Thursday, July 19, 2007

Takut Kepada Perubahan


TIDAK sedikit orang takut kepada perubahan. Ini kerana perubahan mengiringi risiko. Perubahan membawa baik dan mungkin buruk. Namun, perubahan berlaku. Jika diri tak mahu berubah, persekitaran berubah.

Hari semalam tidak sama hari ini. Besok hanya milik tuhan. Untuk kekal berada pada hari semalam atau hari esok, tidak mungkin secara realitinya. Yang ada hanya saat ini. Semalam kita ke kuliah, hari ini ke kuliah dan mungkin esok juga ke kuliah, namun persekitaran hari semalam, hari ini dan esok tidak sama. Kelembapan tanah berbeza. Pokok-pokok membesar sedikit berbanding semalam, walaupun mata kasar sukar mengesaninya. Kereta dan motosikal yang berada di sebelahan kita juga berbeza.

Apa lagi jika dilihat secara holistik. Pelbagai ciptaan baru terhasil di penjuru alam, bukan Sintok. Yang rajin akan terus mencipta pelbagai alatan, kekayaan, teknologi dan segala yang baru. Untuk kekal pada hari semalam seperti membuang antena.

Inilah sebab agaknya Tuhan menciptakan sesungut kepada serangga. Setiap hari serangga mengesan makanan. Kesanan semalam tidak lagi disahihkan, melainkan carian baru dilakukan.

Jika tidak, serangga ini akan mati. Dahulu untuk berhubung, kita menggunakan surat. Untuk mengetahui sesuatu berita lambat. Kini, dengan emel dan internet, setiap perubahan baru boleh diperkongsikan dalam masa sebenar.

Charles Darwin selepas menjelajah pulau Galapagos kerana berkesempatan menaiki Beagle, berjaya melihat haiwan-haiwan khususnya burung ciak turut berubah sesuaikan dengan persekitaran yang ada. Jika haiwan itu tidak berubah kerana perubahan persekitaran, haiwan itu akan mati, pupus. Teori natural selection terpakai kepada bukan sahaja haiwan, tetapi juga manusia, kerana manusia juga mengandungi elemen haiwan/biologi. Tahap survival manusia, sebagai makhluk hirarki tertinggi selepas haiwan, tumbuhan dan mineral kerana kemampuan untuk mengesan perubahan dan membuat adaptasi.

Indahnya hidup ini kerana kebolehan untuk berkreativiti dalam alam yang sentiasa berubah. Perubahan ini menawarkan pelbagai pilihan. Sama seperti alam lain, ada neraka dan syurga.

Hidupkan antena, lakukan perubahan, demi survival diri!














1 comment:

Anonymous said...

setiap hari orang melaungkan perubahan tanpa tahu apa yang nak diubah.

mereka hanya menyebut 'apa yang tak berubah ialah perubahan itu sendiri'.

Ada yang merasakan mereka telah berubah tetapi alam sekeliling menentukan mereka belum benar-benar berubah.

Lihat sahaja sekeliling kita. Masih ramai yang menganggap sumber kekayaan masih lagi dalam bentuk aset rumah dan keluasan tanah.

Di Singapura, data terbaru menyebut bahawa pada tahun 2007 sahaja seramai 11 ribu jutawan baru terbentuk di negara Singa itu.

Singapura menempatkan dirinya di kedudukan pertama dunia yang melahirkan jumlah jutawan terbanyak, diikuti India. Agak mengejutkan, Indonesia menduduki tempat ketiga. Keseluruhan jumlah jutawan di Singapura di sekitar 66 ribu orang, daripada 4 juta rakyatnya.

Ini bermakna dari 200 orang rakyatnya, seorang adalah jutawan.

Singapura membuktikan bahawa mereka benar-benar menghayati perubahan apabila kekayaan yang dijana adalah dalam bentuk pegangan saham.

Kita merasakan kita telah berubah tetapi malangnya hampir seluruh sistem kita masih di takuk lama.

Kita berpolitik masih pada zaman Tunku, peperangan politik dengan bermain isu bodoh-masih nak perjuangkan siapa lebih islam. Apa beza dengan apa yang diisi dalam memoir Tunku, PAS pada masa itu telah mengubah ganbar Tunku sedang makan dengan meletakkan gambar seekor babi panggang terhidang di depannya.

Kita mengharapkan perubahan tetapi amat susah difaham dan mendapat dokongan orang sekitar yang telah pun amat selesa dan tak mahu berubah. bersambung..

Mat Zek