah untuk mengumpul 6,000 peserta. Beliau menceritakan bagaimana USM mengurus sesuatu event tanpa perlu campurtangannya. "Kami sudah ada `SOP' (standard of procedure)", katanya. Jadi pegawai sahaja yang melakukan dengan sekali arahan. Dalam mengurus pesta Konvo, katanya, hanya pelajar yang melakukan semuanya. Dalam pesta konvo terbaru, dengan mudah pelajar mendapat sumbangan RM50,000 hanya dari satu syarikat. Majlis konvokesyen yang rasmipun kami tidak perlukan MC, tetapi ia bergerak dalam satu upacara, yang mana semua orang tahu peranan masing-masin, katanya.

Baru-baru ini aku menghadiri satu perjumpaan untuk membincangkan untuk membawa seorang CEO untuk berceramah di UUM. Lalu, pengerusi bertanyakan di mana dan berapa orang yang akan menghadiri? Jika Dewan A Pusat Konvensyen, maka kapasitinya 250 orang manakala di Dewan B 150 orang. Kata Penegerusi, kita tak boleh buat di dewan A, nanti tidak ada orang datang, maka majlis itu akan memalukan universiti. Walaupun aku berniat untuk tidak bercakap dalam perjumpaan itu, tetapi oleh sebab ada seorang gadis yang cantik di sebelahku, maka aku terus bercakap. Jika kita tak boleh `mobilise' hanya 250 orang untuk satu perjumpaan, maka lekeh sangatlah pengurusan kita. Aku mencadangkan beberapa idea yang aku fikir biasa diamalkan atau menjadi SOP untuk tempat-tempat lain laksanakan dengan jayanya.

Kawan aku dari USM tergelak.

Aku juga pernah dimaklumkan ada beberapa siri perjumpaan dengan para pensyarah anjuran persatuan mereka, PERSATU, untuk siri Wacana Intektual dengan membawa tokoh-tokoh hebat dalam Malaysia, seperti Prof Rahman Embung dari UKM, Prof Samsul Amri dari UKM atau Prof Aidid yang menajdi Rektor UIA, hanya beberapa kerat yang hadir.

Maka, kawan aku dari USM itu turut bersimpati dengan rintihan aku. Aku seakan-akan dalam hati ingin berkata, "Jika sesuatu tidak dilakukan, universiti ini yang jauh tertinggal di belakang hanya dengan jiran terdekat, akan menjadikan universiti ini lagi tertinggal. Sedangkan, orang lain melangkah 20 kaki, kita baru melangkah satu kaki." Bisik hatiku ketika bersembang dalam keretaku di hadapan EDC.

Lebih memilukan hatiku, apabila universiti mereka sudah diiktiraf sebagai universiti penyelidikan, yang bermakna lebih RM150 juta akan diberikan untuk menjana aktiviti penyelidikan. Aku maklumkan daripada cerita bekas TNC Penyelidikan kami mendapat RM7 juta untuk aktiviti perundingan selama usia UUM ini, iaitu 23 tahun. Kawanku dari USM itu kata, USM dengan mudah mendapat RM25 juta setahun daripada aktiviti perundingan.

Bukan menjadi niatku untuk membanding dan menunjukkan kelemahan sendiri. Persekitaran berubah dengan cepat.

Apabila jam menunjukkan 2 pagi, aku balik ke rumah.

Mataku tidak boleh lelap walaupun dalam kegelapan dan sejuk hujan.

No comments: